Archive for January, 2014

Amri Yahyah Seorang Lagenda

Posted: 21/01/2014 in Sukan

Mohd Amri Yahyah dilahirkan pada 21 Januari 1981, berasal dari Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor Darul Ehsan. Amri merupakan pemain Selangor paling setia selepas Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari yang bermain untuk Selangor selama 15 tahun dari 1972-1988. Menyingkap detik penglibatan Amri dalam bolasepak, beliau hanya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya, Tanjung Karang dan bermain bolasepak mewakili sekolahnya. Bakatnya mula diintai oleh bapa pembangunan bolasepak Selangor ketika itu, Datuk Muhd Aini Taib yang kebetulan menjadi ADUN Sg. Burung. Amri adalah batch terakhir yang terpilih untuk bersama Akademi Bolasepak Selangor. Ramai pemain dari daerah Tanjung Karang terpilih ketika itu. Amri memulakan karier bersama Merah Kuning pada 2001 ketika beliau berusia 20 tahun. Mewakili skuad Piala Presiden Selangor dengan posisi di bahagian serangan dan menjaringkan lapan gol. Dalam tahun yang sama Amri dinaikkan pangkat beraksi dengan skuad utama. Gol pertama beliau dijaringkan di Stadium Larkin pada perlawanan Piala FA menentang Johor. Namun gol kedua beliau lebih dramatik apabila Selangor yang ketinggalan 0-3 ketika perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA kepada Perlis, bangkit menyamakan kedudukan di Shah Alam dengan mendahului lawan 3-0. Amri tampil menjaringkan gol pada masa kecederaan buat Selangor menang 4-0 dan layak ke pusingan seterusnya dengan aggregat 4-3.

pageFoto pertama bersama Amri Yahyah ketika meraikan kejuaraan Piala Malaysia Selangor 2002

Selepas itu, Amri menjadi sebahagian daripada skuad utama Selangor. Selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 1997 menewaskan Pahang 1-0 di Shah Alam, Selangor ketandusan Piala Malaysia. Merah Kuning hanya berbangga dengan kejuaraan Liga Primier pada tahun 2000 dan Piala FA pada 2001. Tahun 2002, Selangor hanya memiliki Azmin Azram di gawang, pemain import Ivica Kulesevic dan Nizam Jamil di pertahanan sambil gandingan Mass Sarr Jr dan penyerang terbilang Azman Adnan di barisan hadapan. Amri hadir memperkukuh posisi sayap Selangor ketika itu menyarung jersi nombor 17 yang kali terakhir dimiliki oleh Rezal Hassan. Nama Amri melonjak naik apabila menjaringkan gol emas pada masa tambahan menewaskan Khairul Azman Mohamed ketika Selangor dan Sabah buntu mencari gol pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Amri telah menghadiahkan Piala Malaysia kepada Selangor selepas lima tahun kempunan. Amri tiba-tiba menjadi popular. Dari seorang budak motor, pemuda kampung berambut belah tengah ini mula digilai.

Bagi menguatkan barisan skuad kebangsaan menghadapi Piala Tiger di Indonesia dan Singapura pada penghujung 2002, jurulatih kebangsaan Allan Harris menitip nama Amri menguatkan barisan. Amri yang ketika itu berulang alik dari Wisma FAM Kelana Jaya ke Tanjung Karang setiap hari untuk menghadiri latihan terlibat dalam kemalangan apabila beliau patah tulang kaki ketika menunggang Yamaha RXZnya. Berita buruk itu amat menyedihkan. Ketika bintang Amri baru mulai menyinar, dia ditimpa kecelakaan. Penyokong Selangor dan Malayisa mula merasakan karier Amri mula malap. Namun, selepas beberapa siri rehabilitasi, Amri pulih dan boleh bermain seperti biasa. Namun begitu, Amri tidak dapat bersama skuad kebangsaan yang mendapat tempat ketiga Piala AFF yang dimenangi oleh Thailand. Walaubagaimanapun Amri telah mencipta pelbagai pahit manis dalam dunia bolasepaknya khususnya bersama Selangor dan pasukan kebangsaan.

Pada 2005, nama Amri sedikit tercicir dalam skuad Selangor ketika pengurusan membawa masuk dua pemain import Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy di samping mengekalkan khidmat penyerang Argentina, Brian Fuentes. Nyata tiada tempat buat Amri ketika Elie bermain hampir setiap perlawanan dan kombinasinya bersama BEPE menjadikan Selangor bermaharajalela dalam saingan kumpulan B Liga Perdana. Di sebelah kiri pula Brian Fuentes menjadi pilihan Dollah Salleh sementara gandingan BEPE dan Khalid Jamlus di barisan depan. Di tengah, K.Sanbagamaran dan Shukor Adan mengetuai jentera. Amri kadang-kadang masuk di separuh masa kedua menggantikan Elie, Fuentes atau Khalid. Pada satu ketika di perlawanan akhir Piala Liga Perdana menentang Negeri Sembilan di Paroi, Amri masuk bermain di posisi bek kanan bagi mengimbangi perlawanan. Amri tidak kekok malah bermain seperti biasa menjalankan tugas yang diarahkan Dollah. Selangor menang 4-2 untuk menjulang piala pertama 2005. Ia tidak berhenti di situ, Amri membantu Selangor memenangi Piala FA dan Piala Malaysia sekaligus menjadi pasukan pertama berjaya menjuarai kejuaraan treble dalam satu musim. Yang menariknya pada pertembungan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia, Amri yang digantung tetap hadir ke Kuala Terengganu untuk menyaksikan rakan-rakan tetapi akibat perlawanan yang ditunda akibat blackout, Amri dibenarkan bermain pada keesokkan harinya dengan menggunakan jersi pemain lain.  Kehadiran Amri sebagai pemain versetile telah membantu Selangor bangkit dari musim suram dan kembali ke Liga Super 2006.

