Amri Yahyah Seorang Lagenda

Posted: 21/01/2014 in Sukan

Mohd Amri Yahyah dilahirkan pada 21 Januari 1981, berasal dari Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor Darul Ehsan. Amri merupakan pemain Selangor paling setia selepas Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang bermain untuk Selangor selama 15 tahun dari 1972-1988. Menyingkap detik penglibatan Amri dalam bolasepak, beliau hanya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya, Tanjung Karang dan bermain bolasepak mewakili sekolahnya. Bakatnya mula diintai oleh bapa pembangunan bolasepak Selangor ketika itu, Datuk Muhd Aini Taib yang kebetulan menjadi ADUN Sg. Burung. Amri adalah batch terakhir yang terpilih untuk bersama Akademi Bolasepak Selangor. Ramai pemain dari daerah Tanjung Karang terpilih ketika itu. Amri memulakan karier bersama Merah Kuning pada 2001 ketika beliau berusia 20 tahun. Mewakili skuad Piala Presiden Selangor dengan posisi di bahagian serangan dan menjaringkan lapan gol. Dalam tahun yang sama Amri dinaikkan pangkat beraksi dengan skuad utama. Gol pertama beliau dijaringkan di Stadium Larkin pada perlawanan Piala FA menentang Johor. Namun gol kedua beliau lebih dramatik apabila Selangor yang ketinggalan 0-3 ketika perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA kepada Perlis, bangkit menyamakan kedudukan di Shah Alam dengan mendahului lawan 3-0. Amri tampil menjaringkan gol pada masa kecederaan buat Selangor menang 4-0 dan layak ke pusingan seterusnya dengan aggregat 4-3.

pageFoto pertama bersama Amri Yahyah ketika meraikan kejuaraan Piala Malaysia Selangor 2002

Selepas itu, Amri menjadi sebahagian daripada skuad utama Selangor. Selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 1997 menewaskan Pahang 1-0 di Shah Alam, Selangor ketandusan Piala Malaysia. Merah Kuning hanya berbangga dengan kejuaraan Liga Primier pada tahun 2000 dan Piala FA pada 2001. Tahun 2002, Selangor hanya memiliki Azmin Azram di gawang, pemain import Ivica Kulesevic dan Nizam Jamil di pertahanan sambil gandingan Mass Sarr Jr dan penyerang terbilang Azman Adnan di barisan hadapan. Amri hadir memperkukuh posisi sayap Selangor ketika itu menyarung jersi nombor 17 yang kali terakhir dimiliki oleh Rezal Hassan. Nama Amri melonjak naik apabila menjaringkan gol emas pada masa tambahan menewaskan Khairul Azman Mohamed ketika Selangor dan Sabah buntu mencari gol pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Amri telah menghadiahkan Piala Malaysia kepada Selangor selepas lima tahun kempunan. Amri tiba-tiba menjadi popular. Dari seorang budak motor, pemuda kampung berambut belah tengah ini mula digilai.

Bagi menguatkan barisan skuad kebangsaan menghadapi Piala Tiger di Indonesia dan Singapura pada penghujung 2002, jurulatih kebangsaan Allan Harris menitip nama Amri menguatkan barisan. Amri yang ketika itu berulang alik dari Wisma FAM Kelana Jaya ke Tanjung Karang setiap hari untuk menghadiri latihan terlibat dalam kemalangan apabila beliau patah tulang kaki ketika menunggang Yamaha RXZnya. Berita buruk itu amat menyedihkan. Ketika bintang Amri baru mulai menyinar, dia ditimpa kecelakaan. Penyokong Selangor dan Malayisa mula merasakan karier Amri mula malap. Namun, selepas beberapa siri rehabilitasi, Amri pulih dan boleh bermain seperti biasa. Namun begitu, Amri tidak dapat bersama skuad kebangsaan yang mendapat tempat ketiga Piala AFF yang dimenangi oleh Thailand. Walaubagaimanapun Amri telah mencipta pelbagai pahit manis dalam dunia bolasepaknya khususnya bersama Selangor dan pasukan kebangsaan.

