Archive for April, 2017

Biar TMJ Buat Kerja

Posted: 13/04/2017 in Sukan

Dua minggu ni penuh cerita pasal Presiden baru FAM DYAM TMJ yang telah mengambil alih tampuk pemerintahan FAM sejak 20 tahun yang lalu. Abang hanya perati dan sedikit sebanyak cuba hadam dengan pendapat pencinta bolasepak dan rakyat marhein. Benar, ada pujian ada kritikan. Tak semua yang kita buat di dunia ini diakui betul dan tak semua yang kita buat untuk pastikan orang suka kita. Apapun abang ucapkan tahniah kepada TMj kerana itu sememangnya jawatan yang diinginkan demi kerana kecintaan kepada sukan bolasepak. Teringat kata-kata Datuk Richard Scully ketika forum bolasepak FAM hujung tahun lalu di Kuala Lumpur. Kata beliau, “Football doesn’t need you. You need football. That’s why you are here”.

Ok berbalik kepada pemilihan TMJ, abang akui sama ada TMJ atau TS Annuar Musa yang pada satu ketika menjadi calon untuk bertanding, abang dah cukup suka. Pasal apa, pasal dulu kita pernah rebel siap ada hastag #PFSLJ (Presiden FAM Sila Letak Jawatan). Pasal apa? Pasal dah haus sangat FAM ni. Haus dengan pembangunan yang tak maju-maju selama memerintah lebih 20 tahun. Teringat kata-kata Datuk Peter Velappan ketika ditanya apakah harapan tentang pemerintahan FAM, beliau menjawab, :Berilah peluang kepada muka baru jikalau kita tak boleh deliver. Untuk muka baharu pula, beri mereka tiga tahun untuk buktikan sesuatu kerana kita sudah biasa tanpa apa-apa selama 20 tahun.”

TMJ berucap pada sidang pertama selepas Kongres FAM ke-53 dengan barisan kepimpinan baharu.

Kredit Gambar : Berita Harian

Jadi, pemilihan TMJ sebagai Presiden FAM sebenarnya telah menghidupkan kembali harapan selepas 20 tahun suram. Ye harapan dan setidak-tidaknya membawa sedikit perubahan selepas melihat TMJ membawa perubahan terhadap JDT. Perlu diingat JDT dahulunya juga suram selepas zaman Ervin Boban sekitar tahun 1991. Tanam dalam mindset apa yang kita minta dulu; perubahan pucuk pimpinan FAM. Melihat kepada pimpinan baharu ini, abang tak minta banyak untuk tiga tahun pertama ini. Berikut adalah harapan peribadi abang :

  1. Swastakan Liga Super Malaysia

Untuk melahirkan pasukan kebangsaan yang berjaya, pool pemain perlulah lahir dari penganjuran liga yang mantap. Abang teringin melihat pasukan bolasepak club based ataupun berasaskan kelab bukan lagi di bawah Persatuan Negeri seperti sekarang yang mengharapkan dana daripada kerajaan negeri. Liga Malaysia harus diswastakan dan bercirikan income based oriented di mana FA perlu berubah kepada kelab yang mempunyai pemilik, gelanggang atau stadium sendiri dan padang latihan sendiri. Kelab juga bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan masing-masing dari segi penjualan tiket, hak penyiaran televisyen, penjualan pemain, kedai cenderamata dan lain-lain. Nak ikut contoh, tak perlu ke Bundesliga, La Liga atau BPL, cukup sekadar di negara jiran Thailand sebagai rujukan. Muangthong United, Buriram United dan BEC Tero Sassana antara kelab yang berjaya dan melahirkan pemain kebangsaan Thailand yang bertaraf dunia. Kalau tak takkan Siam boleh layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018.

