Archive for June, 2017

Kias Ramadan : Part 2

Posted: 11/06/2017 in Bacaan Ringan

Aku termenung ke luar jendela sedang menanti dengan penuh debaran. Dapat atau tidak tiket itu. Ye, aku tunggu tiket. Tiket perlawanan Bolasepak Piala Dunia Wanita 2039 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur. Ye, team bolasepak wanita Malaysia telah masuk World Cup buat pertama kali dalam sejarah bolasepak Malaysia. Masakan tidak semua rakyat Malaysia merasa kagun dan ingin merasai adrenalin berada di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ok Malaysia layak bukan sebagai tuan rumah tapi memang layak secara merit apabila menduduki tempat ketiga di belakang Jepun dan Korea di kelayakan zon Asia.

Best tak tengok bola di stadium? Ntah aku pun baru first time ni. Selalu lebih suka lepak tengok bola di rumah saja. Boleh baring gelunjur kaki, makan Pringles dgn kacang sambil buat smootie pisang letak blueberries. Tak perlu nak beratur panjang beli tiket atau berebut nak redeem tiket online serta berpanasan di stadium. Kalau game boring aku pulak yang tertidur di depan tv dan selalunya memang begitu. Kalau kat stadium nak tidur celah mana kan? Tapi kenapa hari ni aku di sini? Termanggu menunggu tiket sedangkan selama ni di peringkat kelayakan tak pernah pun aku jejakkan kaki ke stadium ni.

Khairani Famizah penjaga gol putih melepak, pertahanan kental Aida Zafirah dan Fadhilah Shais, Syafiqah Rahimah pemain midfield yang versetail, sayap kanan kiri yang laju macam cahaya, Badariah Baharum dan pemain India Kunnayan Supramaniam dan penyerang sensasi Safeezah Salihudin adalah pemain yang sering keluar di kaca tv dan tak pernah aku bermimpi melihat pemain ini di depan mata. Hari ini, kalau ada rezeki aku akan tengok dengan mata kepala sendiri.

Alhamdulillah, tiket yang dikirim sudah berada di tangan. Perlahan-lahan berjalan masuk melalui gate yang ditetapkan dengan body check yang terpaksa dilalu atas tujuan keselamatan. Semua yang hadir hari ini berseragam kuning berjalur hitam, seragam wajib buat Harimau Malaya baik team lelaki mahupun wanita. Hanya abang Polis sahaja berpakaian polis. Makcik jual burger, adik jual kuaci semua berbaju kuning hitam dengan cetakan nama pemain kegemaran berserta nombor di belakang. Aku mengambil tempat duduk di belakang gol kerana itu sahaja yang masih kosong. Perlawanan akan bermula 30 minit lagi. Pukul berapa agaknya mereka ini datang untuk merebut seat tengah yang paling happening tu? Perlawanan dengan Germany haruslah epik kerana Germany pernah menjadi juara Piala Dunia sebanyak dua kali pada 2003 dan 2007. Germany pula menduduki top 10 ranking dalam bolasepak wanita dunia. Namun, masih ada harapan sebab kita bermain di laman sendiri.

Sorakan mula bergema walaupun permainan belum bermula. Aku terkial-kial sebab tak tau lagu apa yang nak disorakkan. Maklumlah kali pertama. Tapi selepas dua tiga kali mendengar aku dapat tangkap beberapa bait sorakan dan seterusnya aku ikut bernyanyi sekali. Sungguh, satu perasaan dan adrenalin yang lain daripada aku tengok kat depan tv. Ini lebih mengujakan dan lebih bersemangat. 30 minit tadi rasa berlalu dengan cepat. Aku mula rasa seronok dan teruja untuk ke peringkat seterusnya hingga tak sedar keringat mula membasahi jersi hitam kuningku ini.