Pada 2005, nama Amri sedikit tercicir dalam skuad Selangor ketika pengurusan membawa masuk dua pemain import Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy di samping mengekalkan khidmat penyerang Argentina, Brian Fuentes. Nyata tiada tempat buat Amri ketika Elie bermain hampir setiap perlawanan dan kombinasinya bersama BEPE menjadikan Selangor bermaharajalela dalam saingan kumpulan B Liga Perdana. Di sebelah kiri pula Brian Fuentes menjadi pilihan Dollah Salleh sementara gandingan BEPE dan Khalid Jamlus di barisan depan. Di tengah, K.Sanbagamaran dan Shukor Adan mengetuai jentera. Amri kadang-kadang masuk di separuh masa kedua menggantikan Elie, Fuentes atau Khalid. Pada satu ketika di perlawanan akhir Piala Liga Perdana menentang Negeri Sembilan di Paroi, Amri masuk bermain di posisi bek kanan bagi mengimbangi perlawanan. Amri tidak kekok malah bermain seperti biasa menjalankan tugas yang diarahkan Dollah. Selangor menang 4-2 untuk menjulang piala pertama 2005. Ia tidak berhenti di situ, Amri membantu Selangor memenangi Piala FA dan Piala Malaysia sekaligus menjadi pasukan pertama berjaya menjuarai kejuaraan treble dalam satu musim. Yang menariknya pada pertembungan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia, Amri yang digantung tetap hadir ke Kuala Terengganu untuk menyaksikan rakan-rakan tetapi akibat perlawanan yang ditunda akibat blackout, Amri dibenarkan bermain pada keesokkan harinya dengan menggunakan jersi pemain lain.  Kehadiran Amri sebagai pemain versetile telah membantu Selangor bangkit dari musim suram dan kembali ke Liga Super 2006.

Tahun 2009 boleh dikatakan tahun gemilang buat Amri apabila kali pertama dipilih sebagai kapten pasukan menggantikan Shukor Adan yang berhijrah ke Negeri Sembilan. Amri tidak menunggu lama untuk mencipta nama. Pada Januari 2009 atau lebih tepat lagi pada perlawanan Piala Sumbangsih, Amri hanya memerlukan empat minit untuk menjadi pemain pertama menjaringkan gol pada musim 2009 melalui sepakan percuma. Bagai menyimpan dendam kepada Kedah yang mengecewakan Selangor dua kali dalam final Piala FA dan final Piala Malaysia 2008, Amri sekali lagi meledak gol kedua peribadi pada minit ke-35. Malam gemilang itu dilengkapkan dengan dua lagi gol dari Zameer Zainun dan Safee Sali buat Selangor menang 4-1 dan ia adalah piala pertama dijulang Amri sebagai kapten pasukan. Pada April 2009, Amri memimpin Selangor ke perlawanan akhir Piala FA. Selangor yang dihampakan Kedah pada final yang sama 2008 berazam mengubat kekecewaan itu dengan membenam pendatang baru yang semakin mencabar iaitu Kelantan. Masa penuh berakhir 0-0 dan masa tambahan tampak begitu memihak kepada Kelantan apabila mendahului 1-0. Namun hantaran lambung D.Surendren disambut dengan flying header mencium tanah buat Amri menyamakan kedudukan 10 minit sebelum tamat. Sepakan penalti jadi penentu, Selangor megah menewaskan Kelantan 4-1. Pada Julai 2009, Amri dipilih dalam skuad kebangsaan menentang kelab terkemuka Manchester United. Bagai telah diduga MU menang mudah 3-2 namun Amri menjadi warga Malaysia pertama menyumbat dua gol ke atas juara liga perdana England ini. Amri menjaringkan gol melalui lob bagi menewaskan Edwin van der Sar sebelum dan menghukum kelalaian Ben Foster pada separuh masa kedua. Bulan Julai juga sangat bermakna apabila Amri dan Selangor menjuarai Liga Super Malaysia buat kali pertama setelah mengutip 63 mata dengan Amri menjaringkan 13 gol. Namun kecemerlangan itu disekat oleh Terengganu dalam saingan suku akhir Piala Malaysia apabila mereka menidakkan hasrat Selangor ke separuh akhir dengan sepakan penalti pada pusingan kedua di Kuala Terengganu.

pageMOM pada perlawanan sumbangsih 2009

Tahun 2010, Amri terus membanggakan Selangor. Mengekalkan Liga Super yang dimenangi tahun lalu dengan jumlah mata yang sama iaitu 63, Amri kali ini tampil sebagai pengumpan dan kurang menjaringkan gol. Namun karekter Amri sebagai pemimpin menjadi faktor Selangor unggul di MSL. Nama Amri terus melekat di hati K.Rajagobal untuk terus berada dalam kem skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki. Walaupun tidak selalu berada di dalam kesebelasan utama, Amri sering memberi impak kepada pasukan apabila diturunkan sebagai pemain gantian. Hasilnya, Malaysia menjulang Piala AFF kali pertama apabila menundukkan Indonesia dengan aggregate 4-2.

