Istimewa Hari Malaysia : 5 Ikon Sukan Malaysia

Posted: 17/09/2012 in Sukan

Salam semua. Selamat Hari Malaysia yang ke-49. Untuk edisi Hari Malaysia kali ini, saya bawakan tulisan 5 ikon Malaysia dari sejak era millenium sehingga kini. Bukan menidakkan jasa tokoh sukan yang lalu seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Mendiang Dato’ Punch Gunalan atau perenang Nurul Huda Abdullah cuma mahu selari dengan keadaan semasa. Mereka ini layak bergelar ikon buat masa ini dan boleh bertahan sekitar lima tahun lagi (atau lebih). Dan sempena Hari Malaysia ini, mereka inilah yang telah mengharumkan nama Malaysia dan boleh dicontohi.

1. Dato’ Lee Chong Wei

Hanya Kejuaraan Dunia dan pingat emas Sukan Olimpik yang masih belum dikecapi oleh pemain badminton negara ini. Selain itu, semua kejuaraan yang dipertandingkan dalam peringkat Grand Prix atau kejuaraan terbuka yang disertai telah dimenangi. Mencecah usia 30 tahun pada tahun ini, DLCW dilihat sukar untuk menandingi Lin Dan pada Sukan Olimpik seterusnya pada 2014 di Brazil. Walaubagaimanapun, sasaran jangka pendek pada Kejohanan Dunia dan Sukan Komanwel dilihat realistik bagi menentukan sejauh mana tahap kemampuan beliau untuk bertanding di Rio nanti. Mempunyai personaliti yang baik, rendah diri namun ‘kegarangan’ di depan Lin Dan masih belum cukup ampuh. Pada saya, tidak banyak beza antara DCLW dengan Lin Dan. Cuma Lin Dan mempunyai sifat garang di samping mental yang kuat di atas gelanggang. Itu yang memisahkan mereka. Jadi DLCW masih punya 4 tahun untuk mengasah ‘kegarangan’ itu. Telah menerbitkan autobiografinya yang bertajuk ‘Born to be a Champion’ dan buku ini wajib dibaca peminat sukan agar semangat tanpa kenal jemu di samping disiplin yang tinggi akan dapat disemat di hati pembaca.

2. Dato’ Nicol David

Menerima gelaran Dato’ seawal usia 28 tahun, Dato’ Nicol David telah memegang gelaran pemain skuash nombor satu dunia (WISPA) sejak Ogos 2006 sehingga hari ini. Memenangi enam Kejohanan Dunia dan empat Kejohanan British Title. Mendominasi Terbuka Malaysia selama sejak tahun berturut-turut sejak 2005 dan hanya semalam melepaskan gelaran itu kepada Raneem El Weleily dari Mesir. Berasal dari negeri yang sama dengan DLCW, Ratu Skuasy negara ini kerap berlatih di Belanda di bawah kendalian Liz Irving. Keseluruhan pencapaiannya ialah layak dalam 76 perlawanan akhir dan, memenangi 62 daripadanya, iaitu 81.6%. Masih bujang, DND dijangka masih berpeluang mempertahankan ranking tersebut lima tahun lagi. Namun apa yang diratapi sehingga kini ialah keputusan penganjuran Sukan Olimpik yang masih tidak menyenaraikan skuasy sebagai salah satu sukan dipertandingkan. Jika tidak, telah lama kita memperoleh pingat emas pertama.

3. Pandalela Rinong

Wanita pertama Malaysia yang memenangi pingat di Sukan Olimpik. Biarpun gangsa yang dikecapi pada Sukan Olimpik London yang lalu. Baru berusia 19 tahun, masa depan Pandalela sangat cerah dan menjadi aset sukan terjun negara ketika ini. Melanjutkan pengajian di UPM semata-mata tidak mahu berpisah dengan jurulatihnya, keputusan Pandalela dilihat tepat di untuk menjadi atlit yang berjaya dalam kedua-duanya, sukan dan akademik. Berasal dari keluarga yang susah di pedalaman Sarawak, ternyata kerajinan, tidak putus asa dan disiplin tinggi menjadikan Pandalela atlit yang disegani. Ujian pertama Pandalela selepas ini ialah mempertahankan pingat emas Sukan Asia dan Sukan Komanwel akan datang di samping kuliah yang selari dengan latihannya. Bagaimankah Pandalela membahgaikan masa antara akademik dan dunia terjunnya? Kita tunggu empat tahun lagi.