Tahun 2009 boleh dikatakan tahun gemilang buat Amri apabila kali pertama dipilih sebagai kapten pasukan menggantikan Shukor Adan yang berhijrah ke Negeri Sembilan. Amri tidak menunggu lama untuk mencipta nama. Pada Januari 2009 atau lebih tepat lagi pada perlawanan Piala Sumbangsih, Amri hanya memerlukan empat minit untuk menjadi pemain pertama menjaringkan gol pada musim 2009 melalui sepakan percuma. Bagai menyimpan dendam kepada Kedah yang mengecewakan Selangor dua kali dalam final Piala FA dan final Piala Malaysia 2008, Amri sekali lagi meledak gol kedua peribadi pada minit ke-35. Malam gemilang itu dilengkapkan dengan dua lagi gol dari Zameer Zainun dan Safee Sali buat Selangor menang 4-1 dan ia adalah piala pertama dijulang Amri sebagai kapten pasukan. Pada April 2009, Amri memimpin Selangor ke perlawanan akhir Piala FA. Selangor yang dihampakan Kedah pada final yang sama 2008 berazam mengubat kekecewaan itu dengan membenam pendatang baru yang semakin mencabar iaitu Kelantan. Masa penuh berakhir 0-0 dan masa tambahan tampak begitu memihak kepada Kelantan apabila mendahului 1-0. Namun hantaran lambung D.Surendren disambut dengan flying header mencium tanah buat Amri menyamakan kedudukan 10 minit sebelum tamat. Sepakan penalti jadi penentu, Selangor megah menewaskan Kelantan 4-1. Pada Julai 2009, Amri dipilih dalam skuad kebangsaan menentang kelab terkemuka Manchester United. Bagai telah diduga MU menang mudah 3-2 namun Amri menjadi warga Malaysia pertama menyumbat dua gol ke atas juara liga perdana England ini. Amri menjaringkan gol melalui lob bagi menewaskan Edwin van der Sar sebelum dan menghukum kelalaian Ben Foster pada separuh masa kedua. Bulan Julai juga sangat bermakna apabila Amri dan Selangor menjuarai Liga Super Malaysia buat kali pertama setelah mengutip 63 mata dengan Amri menjaringkan 13 gol. Namun kecemerlangan itu disekat oleh Terengganu dalam saingan suku akhir Piala Malaysia apabila mereka menidakkan hasrat Selangor ke separuh akhir dengan sepakan penalti pada pusingan kedua di Kuala Terengganu.

pageMOM pada perlawanan sumbangsih 2009

Tahun 2010, Amri terus membanggakan Selangor. Mengekalkan Liga Super yang dimenangi tahun lalu dengan jumlah mata yang sama iaitu 63, Amri kali ini tampil sebagai pengumpan dan kurang menjaringkan gol. Namun karekter Amri sebagai pemimpin menjadi faktor Selangor unggul di MSL. Nama Amri terus melekat di hati K.Rajagobal untuk terus berada dalam kem skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki. Walaupun tidak selalu berada di dalam kesebelasan utama, Amri sering memberi impak kepada pasukan apabila diturunkan sebagai pemain gantian. Hasilnya, Malaysia menjulang Piala AFF kali pertama apabila menundukkan Indonesia dengan aggregate 4-2.

Di samping aksi gemilang Amri, ada juga beberapa memori ‘nakal’ pemain ini. Apa tidaknya, beraksi selama lebih 10 tahun di pentas bolasepak tempatan dan antarabangsa, pastinya ada aksi ‘luar biasa’ ditunjukkan oleh mana-mana pemain. Tambahan pula sebagai pemain serangan, pasti ada terjahan kasar yang boleh menaikkan gelodak amarah seseorang pemain. Kadangkala kematangan fikiran tidak dapat mengatasi emosi yang meluap tatkala berada di satu-satu kemuncak perlawanan dan Amri juga tidak terlepas dari keadaan tersebut.