Perlawanan bermula. Kelihatan ketua carteo (baru aku tau terma ni lepas tanya adik kat sebelahku ini. Carteo bertindak sebagai ketua sorak) dengan listing lagunya bagi menaikkan semangat wirawati Harimau Malaya. Lagi kuat Carteo sorak lagi ramai yang akan ikut. Germany memulakan asakan. Bargona Prinz adik kepada Birgit Prinz mengetuai serangan namun mudah dipatahkan oleh Aida dan Fadhilah. Terus melalui satu serang balas, Syafiqah selaku kapten melarikan bola dari tengah padang sebelum membuat satu diagnal pass kepada Badariah. Badariah menggunakan kelajuan cahaya menggelecek dua pertahanan sebelum membuat satu hantaran lintang ke tengah. Pertahanan Germany, Mita Hummels dilihat mudah mengeluarkan bola namun cabaran dari Kunnayan menyebabkan clearance hanya sejengkal di depan mata Safeezah. Penyerang nombor 10 ini seakan menghidu peluang dan melepaskan rembatan dan golllllllllllll……disertai dengan sorakan puluhan ribu penyokong. Baru aku tau yang aku jerit sorang-sorang depan tv kat rumah tu hanya aku sahaja. Tapi di sini, fuhhhhhh seram sejuk berdiri bulu roma bila jerit gol ramai-ramai.

Malam itu aku Malaysia mencatat sejarah menang 1-0 ke atas Germany. Masing-masing pulang kegembiraan. Kami bernyanyi-nyanyian sepanjang jalan menuju kereta. Aku hanya naik basikal sebab rumah aku hanya 5 km dari stadium. Tu pun malas nak pergi kan. Usai bersihkan diri aku berehat depan tv. Melihat semula aksi yang kulihat secara live tadi dengan temuramah bintang terkenal Safeezah Salihudin. Mamai dek kepenatan muka Safeezah jadi bayang empat.

Aku tertidur.

Aku terbangun.

Rupanya telah sampai tengahari aku melelapkan mata. Kedengaran ibu membebel di luar rumah, senario biasa setiap petang. Ye dah petang bukan tengahari lagi. Lebih 12 jam la aku tidur dari malam tadi. Lantas aku melompat mencapai kain sal terus membersihkan diri. Teringat pesan ibu minggu lepas untuk belikan barang-barang dapur kerana minggu depan dah nak puasa. Aku cuba recall seperti merecall gol Safeezah malam tadi. Nyata, jelas ada barang yang masih aku hutang. Konon nak recovery, aku pun keluar bilik dengan tenang mencapai kunci motor untuk ke kedai Aceh. Belum sempat keluar, ibu menyapa mengatakan barang yang dikehendaki semua telah lengkap hasil upahan budak main ting-ting kat depan rumah dengan upah sebatang aiskrim.

Maghrib menjelang, ibu bersiap dengan telekung baharu, perisai untuk ke masjid malam ini. Aku seperti tahun sudah, sempoi sahaja berseluar khakis bertshirt lengan panjang. Baju melayu buat dipakai semasa raya entah duduk di lipatan paling bawah agaknya. Butang baju apatah lagi kan. Ibu menggeleng kepala tanda kurang setuju tapi aku terus menghidupkan enjin motor menuju masjid. Dalam perjalanan ibu sempat berpesan, itupun selepas aku menunggang sekitar 30km/j. Berikut pesan ibu :

  1. Esok dah mula puasa. Puasa ni macam World Cup juga. Sebulan orang beri perhatian, berjaga malam, bergegas ke stadium, berjemaah dan menikmati keindahan dari peringkat kumpulan hingga ke peringkat akhir;
  2. Berterawih di masjid itu ibarat pergi tengok bola kat stadium. Kalau kau solat sorang2 kat rumah kau tak rasa manisnya mendengar suara imam membaca Al-Quran dan semangat makmum2 lain untuk bertahan bersama-sama hingga ke rakaat terakhir. Mengaminkan Al-Fatihah itu kalau kau buat macam jerit gol kan ke lagi baik. Lainlah kau tu perempuan, banyak kerja rumah bagai;
  3. Pakai yang elok2 dan bersesuaian ke Masjid. Serupa macam kau pergi tengok bola pakai jersi Malaysia. 90% orang akan datang tgk bola pakai jersi Malaysia kecuali dia datang dari ofis sebelah stadium dan tak sempat balik rumah. Kalau kau main seluar khakis dgn t-shirt je pergi masjid esok ibu suruh kau pergi tengok bola pakai baju melayu dgn kain pelikat pulak. Nak? Tak salah tapi tak kena pada keadaan. Pergi masjid eloklah berbaju melayu, berpelikat, berjubah, berqurta dan bersongkok. Buat macam kita pergi tengok bola jugak;
  4. Senyum kan kalau keluar stadium di saat pasukan menang? Begitu juga manisnya selepas rakaat terakhir sewaktu kita memberi salam solat terawih. Saat keluar masjid itu kita rasa puas dapat beribadat untuk hari tersebut. Lebih manis dari melihat pasukan menang kerana ia dilakukan untuk diri kita sendiri buat bekalan satu masa nanti;
  5. Mulai esok tentukan di mana posisi kau dalam berpuasa. Kalau dalam bolasepak, penjaga gol dan pertahanan itu penting, sama juga dalam puasa. Jadilah penjaga gol dan back four yang kental dalam fasa pertama dan cuba upgrade jadi Ronaldo di posisi serangan. Baru complete Ramadan kita.