4. Safee Sali

Pemain Malaysia pertama yang bermain dengan kelab di luar negara. Sekalipun beraksi di Liga Super Indonesia, penyertaan Safee bersama kelab Pelita Jaya FC dilihat batu loncatan kepada perkembangan bolasepak Malaysia. Safee dibeli oleh PJFC dari Selangor pada 2011 selepas persembahan menakjubkannya menyingkir Indonesia lantas menobatkan Malaysia selaku juara Piala AFF 2010. Safee menjadi salah seorang penjaring terbanyak dan telah menyelamatkan PJFC dari tersingkir dari ISL. Tahun ini, Safee telah ditawarkan kontrak baru dengan nilai lebih sejuta ringgit Malaysia dan juga telah diberi penghormatan selaku kapten pasukan. Safee juga ialah pemain Malaysia pertama mencipta hatrik di ISL ketika membenam Gresik United 6-1 pada Mac 2012. Tamat saingan ISL musim ini, Safee berjaya menjaringkan 20 gol, iaitu pemain keempat dalam senarai penjaring terbanyak dan lebih membanggakan, tiga pemain yang mengisi slot teratas itu ialah pemain import. Sikap Safee yang rendah diri dan gemar berkomunikasi membuatkan beliau ditawar ‘beraksi’ dalam program Opera Van Java di Indonesia disamping menjadi duta beberapa produk di Malaysia dan Indonesia. Semangat dan perwatakan Safee wajar dicontohi walaupun kurang dari segi akademik, Safee boleh digelar jutawan. Saya berharap Safee akan mengeluarkan biografinya setelah tamat karier sebagai pemain.

5. Nazmi Faiz Mansor

Tidak keterlaluan meletakkan dua nama pemain bolasepak sebagai ikon kali ini. Bukan jumlah kejayaan menjadi ukuran tapi ikon bagi saya wajar dicontohi. Untuk itu, nama Nazmi Faiz Mansor menjadi pilihan. Dari budak sekolah yang ‘ponteng’ peperiksaan SPMm semata-mata membantu Malaysia mempertahankan pingat emas Suka SEA di Indonesia pada 2011, Nazmi atau Nami kini telah menyarung jersi kelab Portugak SC Beira Mar. Kelab ini tidaklah sehebat FC Porto atau Benfica, malah hanya bertanding dalam Divisyen 3 Liga Portugal. Baru berusia 18 tahun, lamaran Beira Mar terhadap Nami membuktikan tiada yang mustahil jika kita bersungguh-sungguh dan berdisiplin. Nami, seorang pemain tengah, hanya mempunyai ketinggian 1.67 meter dan diketahui fizikal pemain kita memang lebih kecil dari pemain Eropah. Namun Nami dapat menyesuaikan diri dengan membuat kemunculan sebagai pemain simpanan. Menyarung jersi nombor 8, penyertaan Nami diharap dapat melonjakkan nama beliau dalam masa lima tahun lagi. Kita menanti pemain Malaysia pertama beraksi di European Champions League atau liga-liga utama Eropah dan Nami dilihat mempunyai prospek besar itu.

Lima ikon di atas tidak akan menjadi ikon jika tidak berilmu, berdisiplin, tidak mudah putus asa dan sentiasa memberi komitmen. Skil individu itu adalah satu pemberian namun jika tidak disokong dengan sikap positif ini nescaya skil itu akan hilang begitu sahaja. Jadi masyarakat Malaysia yang masih muda, tidakkah anda ingin menjadi ikon Malaysia satu hari nanti?
Jumpa lagi😀

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s