Pada 2004 sewaktu pertemuan kelayakan Piala Dunia menentang Kuwait, Amri bertindak meludah pemain Kuwait selepas sedikit pertelingkahan. Amri dilayangkan kad merah dan didenda oleh FAM sebanyak RM48,000. Selepas itu, Amri tidak lagi dipanggil menyarung jersi kebangsaan sehingga pada tahun 2009. Aksi pada 2005 lebih mendebarkan ketika Selangor perlu mengutip mata penting berdepan Kedah di gelanggang keramat mereka, Stadium Darulaman. Mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Khalid Jamlus, Selangor bermain pada separuh masa kedua dengan Sembilan pemain selepas Khalid diberikan kad merah dan Amri menambah derita dengan sengaja menyepak bola keluar ketika sepakan percuma dan mengutip kad kuning kedua seterusnya kad merah. Bakal mertuanya ketika itu yang juga pengurus Selangor, Dato’ Satim Diman cuba mempertahankan tindakannya, juga diarah meninggalkan bangku simpanan. Nasib baik Selangor ampuh bertahan dan berjaya mengekang asakan Kedah untuk menang 1-0. Pada 2006 pula selepas tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan di Paroi, Amri bertindak berkonfrontasi dengan penyokong bersama Fairuz Montana dan K. Sanbagamaran dan kelihatan hampir bergaduh. Akibatnya Amri didenda RM4,000. Pada 2011 dalam perlawanan MSL menetang T-Team di Shah Alam, Amri yang kecewa dengan prestasi individu dan pasukan bertindak membaling bola tepat ke muka lawan dan kad merah adalah hadiah kekecewaan itu. Satu lagi isu yang hangat membabitkan insiden ‘nakal’ Amri ialah pada 2012 sewaktu pertemuan dengan Kelantan di Kota Bharu. Ketika bertahan, Amri dilihat mengawal ketat pergerakan Mohammad Ghaddar ketika Kelantan mendapat sepakan percuma. Sebaik sepakan dilakukan, Amri dilihat menumbuk kelangkang Ghaddar dengan begitu pantas sekali tanpa dapat dikesan oleh pengadil. Amri terlepas dari seberang hukuman dan pastinya Ghaddar terus berdendam sepanjang perlawanan. Pada tahun yang sama juga Amri mengalami kecederaan yang di luar jangka, bukan di padang latihan mahupun ketika perlawanan tetapi di rumah Amri sendiri ketika sakan bermain bola dengan anak sulungnya. Bola yang dirembat terkena pasu Kristal lalu jatuh pecah dengan serpihannya mengenai kaki Amri lalu mendatangkan kecederaan. Amri berehat tiga perlawanan selepas itu.

Tiada sebarang kejuaraan pada tahun 2013. Hanya boleh dibanggakan Amri ialah, beliau sekali lagi menewaskan penjaga gol antarabangsa selepas Edwin van der sar pada 2009. Kini giliran Victor Valdes dari Barcelona menjadi mangsa ketika umah Islam menyambut Aidilfitri ketiga di bumi Shah Alam. Amri meledak ketika pertemuan Malaysia vs Barcelona dengan Malaysia tumpas 1-3.

Di sebalik kejayaan Amri membantu Selangor layak ke Piala AFC dua tahun berturut-turut iaitu pada 2012 dan 2013, kelibat Amri diintai oleh pasukan lain. Amri pernah dikaitkan dengan perpindahan ke PKNS pada 2013 namun membuat keputusan untuk kekal bersama merah kuning. Walaubagaimanapun, angin berarak mendung di bumi Shah Alam pada penghujung musim 2013. Selepas membantu Selangor meraih naib juara MSL2013 seterusnya layak ke Piala AFC 2014, Amri dipancing pasukan mewah, Johor Darul Takzim dengan tawaran jutaan ringgit setahun. Amri dilihat berada di penghujung karier dan berada di kemuncak prestasi tidak menunggu lama menerima tawaran dari JDT memandangkan JDT juga dibarisi bintang ternama termasuk Pablo Aimar. Ramai peminat mempertikaikan kesetiaan Amri, namun dari sudut positif, Amri berhak berbuat demikian demi masa depannya. Bolasepak sekarang bukan lagi kesetiaan atau setiakawan. Semua itu jatuh nombor terkemudian. Masa depan, periuk nasi dan profesiolnalism harus dijaga. Ada juga mengatakan perpindahan Amri disebabkan masalah dalaman FAS yang meruncing sejak sekian lama. Di JDT, Amri tidak perlu risau isu gaji, pastinya dibayar tepat. Keserasian pemain juga boleh dibentuk kerana rata-rata pernah bermain bersama semasa di skuad kebangsaan. Kemeriahan di Stadium Larkin antara faktor tambahan jika dibandingkan di Shah Alam yang hanya full house mengikut perlawanan tertentu. Sentuhan jurulatih import berwibawa dan rakan sepelatih seperti Pablo Aimar semestinya tidak mahu dilepaskan mana-mana pemain. Amri hanya perlu berkorban dari segi hubungan keluarga. Selepas 12 tahun bersama Merah Kuning, pilihan Amri tepat untuk masa depannya.

MSL2014 telah membuka tirainya pada 18 Januari 2014 yang lalu dan Amri tidak ketinggalan menjadi salah seorang dari tiga penjaring tempatan yang menyumbat gol pada perlawanan pertama menentang Perak. Tipikal gol boleh saya katakan oleh Amri ketika mewakili Selangor dulu, Amri membuktikan gandingannya bersama Mahali Jasuli tidak tempang dan mula menjadi buah mulut orang Johor. Amri bingkas menafikan yang beliau bermain baik dan masih memerlukan masa untuk menjadi lebih baik pada perlawanan akan datang. Walaupun janggal menyaksikan Amri berjersi merah biru, itulah hakikat yang perlu ditelan dan Mohd Amri Yahyah kekal menjadi lagenda merah kuning.

Inilah tipikal near post header yang sering dilakukan Amri, tahun 2009 (video atas) dan yang terkini Sabtu lalu ketika pertama kali tampil dengan seragam merah biru 🙂

Selamat Hari Ulangtahun ke 33 buat Amri Yahyah dan selamat maju jaya 🙂

Kredit : SelangorFC.com, YouTube, Rizal Hashim

MSL 2014 : Previu Pasukan

Posted: 16/01/2014 in Sukan

Genap sehari sebelum kick off MSL2014, ikuti ulasan atau previu setiap pasukan berdasarkan penilaian pasukan dan penetilian peribadi.