2. Layak keĀ Piala AFF Suzuki 2018 dan 2020

Harus bagi TMJ untuk memastikan pasukan negara layak ke final bagi Piala AFF ini. Tidak dapat tidak Piala AFF adalah KPI utama setiap kali dipertandingkan. Sebelum bercerita mengenai Piala Asia atau Piala Dunia, AFF dianggap cabaran pertama TMJ untuk membuktikan memang benar bolasepak Malaysia akan dan telah berubah.

3. Membudayakan Bolasepak

Bolasepak harus dijadikan budaya di Malaysia. Dari peringkat akar umbi, peringkat sekolah sehingga ke peringkat nasional. Sehubungan itu, bolasepak harus menjadi agenda utama dibincangkan di peringkat Dewan Rakyat kalau mahu melihat Malaysia ke Piala Dunia. Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah salah satu wadah untuk KPI TMJ sebagai Presiden sekarang biarpun tidak ada jaminan TMJ akan kekal sehingga 2050. Silibus bolasepak harus ada dalam setiap subjek Pendidikan Jasmani di peringkat sekolah agar setiap murid didedahkan dengan asa bolasepak.

Kedudukan terkini Malaysia di ranking FIFA.

Kredit Gambar : Facebook FAM

4. Menduduki Ranking 150 (FIFA) dan 25 (AFC) Pada Akhir 2018

Ya, ranking memainkan peranan bagi menentukan prestasi semasa sesuatu pasukan. Ia juga dilihat sebagai satu penanda aras. Kita pernah berada di tangga 100 pasukan terbaik dunia sekitar tahun 90an tetapi merundum dan sehingga artikel Malaysia menduduki tangga ke-157 daripada 211 negara. Manakala di peringkat Asian Football Confederation (AFC), Malaysia menduduki tangga ke-29 daripada 46 negara. Sesuatu harus dilakukan bagi menaikkan ranking ini. Memenangi piala dan perlawanan persahabatan Kelas A akan membantu menaikkan ranking ini. Kenapa ranking penting? Kerana pasukan lawan kelas A hanya akan bermain dengan pasukan yang mempunyai ranking yang baik. Jadi, TMJ ada sekitar 18 bulan untuk memperbaiki ranking sekadar 150 (FIFA) dan 25 (AFC) yang dilihat realistik.

5. Meneruskan NFDP

National Football Development Plan (NFDP) atau Program Pembangunan Bolasepak yang diasaskan sekitar 2015 wajar diteruskan. Program yang diketuai oleh bekas jurulatih remaja Bayern Munich iaitu, Lim Teong Kim ini dilihat sebagai kilang pemain muda dan pelapis negara. Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan harus memantau secara terperinci agar program NFDP ini selari dengan keperluan FAM untuk menyediakan pemain di bawah 16, 19 dan 21 tahun untuk beraksi dalam Sukan SEA seterusnya bersedia menggalas tugas sebagai pemain senior di peringkat antarabangsa sebaik sahaja melepasi usia 24 tahun.

Itulah sahaja lima harapan abang terhadap kepimpinan baharu FAM. Walaupun sehingga artikel ini siap ditulis ada cerita mengenaiĀ empat sahabat buat u-turn, Mario Gomez minta gaji tinggi untuk jawtaan jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee diturun pangkat, Frank Bernandt dipecat serta merta bagi memberi ruang kepada DOKS memimpin skuad Sukan SEA, Tan Cheng Hoe di dalam dilema selepas ditawar jawatan Penolong Jurulatih skuad kebangsaan, pengenalan sistem VAR tapi abang anggap itu hanya perasa kepada sejenis menu yang bakal dihidangkan. Yang penting abang makan sedap dan puas hati.

Buat TMJ dan kepimpinan FAM yang telah dilantik, selamat bekerja. Ingat janji bolasepak untuk rakyat.

Buat rakyat, berikan sedikit ruang dan peluang untuk mereka buktikan dan nantikan episod baru.

“Leadership is not a position or title, it is action and example. Follow the right one and left the bad one” – DMR