Majlis Konvokesyen dan Masyarakat
Majlis Konvokesyen sangat sinonim dengan pengajian tinggi. Ia merupakan satu majlis yang meraikan pelajar, ibubapa dan universiti.  Bagi pelajar, ia merupakan satu pencapaian akademik yang dinanti-nanti setelah berpenat lelah bergelumang dengan pelbagai rintangan serta cabaran bagi menggenggam segulung ijazah.  Bagi universiti pula, ia merupakan satu kebanggaan melahirkan bakat yang bakal menyumbang kepada kemajuan serta kemakmuran negara. Menjadi satu kemestian bagi sesebuah universiti untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen bagi meraikan para siswazah yang telah diasuh sejak sekian lama dan bagi menghargai jasa ibubapa yang telah banyak berkorban demi kejayaan anak-anak mereka.

Di UTM, Majlis Konvokesyen adalah merupakan majlis sambutan tahunan yang gilang gemilang. Ia turut dimeriahkan dengan penganjuran Festival Konvokesyen (FESKO) yang terbuka kepada masyarakat. Setiap kali dilangsungkan, FESKO UTM menyaksikan lebih 200,000 pengunjung dari kalangan ibubapa, para siswazah dan juga penduduk tempatan di sekitar Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang yang turut mengambil kesempatan memeriahkannya meskipun tiada kenalan yang bergraduan. Konsep keterbukaan UTM ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang awam untuk mendekati universiti, malah ia dapat mencapai hasrat menjadikan UTM sebagai sebuah universiti untuk masyarakat.

Sejarah Majlis Konvokesyen UTM
Majlis Konvokesyen UTM yang pertama dan paling bersejarah telah berlangsung pada 3 Disember 1977 di Kuala Lumpur. Sejak itu, pada setiap tahun UTM tidak ketinggalan meraikan graduan sebelum ‘melepaskan’ mereka kepada pemain industri yang bersedia melamar mereka. Tidak dinafikan sejak UTM ditubuhkan sebagai salah sebuah univerisiti yang berasaskan kejuruteraan, lebih 60% profesion jurutera adalah terdiri daripada pelajar UTM. Jumlah siswazah yang saban tahun meningkat membuatkan UTM mengambil keputusan untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen sebanyak dua kali setahun mulai tahun 2000. Ini juga mengambilkira polisi pengambilan pelajar antarabangsa yang mula meningkat pada tahun tersebut. Sejak itu, Majlis Konvokesyen UTM diadakan pada April dan Oktober setiap tahun.

Sehingga November 2019, UTM telah menghasilkan 198,593 orang siswazah dari peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Diploma Lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dari pelbagai mod pengajian di dalam dan luar negara. Daripada jumlah itu terdapat beberapa program kerjasama dari kolej bersekutu di dalam negara dan juga universiti awam dan swasta di luar negara. Dengan jumlah ini, UTM harus berbangga dengan bilangan siswazah yang hampir mencecah 200,000 pada 2020 yang telah menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran sejagat.

Pun begitu pada Disember 2019, pengurusan tertinggi UTM telah menetapkan agar Majlis Konvokesyen dianjurkan hanya sekali setahun berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pelbagai faktor diambil kira dan keputusan tersebut diperhalusi oleh jawatankuasa induk dan isu-isu teknikal diperkemaskan. Malah pelbagai usaha dan penanda aras telah diletakkan bagi menghadapi Majlis Konvokesyen ke-64 yang dijadulkan pada 24 hingga 28 Oktober 2020.

Pandemik COVID-19 dan Pendidikan Tinggi
Dunia yang dilanda pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020 cukup memberi kesan kepada pendidikan tinggi. UTM telah serta merta bertindak ‘menyelamatkan’ pendidikan tinggi ke aras yang lebih baik. Kuliah berlangsung secara dalam talian, peperiksaan akhir juga diubah penilaian dan beberapa polisi turut diubah bagi memastikan fleksibiliti pendidikan tinggi dapat memberi faedah kepada semua pelajar di UTM.

Kita tidak harus diam dan terus menunggu kerana kesan pandemik ini tiada siapa yang dapat mengetahui secara pasti akan kesudahannya. Justeru, pengurusan tertinggi UTM telah mengambil langkah drastik untuk meneruskan kuliah secara dalam talian seawal 1 April 2020 di samping mengemaskini beberapa proses sebagai penambahbaikan dalam masa yang sama. Kajian menunjukkan bahawa, untuk meneruskan kuliah secara dalam talian, 85% pelajar telah bersedia manakala hanya 15% pelajar yang menghadapi cabaran.  Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan, termasuk menyediakan pengajaran secara jarak jauh, menyediakan subsidi kewangan data internet, kemudahan peminjaman laptop, dan juga penangguhan pengajian tanpa pengiraan semester.