Angkatan Tentera Malaysia

Label ‘Kuda Tua’ tidak lagi menjadi tagline ATM sejak kebelakangan ini. Menghuni tangga ke6 pada MSL2013, ATM dilihat konsisten pada awal hingga pertengahan musim sebelum tergelincir sedikit pada penutup liga. Beraksi hingga ke separuh akhir PM dilihat pencapaian yang munasabah dengan barisan pemain yang ada. Untuk MSL2014 hanya Farizal Harun dan Shukor Adan yang dianggap regular musim lalu meninggalkan ATM. Penggantinya bukanlah asing dalam bolasepak Malaysia, Iqbal Suhaimi selaku penjaga gol dan Juan Manuel Arostegui, penjaring hattrick final PM2003 yang membawa MPPJ menjadi kelab pertama menjulang PM. Lain-lain pemain yang kekal nyata sudah memahami corak latihan dan permainan yang diterapkan oleh B.Sathianathan. Di barisan pertahanan langsung tiada perubahan di mana gandingan Irwan Fadli-Nor Fazly-Amirizwan-Rueben yang telah lama bersama akan membuatkan mereka ampuh. Di tengah gandingan Haio-Affisze-Bruno-Cristie dilihat mampu menjadi enjin untuk menyalurkan kepada penyerang prolifik mereka kali ini, Marlon-Arostegui. Saya memilih ATM sebagai calon juara dan paling kurang pun tempat ketiga.

Johor DT

Walaupun ramai memilih JDT sebagai pasukan pilihan untuk mengungguli MSL2014 tapi saya merasakan tanggapan mereka itu hanya sekadar melihat himpunan pemain tanpa analisis yang jitu. JDT mengimport 14 tenaga tempatan, empat dari Selangor, empat dari Kelantan dan selebihnya dari Harimau Muda, Negeri Sembilan dan Johor FA. Empat pemain import dari luar pula kesemuanya baru. Walaupun Baihaiki Khaizan dan Hariss Harun telah berada semusim bersama Lions XII dalam MSL2013, itu bukan jaminan mereka serasi bersama pasukan baru. Barisan belakang paling membimbangkan kerana hanya Aidil Zafuan pemain yang kekal dari musim lalu. Walaubagaimanapun, kehadiran Pablo Aimar dan Luciano Figeroa dilihat satu strategi pemasaran yang baik bukan sahaja kepada penyokong JDT tapi peminat bolasepak Malaysia. JDT akan menjadi pencabar tiga teratas MSL2014 jika keserasian berjaya dibentuk dalam lima perlawanan awal.

Selangor

Pasukan lagenda Selangor kehilangan arah apabila kapten marvel mereka, Amri Yahyah meninggalkan pasukan dan menyertai JDT. Turut mengiringi Amri ialah Mahali Jasuli, Asraruddin Putra Omar dan Norazlan Razali. Tidak mahu meratapi pemergian mereka, The Red Giants memulakan langkah mengambil Mehmet Durakovic, bekas pertahanan import Selangor pada 1995-97 sebagai Ketua Jurulatih dan beberapa pemain import tempatan seperti Farizal Marlias, Abdul Hadi Yahya, Rizal Fahmi Rosid dan Shahrom Kalam di samping pemain import Perak Paolo Rangel. Selangor turut membawa masuk Steve Pendetelis, Juninho dan Andik Vermansyah untuk mengisi kuota pemain import. Kemasukan Mehmet dilihat satu sinar baru buat penyokong Selangor yang dahagakan corak permainan berkualiti dipamerkan. Buntu tanpa sebarang kejuaraan sejak 2010, Selangor dilihat mampu bersaing rapat bersama ATM dan JDT dalam kelompok tiga teratas MSL2014.

Kelantan

Kelantan sering dijadikan ‘benhcmarking’ oleh pasukan-pasukan yang bersaing dan tidak dinafikan jatuh bangun Kelantan, mereka tetap serasi bersama. Bermula 2010 ketika kali pertama menjulang Piala Malaysia, Kelantan mengecapi nikmat juara setiap tahun tidak kira apa piala yang dipertandingkan. Tahun ini, mereka kehilangan Shakir Shaari, Azizi Mat Rose, S. Subramaniam dan Daudsu Jamaluddin. Lupakan Azizi, Daudsu dan Subra kerana mereka tidak bermain secara fulltime pada saat Kelantan di peak performance akibat kecederaan tapi mereka mungkin terkesan dengan perginya Shakir. Gandingan mantapnya bersama Piya menjadi kunci kejayaan Kelantan. Namun saya yakin Piya boleh menyesuaikan diri dengan gandingan baru namun ia memerlukan masa. Tertarik dengan kontrak jangka panjang selama lima tahun yang ditandatangani oleh Khairul Fahmi Che Mat dan Nik Shahrul Azim membuktikan pengurusan serius dalam usaha mengekalkan pemain dalam pasaran jual beli pemain yang masih kabur. Namun saya percaya dua pemain ini masih relevan ditembah dengan kehadiran semula Muhammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe dan Steve Darby, jurulatih berpengalaman dalam MSL. Di barisan pertahanan, Obinna Nwaneri bersama Nik Shahrul dijangka akan terus utuh menahan asakan. Tanpa banyak perubahan, saya menjangkakan Kelantan menghuni tangga keempat MSL2014.

