Archive for October, 2015

Sebagai peminat muzik, tidak dapat dinafikan karya dari Indonesia memang menusuk kalbu. Setiap bait lirik yang dicipta mampu mendatangkan kesan cukup mendalam kepada individu, masyarakat mahupun bangsa itu sendiri. Melihat kepada populasi Indonesia yang mencecah billion orang tidak hairanlah pelbagai karya menusuk kalbu mampu dihasilkan. Lihat sahaja kepada pengamen jalanan yang sering mengangkut gitar ke sana ke mari mendendangkan lagu tatkala angkotan kota berhenti di persimpangan sementara menanti lampu hijau. Hanya ketandusan hidup menhalang mereka dari masuk ke studo rakaman. Itu pun yang bernasib baik telah ramai membanjiri kota-kota besar seperti Jakarta dan Bandung. Sebut sahaja Dewa 19, Peterpan (kini NOAH), Padi, Ari Lasso, Cakra Khan, Judika tidak ketinggalan Rossa, Nicky Astria dan ramai lagi bintang-bintang Indonesia yang lunak suaranya dan puitis liriknya.

CQIUljNVAAAr5Up.jpg-large

Poster konsert NOAH di Los Angeles

Keterlibatan artis-artis Indonesia membuat persembahan di luar Indonesia sama ada dijemput atau membuat persembahan secara konsert juga tidak dinafikan. Kebanyakan mereka telah mengadakan konsert secara besar-besaran di seluruh Indonesia, Malaysia dan Singapura tidak ketinggalan juga di negara Asia dan Eropah. Ketika artikel ini ditulis juga band NOAH sedang berada di Theatre Fox Los Angeles bagi mengadakan konsert di sana. Bayangkan NOAH mampu menjejak USA!!! Jom kita rungkai apakah kehantuan yang melanda lagu-lagu Indonesia ini;

Bersifat Ketuhanan

Antara band yang selalu mengalunkan lagu-lagu ketuhanan ini ialah Wali Band, Ungu dan terbaru mungkin Radja. Wali Band memang memulakan karya mereka dengan lagu-lagu ketuhanan dan bersifat ukhwah namun bukan bergenre nasyid seperti dipopularkan Raihan atau Rabbani di Malaysia. Lagu-lagu mereka lebih mengajak kepada kebaikan dalam bentuk informal dan secara santai. Ungu pula selain lagu-lagu cinta berhantu mereka mengeluarkan album religi setiap kali bulan Ramadan bertamu. Lagu ‘Dengan Nafasmu’ sehingga kini menjadi lagu kegemaran aku sehingga kini. Album religi seperti Surgamu (2006), Para Pencarimu (2007), Aku dan Tuhanku (2008), Maha Besar (2009) dan yang terkini Ruang Hati (2013) memang mendatangkan kesyahduan. Ungu turut menyanyikan sebuah lagu ‘Bila Tiba’ sebagai soundtrack filem ‘Sang Kiai’ yang turut mendatangkan keinsafan yang mendalam.

Bersifat Kemanusiaan

Ebiet G Ade antara pemuzik, pengkarya dan penyanyi yang cukup aku senaraikan antara yang paling diingati. Lagu ‘Berita Kepada Kawan’ dan ‘Titip Rindu Buat Ayah’ sudah cukup untuk melarikan sedikit genre percintaan yang selalu dimainkan oleh pemuzik Indonesia. Tiap bibit lirik memberi makna tersendiri dan enak dialun kalau terus dinyanyikan bersama-sama. Dua lagi lagu yang tidak boleh tidak ialah dari ‘Laskar Pelangi’ dari Nidji dan ‘Sahabat’ dari Padi yang pada aku penuh sempoi namun perlu disulami dengan menonton kedua-dua buah filem iaitu ‘Laskar Pelangi’ dan ‘Upin dan Ipin’ versi Indonesia. Tapi tak cukup rasanya kalau tak include sekali band legend Indo, Sheila on 7 dengan lagu ‘Sebuah Kisah Klasik Untuk Masa Depan’. Lagu ni memang berhantu zaman pre graduation night dulu. Sampai siap carik kod gitar nak perform untuk pre graduation night. Nah kalau nak tahu tentang hidup teruskan menonton video klip yang aku usulkan ini.