Di samping aksi gemilang Amri, ada juga beberapa memori ‘nakal’ pemain ini. Apa tidaknya, beraksi selama lebih 10 tahun di pentas bolasepak tempatan dan antarabangsa, pastinya ada aksi ‘luar biasa’ ditunjukkan oleh mana-mana pemain. Tambahan pula sebagai pemain serangan, pasti ada terjahan kasar yang boleh menaikkan gelodak amarah seseorang pemain. Kadangkala kematangan fikiran tidak dapat mengatasi emosi yang meluap tatkala berada di satu-satu kemuncak perlawanan dan Amri juga tidak terlepas dari keadaan tersebut.

Pada 2004 sewaktu pertemuan kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait, Amri bertindak meludah pemain Kuwait selepas sedikit pertelingkahan. Amri dilayangkan kad merah dan didenda oleh FAM sebanyak RM48,000. Selepas itu, Amri tidak lagi dipanggil menyarung jersi kebangsaan sehingga pada tahun 2009. Aksi pada 2005 lebih mendebarkan ketika Selangor perlu mengutip mata penting berdepan Kedah di gelanggang keramat mereka, Stadium Darulaman. Mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Khalid Jamlus, Selangor bermain pada separuh masa kedua dengan Sembilan pemain selepas Khalid diberikan kad merah dan Amri menambah derita dengan sengaja menyepak bola keluar ketika sepakan percuma dan mengutip kad kuning kedua seterusnya kad merah. Bakal mertuanya ketika itu yang juga pengurus Selangor, Dato’ Satim Diman cuba mempertahankan tindakannya, juga diarah meninggalkan bangku simpanan. Nasib baik Selangor ampuh bertahan dan berjaya mengekang asakan Kedah untuk menang 1-0. Pada 2006 pula selepas tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Paroi, Amri bertindak berkonfrontasi dengan penyokong bersama Fairuz Montana dan K. Sanbagamaran dan kelihatan hampir bergaduh. Akibatnya Amri didenda RM4,000. Pada 2011 dalam perlawanan MSL menetang T-Team di Shah Alam, Amri yang kecewa dengan prestasi individu dan pasukan bertindak membaling bola tepat ke muka lawan dan kad merah adalah hadiah kekecewaan itu. Satu lagi isu yang hangat membabitkan insiden ‘nakal’ Amri ialah pada 2012 sewaktu pertemuan dengan Kelantan di Kota Bharu. Ketika bertahan, Amri dilihat mengawal ketat pergerakan Mohammad Ghaddar ketika Kelantan mendapat sepakan percuma. Sebaik sepakan dilakukan, Amri dilihat menumbuk kelangkang Ghaddar dengan begitu pantas sekali tanpa dapat dikesan oleh pengadil. Amri terlepas dari seberang hukuman dan pastinya Ghaddar terus berdendam sepanjang perlawanan. Pada tahun yang sama juga Amri mengalami kecederaan yang di luar jangka, bukan di padang latihan mahupun ketika perlawanan tetapi di rumah Amri sendiri ketika sakan bermain bola dengan anak sulungnya. Bola yang dirembat terkena pasu Kristal lalu jatuh pecah dengan serpihannya mengenai kaki Amri lalu mendatangkan kecederaan. Amri berehat tiga perlawanan selepas itu.

Tiada sebarang kejuaraan pada tahun 2013. Hanya boleh dibanggakan Amri ialah, beliau sekali lagi menewaskan penjaga gol antarabangsa selepas Edwin van der sar pada 2009. Kini giliran Victor Valdes dari Barcelona menjadi mangsa ketika umah Islam menyambut Aidilfitri ketiga di bumi Shah Alam. Amri meledak ketika pertemuan Malaysia vs Barcelona dengan Malaysia tumpas 1-3.