Pahang

Sukar untuk membuat pemilihan pasukan di pertengahan MSL2014 tetapi Pahang tetap berada dalam zon tersebut walaupun tanpa Dollah Salleh. Meraka hanya membawa masuk tiga pemain baru dan Pahang adalah sebuah lagi pasukan yang bakal menggunakan twin import striker iaitu Matias Conti dan Dickson Nwakame dan barisan pemain hampir sama seperti MSL2013. Razman Roslan, Azamuddin Akil, Hafiz Kamal dan Khairul Azhan antara bintang tempatan yang masih kekal bersama Tok Gajah. Mereka hanya kehilangan Amirul Hadi Zainal yang nampak kurang memberi kesan kerana posisi tengah itu mampu diisi oleh Hafiz Kamal. Satu yang membimbangkan juara PM2013 ini ialah masalah serangan mereka kerana kedua-dua penyerang ini adalah bersifat D-box striker dan kurang laju. Hanya kemahiran individu Dickson selain factor fizikalnya yang tegap di samping kemahiran menanduk bola tinggi oleh Conti menjadi sandaran dan Pahang perlu memvariasikan corak serangan di bawah kendalian jurulatih baru, Ronald Smith.

LIONS XII

Di bawah Pahang, saya memilih Lions XII. Terlalu jauh menjunam hingga tangga ke-6 bagi penyandang juara ini namun hakikatnya tahun lepas mereka sangat bergantung kepada Baihaikki Khaizan, Shahril Ishak dan Hariss Harun. Kini ketiga-tiga pemain itu tidak lagi bersama Lions XII dan hanya Izwan Mahbub, Safuwan Baharuddin, Madhu Mohana dan Hafiz Sujad yang dilihat senior. Kehadiran pemain baru dijangka akan merubah struktur pasukan dan corak permainan tambahan pula jurulatih baru, Fandi Ahmad yang gemarkan corak menyerang. Sesuatu yang baik bagi Lions XII berada dalam MSL bagi persediaan mereka ke Piala AFF2014 dan walaupun tiada harapan diletakkan saya masih menaruh minat apakah resipi yang bakal digunakan Fandi Ahmad setelah disingkirkan oleh JDT pada pertengahan musim 2013 yang lalu.

PKNS FC

PKNS atau The Red Ants sebuah lagi pasukan underdog yang boleh mencetuskan masalah bagi pasukan yang mengambil ringan. Mengekalkan Patrick Wleh, Fauzan Dzulkifli, Helmi Remeli dan arkitek Nazmi Faiz Mansor, PKNS dilatih bekas lagenda, Wan Jamak Hassan. Siapa tak kenal Wan Jamak yang telah membawa Malaysia ke final Piala Tiger 1996 (kini dikenali Piala AFF Suzuki). Pastinya kelibat WJ yang telah digantung akibat kritikan kepada FAM dirindui dan pemergian Abdul Rahman Ibrahim pantas diisi oleh WJ. Pertahanan import dari Indonesia, Hamka Hamzah juga dianggap pembelian munasabah bagi memperkuatkan benteng. Karlo Primorac, penjaring terbanyak MPL2013 menjadi pertaruhan bersama Patrick sambil pemain Korea, Kim Dong Chan melengkapkan kuota pemain import. Dengan barisan pemain yang dianggap biasa-biasa sahaja, PKNS dijangka menduduki pertengahan MSL2014.

Sarawak

Pendatang baru MSL2014, Sarawak akan menjadi ancaman buat semua pasukan dalam MSL tahun ini. Mereka hanya kehilangan Bobby Gonzales sambil mengekal 90% pemain dan jurulatih pasukan Ngap Sayot ini. Juara MPL 2014 tanpa sebarang kekalahan dan mara sejauh separuh akhir PM sebelum tunduk kepada Pahang, Sarawak tampil dengan penyerang veteran Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan penyerang import Alireza Abbasfard dibantu mesin gol mereka Muamer Salibasic. Seharusnya gandingan ini akan menjadi tandingan kepada duo striker import yang lain. Barisan pertahanan juga tidak banyak berubah dan saya amat yakin Bujang Senang akan kekal dalam MSL 2014.

Terengganu

Bekas juara PM2001 Terengganu sebuah lagi pasukan yang liat untuk ditewaskan musim 2014 ini. Dilihat mampu berada di kelompok pertengahan liga dengan kembalinya jurulatih Abdul Rahman Ibrahim ke pasukan Peteh dan beberapa pemain yang masih setia. Ashari Shamsudin, Ismail Faruqi, Zubir Azmi dan Manaf Mamat antara nama yang dikekalkan sambil trio TRW Zairo Anuar Zailani, Nor Farhan Mohd dan Faiz Subri kembali menguatkan skuad Teganu Nelang ini. Mengenai pemain import, hanya Vincent Bikana yang dikenali manakala dua lagi pemain pernah bermain di ISL Indonesia tampak perlukan kesesuaian di MSL untuk dinilai.