Bersifat Kenegaraan

Ini pun satu hal jugak. Aku dapat retrieve bende ni pun masa game Piala AFF Malaysia lawan Indonesia beberapa tahun lepas. Curi-curi dengar radio Jakarta kat online terdengar Jak FM mainkan lagu ‘Garuda di Dadaku’ dendangan kumpulan Netral. Dengar awal-awal macam biasa je tapi bila dengar balik dan bayangkan kalau main dalam stadium memang meremang bulu roma beb. Memang bangsa Indonesia ni jenis rebel kaw2 punya kalau bab negara ni. Kotak Band juga ada mengeluarkan lagu semangat ini melalui track ‘Beraksi’ dalam album Kotak Kedua dan tidak ketinggalan Ungu dengan tajuk ‘Indonesiaku’ dalam album Penguasa Hati dan tidak ketinggalan NOAH dengan lagu ‘Raja Negeriku’ track pertama dalam album Seperti Seharusnya yang dirilis sebaik sahaja Ariel keluar dari sel.

Bersifat Percintaan

Kalau genre ini kita tak payah bincang panjang. Memang semua lagu baik lelaki, wanita, band, duet memang berhantu. Aku bermula dengan Sheila on 7 dengan ‘Bila Kau Tak Disampingku’ yang boleh membuatkan segala jenis bateri dalam dunia ni akan kering kalau masuk kaset dalam radio atau walkman. Nyanyian sempoi Duta sambil alunan muzik yang bersahaja membuatkan penuntut Universiti ketika itu membesar dengan lagu ini. UP sikit level lagu bila dengar ‘Mengenangmu’ dari Keris Patih cukup meruntun jiwa. Walaupun kurang popular jika dibanding Dewa 19, SO7 dan Peterpan, Keris Patih sekali sekala memberi karya yang meletop. Pilihan seterusnya haruslah Dewa 19 dengan ‘Pupus’ antara lagu Dewa pertama yang menangkap di telinga sehingga ke hari ini. Dewa juga banyak menghasilkan lagu-lagu berhantu yang memang tak cukup satu persatu untuk aku listkan di sini. Setelah Dewa kian mendiamkan diri, muncul pula Peterpan menghantui dengan lagu ‘Mungkin Nanti’ yang mendapat hits paling tinggi di Malaysia dan Indonesia sekitar 2005 namun aku lebih tertarik kepada ‘Kukatakan Dengan Indah’ yang lebih layan. Sampai Ariel masuk jel dan keluar jel Peterpan ditukar nama kepada NOAH dan karya mereka diperluaskan lagi dengan album Seperti Seharusnya yang dikeluarkan pada 2012 dan lagu Tak Lagi Sama menjadi pilihan hingga ke hari ini. Melihat kepada kebanjiran artis-artis dan band ini, agak keterlaluan jika tidak bersama mendiang Broery Marantika. Lagu ‘Widuri’ dan ‘Biar Bulan Bicara’ antara nyawa muzik Indonesia satu ketika dulu dan masih diminati sehingga kini.

Teruskan berkarya sahabatku dan jom aku belanja satu video klip sebelum tido. Enjoy it 🙂

 

10 Tahun dan Terus Menanti

Posted: 02/10/2015 in Sukan

Petang itu bukanlah petang yang biasa di bandaraya Shah Alam dan kawasan Lembah Klang. Bermula jam 3.00 petang jalanraya di sekitar Shah Alam mula dipenuhi kereta dan motosikal yang dihiasi dengan warna merah kuning. Bendera, mafla dan kain rentang bermotifkan Selangor dengan warna tradisi merah kuning memenuhi jalan-jalan dari Shah Alam menuju ke satu tujuan iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil. Tujuan mereka hanya satu, melihat Selangor sekali lagi dalam pentas final selepas seminggu sebelumnya berjaya menumbangkan Perak dalam final Piala FA di Stadium Shah Alam dengan jaringan 4-2.

Aku juga tidak terkecuali dari menjadi sebahagian daripada golongan itu. Memilih motosikal untuk ke stadium merupakan pilihan terbaik. Malah itu sahaja kenderaan yang ada pada ketika itu. Menunggang bersama Mamat Klang (ketika ini beliau merupakan seorang rapper, harap2 ko kenal aku lagi Mamat), tunggangan dari Shah Alam bermula seawal jam 5.00 petang dari Shah Alam menuju ke Bukit Jalil yang memakan masa 45 minit. Kami turut disertai rakan-rakan seperjuangan yang selalu ke stadium sepanjang tahun tersebut. Kuda, Wakbul, Bob, Ejat, Ejal, Kecik, Afan dan lain (tak ingat siapa lagi yang join tapi yang pasti memang ramai). Aku baru join Selangorfc.com ketika itu tapi belum dapat join mereka untuk game day so budak2 rumah di Shah Alam dan UiTM yang selalu jadi geng tengok bola.