Di sebalik kejayaan Amri membantu Selangor layak ke Piala AFC dua tahun berturut-turut iaitu pada 2012 dan 2013, kelibat Amri diintai oleh pasukan lain. Amri pernah dikaitkan dengan perpindahan ke PKNS pada 2013 namun membuat keputusan untuk kekal bersama merah kuning. Walaubagaimanapun, angin berarak mendung di bumi Shah Alam pada penghujung musim 2013. Selepas membantu Selangor meraih naib juara MSL2013 seterusnya layak ke Piala AFC 2014, Amri dipancing pasukan mewah, Johor Darul Takzim dengan tawaran jutaan ringgit setahun. Amri dilihat berada di penghujung karier dan berada di kemuncak prestasi tidak menunggu lama menerima tawaran dari JDT memandangkan JDT juga dibarisi bintang ternama termasuk Pablo Aimar. Ramai peminat mempertikaikan kesetiaan Amri, namun dari sudut positif, Amri berhak berbuat demikian demi masa depannya. Bolasepak sekarang bukan lagi kesetiaan atau setiakawan. Semua itu jatuh nombor terkemudian. Masa depan, periuk nasi dan profesiolnalism harus dijaga. Ada juga mengatakan perpindahan Amri disebabkan masalah dalaman FAS yang meruncing sejak sekian lama. Di JDT, Amri tidak perlu risau isu gaji, pastinya dibayar tepat. Keserasian pemain juga boleh dibentuk kerana rata-rata pernah bermain bersama semasa di skuad kebangsaan. Kemeriahan di Stadium Larkin antara faktor tambahan jika dibandingkan di Shah Alam yang hanya full house mengikut perlawanan tertentu. Sentuhan jurulatih import berwibawa dan rakan sepelatih seperti Pablo Aimar semestinya tidak mahu dilepaskan mana-mana pemain. Amri hanya perlu berkorban dari segi hubungan keluarga. Selepas 12 tahun bersama Merah Kuning, pilihan Amri tepat untuk masa depannya.

MSL2014 telah membuka tirainya pada 18 Januari 2014 yang lalu dan Amri tidak ketinggalan menjadi salah seorang dari tiga penjaring tempatan yang menyumbat gol pada perlawanan pertama menentang Perak. Tipikal gol boleh saya katakan oleh Amri ketika mewakili Selangor dulu, Amri membuktikan gandingannya bersama Mahali Jasuli tidak tempang dan mula menjadi buah mulut orang Johor. Amri bingkas menafikan yang beliau bermain baik dan masih memerlukan masa untuk menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang. Walaupun janggal menyaksikan Amri berjersi merah biru, itulah hakikat yang perlu ditelan dan Mohd Amri Yahyah kekal menjadi lagenda merah kuning.

Inilah tipikal near post header yang sering dilakukan Amri, tahun 2009 (video atas) dan yang terkini Sabtu lalu ketika pertama kali tampil dengan seragam merah biru🙂

Selamat Hari Ulangtahun ke 33 buat Amri Yahyah dan selamat maju jaya🙂

Kredit : SelangorFC.com, YouTube, Rizal Hashim

Comments
  1. yuss says:

    SMK TIRAM JAYA yg sebenarnya

    Like

  2. Ikmal Hakim Bin Jamaluddin says:

    Betul ke Amri Yahyah dulu bersekolah di Smk Dato Harun??

    Like

  3. AY17, selamanya legenda Selangor walaupun tidak setanding Allahyarham Mokhtar Dahari. But still a traitor when he joined JDT, the most hated football team in Malaysia, the equivalent to Manchester United as the most hated team in the United Kingdom. FAKTA BUKAN AUTA. Could have been a one-club man like Steven Gerrard & Ryan Giggs. But no, you just had to join the likes of Aidil, Safee, Chopot & others just because of the high salary. Don’t you dare kiss the JDT badge when you score, Amri!!! Bersiap sedialah untuk dicemuh/di”boo” semasa menentang Selangor seperti yang pernah dialami oleh Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan & Safiq Rahim sebelum ini.

    Like

  4. YusrulYusof says:

    Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s