T-Team

Jiran Terengganu, T-Team juga tidak harus dipandang sepi. Hampir terjerumus ke MPL tahun lalu, T-Team bungkas mengambil jurulatih yang tidak asing lagi Mohd Azraai Khor Abdullah untuk membimbing pasukan. Kemasukan Azraai menarik perhatian Fabio Flor juga bekas pemain Terengganu untuk bersama beliau. Turut menjejaki beliau ialah master mind Kedah ketika dulu, Nelson Sam Martin. Untuk melengkapkan pasukan Patrich Wanggai, penyerang Indonesia turut ditandatangani. Namun agak sukar untuk Azraai mengadun resipi dengan pemain yang ada. Pemain tempatan seperti Mazuki Yusof, Iqbal Suhaimi dan Alto Linus hanya beberapa nama yang dikenali yang lain hanyalah pemain yang agak so-so dan Azraai sememangnya gemar bekerja dengan pemain kurang ternama ini. Kekal dalam MSL adalah sasaran baik untuk T-Team pada tahun ini.

Perak

Tiada tumpuan buat skuad Yeop pada tahun ini. Hanya menukar logo pasukan dan tagline kepada ‘The Boss Gaurus’, skuad Seladang dipimpin oleh Abu Bakar Fadzim, bekas ketua jurulatih bagi skuad Piala Presiden Perak. Memanggil kembali anak jati Perak, Mohd Hardi Jaafar dan Shahrizal Saad, Perak juga menyambar Kyaw Zayar Win, kapten bawah 23 tahun Myanmar. Beberapa pemain skuad tahun lalu juga dikekalkan dan dua pemain import di bahagian serangan ditandatangani. Sedang impak kepada pasukan belum diketahui, Perak yang dianggap pasukan underdog mampu member cabaran. Jika tidak mahu terjerumus ke MPL 2015, Perak harus berusaha mendapatkan mata penuh setiap kali beraksi di gelanggang sendiri. Hanya faktor penyokong mampu membantu mereka terselamat.

Sime Darby FC

Sime Darby FC pimpinan Ismail Zakaria pernah beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA 2012 sebelum tunduk epada Kelantan, 1-0. MSL2014, SDFC akan beraksi dengan ‘abang-abang’ yang jauh lebih matang dan konsisten. Jika SDFC mampun mencatat lebih dari lima kemenangan dalam pusingan pertama ini, saya menjangkakan SDFC mampun bertahan. Kehilangan Karlo Primorac, SDFC mengambil pemian import baharu untuk memperkuatkan pasukan. Pemain veteran, Khairi Zainudin, Juzaili Samion dan dua produk UiTM, Fakhrul Razi Baharuddin dan Mohd Redzuan Harun terus menjadi sandaran SDFC. Tidak keterlaluan untuk saya rumuskan SDFC hanya kekal semusim di MSL.

 

 

Previu Selangor 2014

Posted: 15/01/2014 in Sukan

Genap dua hari sebelum sepak mula MSL2014 baru berkesempatan untuk menulis perihal pasukan Selangor. Bukan kerana malas atau tiada idea, tetapi sengaja menunggu hari pelancaran jersi baharu dan perkenalan pemain yang telah berlangsung semalam (14/01/2014) di SACC Mall, Shah Alam. Dengan dihadiri oleh Presiden FAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, SACC mampat dengan 3,000 peminat setia merah kuning bagai menaruh harapan baru kepada skuad lagenda ini. Jersi baharu, pemain baharu dan jurulatih baharu diharap dapat memberi tonik baharu kepada The Red Giants.

photo 3 photo 2Jersi baharu Selangor bagi musim 2014 masih di bawah tajaan Kappa. Kredit to King Pakau SelangorFC.com

Pemergian beberapa tonggak utama seperti kapten Amri Yahyah, Asraruddin Putra Omar, Mahali Jasuli dan Norazlan Razali sambil separuh daripada pemain lama turut berhijrah, Selangor hanya mengekalkan 30% muka lama sambil yang lain dihiasi muka baru tapi bukan mentah. Di barisan pertahanan hanya Mohd Bunyamin Omar yang kekal sambil begitu juga Mohd Afiq Azmi di bahagian serangan. K.Gurusamy, S.Veenod, S.Kunanlan, Raimi Mohd Nor, Shukor Jusoh dan Fitri Shazwan Raduan antara pemain tengah yang kekal dan selebihnya pemain baru. Ditambah jurulatih baru yang juga lagenda merah kuning, Mehmet Durakovic, Selangor dilihat sukar menyaingi walaupun ada yang memberi harapan. Berikut adalah senarai penuh pemain Selangor bagi musim ini :

Picture1

Selangor yang turut bertanding dalam Piala AFC memerlukan skuad sebegini dan Mehmet dijangka akan membuat squad rotation untuk menghadapi beberpa ujian pertama termasuk Piala FA dan Piala AFC yang berlangsung serentak dengan MSL2014. Berikut adalah jadual perlawanan bagi pasukan Selangor :

Picture1

Seperti tahun-tahun sebelumnya FAM yang ‘bijak’ menyusun jadual akan menyebabkan kepadatan jadual dan squad rotation amatlah penting bagi menangani masalah ini. Jika dilihat dari jadual di atas, bermula Januari sahaja, Selangor akan bermain empat perlawanan dalam tempoh 10 hari. Mujur ada sedikit rehat pada bulan Februari dan jika berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA pun, ia akan berlangsung pada 2 Februari 2014. Tetapi menjelang Mac, Selangor perlu mengharungi tujuh perlawanan dalam masa kurang 21 hari dengan purata rehat sebanyak tiga hari sahaja. Itu belum ditambah jika layak ke perlawanan pusingan ketiga Piala FA. Hari perjalanan bagi mengharungi Piala AFC juga harus diambil kira. Hal yang sama juga bakal berlaku pada bulan April dan jika Selangor melangkah lebih jauh dalam Piala AFC dan Piala FA, mereka harus bekerja lebih keras pada Mei dan Jun kerana kedua-dua pertandingan akan bermain dalam dua pusingan home away di ketika ini.