Tepat pesanan kelima ibu, motor aku terhenti di masjid. Ibu turun dengan senyuman, aku balas nak kata kelat, sinis atau malu. Usai ibu masuk ke ruang jemaah wanita, aku berdesup patah balik rumah. Cepat-cepat selongkar baju melayu dengan kain pelikat serta memakai wangi-wangian. Kopiah hitam tinggalan arwah ayah sempat ku gapai. Kini lebih bersedia menuju terawih pertama Ramadan. Lebih bersedia menuju Ramadan. Lebih teruja untuk memastikan aku sampai ke peringkat akhir dan terus menjulang Piala Ramadan.

Motor ku pulas deras.

“Rugilah orang yang masih menangisi masa yang telah lalu tanpa berusaha mengejar masa hadapannya…10 malam terakhir” – DMR

_________________________________________________________________________________________

 

Kias Ramadan : Part 1

Posted: 01/06/2017 in Bacaan Ringan

Ramadan Run 2017 / 1438H

Acara yang dinantikan setiap tahun. Lebih menarik daripada Iskandar Puteri Night Marathon ataupun Penang Bridge International Marathon dan mana-mana acara larian di serata Malaysia di mana Ramadan Run akan dilangsungkan selama 30 hari berturut-turut di sebelah malam. Cuma kita tak perlu lari. Fokus, bangun duduk, bangun duduk plus baca2 sikit. Yang penting fokus.

Objektif : Untuk menjadikan kita insan yang bertaqwa seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 (sila carik sendiri)

Kumpulan Sasaran : Islam, Baligh, Berakal, Bersuci

Kategori : 8 sehingga 20 rakaat

Lokasi : Semua masjid-masjid dan surau-surau di Taman Perumahan hatta di Pusat Membeli Belah sekalipun. Kalau malas sangat flag off kat rumah je.

Flag Off : 8.45 malam setelah tamat solat Isyak

Pengambilan Race Kit : (Itu beli bukan bagi) Di semua kedai menjual baju melayu, jubah dan qurta. Dinasihatkan kalau run biasa pakai t-shirt, Ramadan ni try pakai baju melayu, jubah dan qurta pulak. Tshirt tu simpan buat lari.

Medal Penamat, Sijil dan Anugerah : Akan dikurniakan selepas kau meninggal nanti. Yang buat banyak diberi banyak pahala dan syafaat yang tak buat langsung taktau lah nak bagi apa. Itupun kalau habis dan istiqomah la. Macam fun run tak abis pun kau dapat medal jugak kan.

Pendaftaran : Early bird dia masa masuk Rejab bila imam mula baca doa “Berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan”.

Yuran Penyertaan : Percuma. Cuma kau kena prepare.

Tarikh tutup : 25/26 Jun 2017 (mengikut anak bulan Syawal)

Waterstation : Jam 7.30 serta 10.30 bertempat di ruang makan masjid. Sila target masjid-masjid besar yang offer iftar dan moreh. Nak lagi best kalau masjid atau surau tu terletak di sebelah Bazar Ramadan. Untung-untung kau dapat ayam percik yang kau tengok tak pejam mata pada petang sebelum kau masuk masjid tadi.

Jadi, apa tunggu lagi? Ada 24 malam lagi nak kejar ni. Kalau 10km boleh lari, half marathon yang 21km celah gigi, full marathon 42km dengan cut off time 5 jam selamba kau gagahi, Ramadan Run hanya 20+3 rakaat umpama lari setempat dengan cut off time selama sejam sahaja untuk dipenuhi.

Jom solat terawih 🙂

‘Barangsiapa berpuasa bersungguh-sungguh di bulan Ramadan, nescaya dia akan masuk ke syurga menggunakan pintu Ar-Rayyan yakni pintu yang dikhaskan untuk orang yang berpuasa’ HR Bukhari.

“Lari 10km mengejar medal, mari kita terawih 20 rakaat bagi mengejar pahala Allah. Ia percuma, tanpa bayaran” – DMR