Setibanya di stadium kami tidak memilih untuk berada lama di perkarangan. Terus masuk cari tempat duduk setelah pintu mula dibuka jam 6.00 petang. Tak perlu risau sebab golongan penyokong Perlis hanya sekitar 30-40 ribu tapi untuk dapatkan view yang menarik kami memilih untuk duduk di tier pertama betul-betul di garisan tengah padang. Suasana yang cukup bingit dengan kehadiran ribuan penyokong merah kuning mendominasi segenap penjuru Stadium Nasional. Hanya sekelompok penyokong Perlis di sebelah kiri aku dan nyata sorakan mereka ditenggelami oleh paluan gendang.

Perlawanan akhir bermula tepat jam 8.45 malam dengan Selangor dipimpin oleh Shukor Adan manakala Perlis oleh Khairulnisam Sahabudin sebagai ketua pasukan. Meletakkan Jamsari Sabian sebagai penjaga gol, P.Gunalan, Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, D.Surendren sebagai pertahanan gandingan Shukor Adan, K.Sanbagamaran, Elie Aiboy dan Amri Yahyah di tengah dan pemusnah Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes. Selangor tidak menunggu lama untuk menggegarkan Stadium Nasional bila Elie Aiboy mengambil sepakan sudut mencari kepala Bambang Pamungkas untuk ditanduk masuk pada minit ke 17. Tamat separuh masa pertama dengan mendahului 1-0.

Membuka separuh masa kedua, Selangor hanya memerlukan lima minit untuk terus melebarkan kedudukan. Sekali lagi sepakan sudut Elie Aiboy berjaya dihidu oleh kepala Bambang Pamungkas untuk ditanduk masuk pada minit ke 50. Sekali lagi stadium bergegar dan kami terus bersorak gembira. Ia bagaikan suatu perasaan yang tak dapat digambarkan. Selangor terus diasak namun benteng pertahanan dan Jamsari Sabian utuh menahan asakan dan sedang sibuk Perlis mencari gol, lima minit sebelum tamat, Bambang sekali lagi menghukum kealpaan benteng Perlis dan menjaringkan gol ketiga hasil hantaran D.Surendren. Bergegar lagi stadium dan kali ini gegaran semakin kuat kerana keyakinan Piala Malaysia sudah berada dalam dakapan. Bambang menjaringkan hatrik dalam final Piala Malaysia dan menjadi pemain kelima selepas N.Thanabalan (Selangor-1968), Ervin Boban (Johor-1991), Abbas Saad (Singapura-1994) dan Juan Manuel Arostegui (MPPJ-2003) yang pernah mencipta hatrik dalam pentas akhir.

Kami berpesta apabila upacara penyampaian hadiah dan menjulang piala. Para pemain mengarak Piala Malaysia mengelilingi stadium. Kesemua penyokong Perlis telah mula meninggalkan stadium manakala penyokong Selangor terus meraikan malam bersejarah tersebut. Kami terus berada di dalam stadium sehingga jam 11.30 malam. Di luar stadium turut bingit. Perjalanan pulang meriah dengan hon-hon kenderaan menyatakan kegembiraan mereka. Bendera merah kuning terus berkibarakan pada malam ini dan keesokan paginya di bumi Shah Alam dan kawasan sekitarnya.

Itulah kisah yang berlaku pada 1 Oktober 2005, 10 tahun yang lalu. Malam ini, 2 Oktober 2015, Selangor masih meneruskan perjuangan dalam saingan Piala Malaysia menentang Kelantan di Kota Bharu. Malam ini merupakan perlawanan keempat selepas tiga perlawanan lalu Selangor hanya mampun mengutip empat mata menerusi kemenangan menentang T-Team, seri dengan Felda United dan tewas kepada Kelantan di pusingan pertama dan menduduki tempat ketiga dalam kumpulan C, sesuatu yang kurang menarik baggi bekas juara 32 kali itu. Malam ini, diharap aura 10 tahun lalu dapat diadaptasikan dengan kemenangan dan meneruskan saingan dalam Piala Malaysia untuk mengakhiri kemarau 10 tahun atau terus menanti.

Teruskan perjuangan wahai Selangorku 🙂

Kredit : skakoi, Selangorfc.com