Walaubagaimanapun rata-rata pemain yang menyarung jersi merah kuning tahun ini boleh bermain lebih dari satu posisi. Azmi Muslim, Bunyamin Omar antaranya boleh bermain di pertahanan dan midfield. Thamil Arasu juga boleh bertindak sebagai flanker seperti di Harimau Muda. Ini sedikit sebanyak member opsyen kepada Mehmet dan tambahan seorang lagi pemain import yang boleh beraksi pada Piala AFC.

photo 1Kapten Bunyamin Omar, melafazkan ikrar disaksikan Presiden FAS dan ribuan penyokong Selangor. Kredit to Along Fariq SelangorFC.com

Memang senang meletakkan sasaran pada setiap tahun. Pengurusan, pemain dan peminat juga masing-masing berkira-kira apakah yang mereka laburkan mendapat pulangan setimpal. Rata-rata memilih Selangor menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini. Blogger terknal Rizal Hashim pula memilih Selangor sebagai juara Liga Super yang mana ramai memilih JDT. Presiden FAS TS Abdul Khalid pula mencabar Selangor untuk meraih dua daripada tiga piala yang dipertandingkan. Jika ditanya saya, cukuplaj menghuni tangga ketiga MSL, layak ke separuh akhir Piala FA, melepasi peringkat kumpulan Piala AFC dan menjuarai Piala Malaysia. Apa ironinya pilihan saya? MSL dan Piala FA adalah peringkat mengemaskini pasukan dengan taktikal yang pelbagai sementara AFC adalah pentas mematangkan pemain dengan lawan yang berbeza. Di Piala Malaysia barulah cabaran sebenar dan sinonimnya Selangor dengan Piala Malaysia tidak boleh dilupakan. Sembilan tahun terlalu lama untuk menanti apatah lagi misi 33 yang dicanang masih belum kunjung tiba. Tiga faktor ini saya ambil kira dan jika ia diteliti tidak mustahil Selangor boleh kembali ke puncak :

1. Corak permainan pasukan yang tidak sama sepanjang pertandingan. Perlu diingat pasukan sekarang sudah ada jurulatih ternama. Satu dua perlawanan mereka sudah boleh membaca corak permainan jika corak yang sama diterapkan. Saya mengharapkan build up attack dari bawah melalui tengah dan terus ke bahagian serangan sambil pemain tengah mampu untuk dictate game dan bukan dari aksi silang menyilang;

2. Pengurusan perlu profesional dan jangan campur adukkan individu berkepentingan dalam pasukan. Memang pemain menjalankan tugas sebagai pemain tetapi impaknya jika pengurusan rapuh, maka pemain akan menerima palitnya. Ambil contoh isu gaji sebagai ikhtibar dan Selangor antara FA yang lunas pada janji untuk membayar gaji walaupun ada kalanya sukar meet the date;

3.  Harga tiket yang membebankan dengan RM15.00 adalah tidak wajar. Walaupun corak berkualiti ditampilkan ia bukanlah kayu pengukur untuk menaikkan harga tiket. Adalah lebih wajar untuk go on by capacity rather than expansive price but no turn up. Rata-rata peminat tergolong dalam usia 30an dan bolasepak telah menjadi sebahagian hidup mereka. Jika masih belum mampu melaksanakan pas semusim why not turunkan harga tiket untuk menarik lebih ramai peminat?

Apapun tunggu dan lihat prestasi sebenar menjelang lima perlawanan pertama merah kuning.

BeCVjEcCUAAivWJPenyokong Selangor memenuhi segenap pelusuk SACC Mall bagi menyaksikan Majlis Pelancaran Jersi Baharu dan pemain Selangor 2014

Lima fakta menarik Selangor menjelang MSL2014 :

  1. Bunyamin Omar adalah satu-satunya pemain pertahanan yang kekal bersama Selangor dan terus dipilih sebagai kapten untuk musim baru ini. Kesemua pertahanan Selangor bertindak meninggalkan merah kuning musim baru ini. Bunyamin juga merupakan kapten yang bukan anak jati Selangor mengikut jejak Shukor Adan, Yusri Che Lah dan Ismail Ibrahim satu ketika dulu;
  2. Andik Vermansyah menolak tawaran lumayan dari Liga Jepun setelah mendapat khidmat nasihat dari dua bekas pemain import Selangor, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy. Corak permainan, cuaca, makanan, bahasa dan cara hiudp yang hampir sama membuatkan Andik memilih merah kuning. Dia juga berazam mengulangi kegemilangan Bepe dan Elie di samping menarik segerombolan penyokong Indonesia ke stadium;
  3. Mehmet Durakovic pernah menjulang kejuaraan Piala Malaysia bersama Selangor pada 1995 dan 1996. Kini, beliau kembali ke bumi Shah Alam untuk melatih pasukan merah kuning. Ironinya jersi Selangor tahun ini mirip jersi tahun 1996 yang disarung Mehmet ketika menewaskan Sabah menerusi penentuan penalti;
  4.  Abdul Hadi Yahya, anak jati Klang pernah merajuk dan membawa diri ke pasukan lain kerana tidak dipanggil mewakili negeri asalnya. Kariernya dilihat berada di kemuncak ketika mewakili Terengganu namun tidak juga dipancing. Selepas membawa diri ke Perak, Hadi bertuah akhirnya dipancing Selangor;
  5. Majoriti pemain yang mewakili Selangor tahun ini, bukanlah anak jati Selangor. Jadi apakah dengan skuad ini menjadi mampu bukti untuk menarik semula anak jati Selangor beraksi bersama pasukan pada musim hadapan atau ia sekadar pelaburan bagi menghiburkan hati penyokong setia dan menganggap bolasepak adalah perniagaan?

