Archive for June, 2015

Bolasepak dan Ramadan

Posted: 25/06/2015 in Sukan

Agak janggal pada tahun ini apabila Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia meneruskan perlawanan Liga Super pada bulan Ramadan. Ini merupakan pertama kali (kalau tak silap saya) berlaku dalam Liga Super sejak di permodenkan selepas Liga Perdana. Pada tahun-tahun lalu, Liga Super telah menemui pemiliknya sebelum Ramadan menyingkap tirainya dan Ramadan merupakan medan persiapan bagi menghadapi Piala Malaysia yang akan bermula selepas Aidilfitri.

Kita mengetahui Kalender Hijrah tidak selari dengan Kalender Masihi. Sehubungan itu, jatuhnya bulan Ramadan tidak tetap kepada sesuatu bulan masihi, tidak seperti musim sejuk, panas, luruh dan bunga yang berlaku pada negara empat musim. Jika kita perasan, Ramadan pada tahun lalu sekitar Julai kini menginjak Jun dan lama kelamaan akan tiba ke Januari. Jadi tiada ruang buat FAM untuk menghentikan liga tatkala performance team sedang on peak. Tetapi saya juga tidak menyokong FAM berehat lama atas alasan persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia.

B5gLUdvCcAAem50Keratan akhbar BH yang menetapkan MSL akan menginjak ke bulan Ramadan, ditulis pada Disember 2014.

Ok berbalik kepada jadual Liga Super dalam bulan Ramadan. Ada yang menyokong dan nada yang membantah atas alasan tidak menghormati bulan Ramadan. Saya sendiri sebagai pemain pernah menghadapi keluhan terpaksa menjalani latihan dalam bulan puasa. Sesi pertama pada jam 5.30 hingga 6.30 petang dan sesi kedua bermula jam 9.30 hingga 11.00 malam. Tapi atas sebab minat dan passion kepada bolasepak dan azam untuk menyediakan pasukan yang lebih baik menjelang tournament yang akan disertai, digagahkan juga untuk menyertai latihan. Tapi pada saya ia lebih kepada passion terhadap bolasepak dan apabila lama meninggalkannya terasa ‘gian’.

Namun beberapa pandangan dari saya dan beberapa rakan yang menyokong bolasepak di bulan Ramadan, ingin saya kongsikan di sini :

  1. Pemain Mencari Rezeki

Bayangkan kita bekerja sebagai seorang kerani di Syarikat Perkapalan. Apabila tiba sahaja bulan Ramadan, kita mohon cuti sebulan untuk berpuasa dan beribadat. Pasti janggal bukan malah belum ada yang saya temui mengambil keputusan sedemikian. Begitu juga dengan pemain bolasepak. Mereka bermain bukan sekadar populariti dan suka-suka tapi itu punca rezeki mereka. Di padang itulah tempat mereka memperagakan skil dan kemahiran untuk mencari rezeki sama seperti kerani itu tadi. Bezanya, pentas mereka bukan setiap hari bekerja tapi ditentukan oleh JK Pertandingan FAM. Turut sahajalah kehendak majikan demi sesuap nasi. Malah di Liga Perdana Inggeris, ada pemain yang beragama Islam terpaksa mengqadakan puasa kerana dikhuatiri akan menjejaskan permainan mereka;

  1. Islam Tidak Melarang Bersukan

Bersukan memang dituntut untuk memastikan badan sentiasa cergas dan terhindar dari sebarang penyakit. Bulan Ramadan bukanlah alasan untuk tidak melakukan aktiviti fizikal. Tidak ada nas atau hukum yang melarang kegiatan sukan seperti bolasepak ditangguhkan. Ia turut menyokong sistem badan yang telah berpuasa seharian dan tempoh sebulan yang dihadapi lebih menyakinkan. Ia baik dari segi diet pemakanan tetapi perlukan diet yang betul dengan masa yang tepat. Solat terawih tidaklah menjadi punca besar kerana boleh dilakukan di mana-mana, secara rileks, bersambung-sambung selagi belum menjelang fajar. Melakukan aktiviti sukan adalah lebih berfaedah daripada tidur sepanjang hari dan aktiviti fizikal juga membantu kita kekal fit menuju 20 rakaat pada setiap malam Ramadan;

  1. Penyokong Bukan Punca Pendapatan

Ada pandangan yang mengatakan kehadiran penonton kurang pada perlawanan yang diadakan pada bulan Ramadan. Saya akui kenyataan ini atas alasan penyokong mempunyai pilihan sama ada ingin hadir atau mengimarahkan Ramadan dengan berterawih atau kedua-duanya. Harus diingat seperti poin yang saya nyatakan di atas, solat terawih adalah solat yang sangat rileks hatta di stadium pun kita boleh melaksanakannya. Tapi bagi peminat tegar, mereka sanggup ke stadium untuk menyaksikan game pilihan. Namun, saya tetap berpandangan, walaupun kehadiran menurun, ia bukanlah punca merosotnya permainan pasukan atau mengganggu kedudukan kewangan kelab. Kelab kecil seperti Sime Darby FC, Felda United mahupun PDRM, kehadiran penonton bukanlah dalam jumlah yang besar tetapi kelab masih mampu membayar gaji pemain. Peningkatan penonton hanyalah sebagai impak tambahan dan ‘duit tepi’ kepada kelab untuk perbelanjaan tambahan;

  1. Pemain Insaf

Masih ingat pasukan kebangsaan dibedil 0-6 dengan Palestin? Ya. Palestin, sebuah negara yang sering kita dengar dengan letupan bom dan serangan dari rejim zionis. Mereka tidak mempunyai ruang dan peluang untuk berlatih dengan tenang. Tiada padang latihan yang sempurna dan fikiran yang tenang untuk berlatih. Berbeza dengan kita di Malaysia. Semuanya cukup serba serbi tetapi tumbang. Memang cakap lebih mudah dari melakukannya. Jadi, bermain di bulan Ramadan juga salah satu sebab supaya pemain insaf dengan kedudukan mereka. Ustaz selalu cakap, kita berpuasa untuk menginsafi diri dan ingat jangan membazir ketika membeli juadah. Ingat orang Afrika mati tak makan. Begitu juga dengan pemain. Inilah masanya untuk muhasabah diri bagi yang pernah terlibat dengan isu jual game dan sebagainya. Berlatih atau bermain dalam keadaan yang tidak normal berbanding bulan-bulan lain akan menginsafkan pemain, itupun kalau jenis yang istiqamah atau mempunyai kesedaran;

Jadi, apabila bulan Ramadan menjelang, terus kekalkan momentum dan kekal cergas. Bukan alasan untuk kita kekal layu dan tidak produktif dan tidak juga menghiraukan kenikmatana Ramadan, bulan penuh rahmat. Uruslah masa dengan cemerlang bagi menghasilkan Ramadan yang cemerlang serta kesihatan yang terbilang.

Selamat berpuasa 🙂

Kredit : Zakaria Abdul Rahim, Selangorfc.com