photo 5Andik dan Veenod memperagakan jersi baharu merah kuning. Mampukah Andik menyinar seperti Bepe dan Elie Aiboy?. Kredit to Dunia Sukan

Selamat musim baharu MSL 2014 🙂

Langkah Sedih Bambang Pamungkas

Posted: 12/01/2014 in Sukan

Entry pertama tahun 2014 ini sedikit pilu apabila mengetahui pemain tersohor ASEAN, Bambang Pamungkas atau Bepe meninggalkan kelab asalnya yang sudah menjadi darah dagingnya iaitu Persija Jakarta. Itupun diketahui apabila pasukan JDT melayan kunjungan kelab baru Bepe, Pelita Bandung Raya (PBR) pada perlawanan persahabatan di Larkin, minggu lalu. Sangkaan Bepe merupakan pemain jemputan meleset sama sekali apabila melihat Bepe memakai lilitan tangan dan ditemubual pada sidang media untuk perlawanan tersebut. Lunsuran ke laman web rasmi beliau mengesahkan bahawa Bepe kini telah sah beralih angin.

featured-image-JDT-VD-PELITA-BANDUNG-RAYADua kapten, Aidil (JDT) dan Bepe (PBR) bersama jurulatih pasukan masing-masing setelah selesai sidang media – Kredit gambar Johor Southern Tigers

Bukan sekali tapi dua kali Bepe berpindah. Pertamanya ketika keluar menyarung jersi Selangor pada 2005 dan 2014sekali lagi Bepe mengangkat kaki meninggalkan kelab Persija Jakarta untuk menyertai Pelita Bandung Raya. Bepe telah menyarung jersi no 20 Persija lebih sedekad. Dalam bukunya bertajuk ‘Ketika Jemariku Menari’, Bepe pernah menegaskan bahawa tidak sanggup dia meninggalkan Persija utk menyertai kelab lain di ISL atau IPL kerana khuatir tidak mampu berhadapan kelab yg dicintai di Gelora Bung Karno ketika memakai jersi kelab lain. Sebab itulah Bbepe memilih mewakili selangor pada musim 2005-06 dan itulah detik pertama dia meninggalkan Persija. Kemudian 2006 dia kembali memperkuatkan Persija dan merangkul beberapa kejuaraan.

Apa yang membuatkan Bepe meninggalkan Persija? Mengikut tulisannya dlm blog, masalah kewangan dan gaji yg tidak berbayar selama 18 bln menjadi faktor. Malah Bepe lah yang menyuarakan perkara ini kepada pengurusan dan hasilnya gaji semua pemain dibayar kecuali Bepe. Bepe tetap beralah biarpun tunggakan gajinya tidak berbayar, puas menegakkan keadilan dan hal untuk teman seperjuangannya. Begitulah peribadi Bepe yg luhur. Dia meninggalkan Persija dengan alasan kelab tidak perlukan lagi khidmatnya.

indexBepe saat diperkenalkan kepada media setelah sah menandatangani kontrak setahun bersama PBR. Kredit gambar Tribun News.

Membela PBR, Bepe diberi jersi no 20 dan lilitan tangan selaku kapten. Terdorong dgn ambisi PBR yg melihat bolasepak dlm jangka masa panjang Bepe menolak beberapa tawaran kelab lain. Tambahan usia yg menginjak 34 thn membuatkan setiap gerakkannya pasti terbatas. Lantas PBR dilihat kelab yg cocok buat dirinya.  Ditanya apa perasaan beliau jika ditakdirkan bertemu Persija di GBK, Bepe mengulas, “Penyokong berhak berbuat demikian, mereka menyambut kehadiran saya di gbk dan saya mengerti betapa Persija tetap tersemat dalam hati saya. Saya tetap akan melambaikan tangan”.

Begitula dunia bolasepak yang semakin mengujakan. Dengan duit yang banyak, pemain boleh terliur dengan tawaran lumayan, dengan duit yang tertunggak juga pemain dianiaya sedemikian rupa dan jangan lupa dengan duit haram dari bookie juga pemain mudah alpa. Tiada lagi erti kesetiaan atau loyalti kepada pasukan tatkala bolasepak ketika ini dianggap satu perniagaan. Begitu juga Bepe dan dunia bolasepaknya. Peribadi yang sangat membuatkan saya sebagai pemain rasa kagum. Semoga Bepe terus sukses bersama PBR dan Timnas Indonesia jika masih diperlukan.

2013 in Review

Posted: 01/01/2014 in Bacaan Ringan

The WordPress.com stats helper monkeys prepared a 2013 annual report for this blog.

Here’s an excerpt:

A New York City subway train holds 1,200 people. This blog was viewed about 4,700 times in 2013. If it were a NYC subway train, it would take about 4 trips to carry that many people.

Click here to see the complete report.