Pandemik dan Konvokesyen
Menyedari kesan pandemik yang tidak akan berakhir dalam masa yang terdekat, Kerajaan Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengeluarkan arahan kepada semua universiti untuk menangguhkan Majlis Konvokesyen pada tahun ini. Larangan perhimpunan secara besar-besaran itu perlu dipatuhi dalam satu tempoh masa yang agak panjang. Rata-rata universiti awam telah memulakan langkah untuk memastikan penganjuran Majlis Konvokesyen pada tahun 2021 berjalan lancar walaupun melibatkan jumlah siswazah yang ramai.

Tidak kurang pula kesannya bagi pelajar yang menunggu tarikh untuk bergraduan. Di UTM lebih 1,200 orang pelajar telah disahkan bergraduan oleh Senat mulai November 2019 hingga April 2020. Jumlah itu dijangka meningkat pada Julai 2020 selepas peperiksaan akhir berlangsung. Bakal graduan ini semestinya menanti hari gembira mereka dan keputusan universiti untuk penganjuran seterusnya. Di samping meraikan hari gembira, sijil turut diperlukan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau memohon pekerjaan yang diidamkan.

Apa Tindakan Universiti?
Selaras dengan arahan MKN, penangguhan Majlis Konvokesyen adalah satu tindakan yang melibatkan semua pihak. Baik graduan, tetamu, ibubapa dan para petugas serta peniaga yang perlu mematuhi arahan penjarakan sosial serta menghindari dari perhimpunan awam. Persoalannya, apakah tindakan selanjutnya selepas penangguhan? Ya, pastinya sesuatu penangguhan akan diganti pada satu tarikh baru pada 2021. Malah majoriti universiti telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan konvokesyen serentak dengan graduan 2021 pada tahun tersebut. Ini kerana hanya UTM dan UiTM sahaja yang mengadakan konvokesyen dua kali setahun pada tahun sebelumnya.

Isu teknikal antara yang dibincangkan bagi memenuhi keperluan kebanjiran graduan pada tahun 2021 adalah keperluan jubah konvokesyen. Semestinya universti perlu memastikan jumlah jubah cukup untuk kegunaan graduan. Di samping itu, kos penganjuran juga dijangka meningkat disebabkan penambahan tempoh majlis. Namun ia dapat dibiayai memandangkan peruntukan pada tahun 2020 yang masih belum digunakan dan dapat dibawa ke tahun hadapan.

UTM merupakan universiti awam pertama yang menyediakan perkhidmatan sijil awal. Perkhidmatan ini mula diperkenalkan pada 1 Januari 2012 kepada pelajar antarabangsa yang ingin pulang awal ke negara mereka tanpa menunggu Majlis Konvokesyen. Perkhidmatan ini mula diperluaskan kepada pelajar tempatan selari dengan keputusan universiti untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen sekali setahun pada 2020 dan dijangka dapat membantu pelajar dalam tempoh menunggu majlis tersebut yang pada awalnya dijadualkan pada Oktober 2020. Dalam keadaan pandemik yang kini melanda, penyediaan sijil awal tersebut nyata membantu graduan yang terpaksa menunggu sehingga tahun 2021. Bakal graduan boleh memohon untuk pengeluaran sijil awal setelah disahkan oleh Senat dan tidak mempunyai hutang tertunggak. Pengeluaran sijil ini juga turut dibekalkan dengan peminjaman jubah untuk sesi fotografi. Ia dianggap pra-Majlis Konvokesyen dan sijil tersebut boleh digunakan oleh graduan dalam urusan rasmi seterusnya.

Pelajar yang telah memohon sijil awal ini juga dijemput untuk menghadiri Majlis Konvokesyen pada tahun 2021. Malah, sebagai tambahan, mereka diberi pilihan untuk hadir pada dua tahun berikutnya jika menghadapi kesukaran untuk hadir pada tahun 2021. Fleksibiliti yang diberikan ini merupakan satu usaha bagi memastikan pelajar terus menjalin hubungan dengan UTM walaupun telah menamatkan pengajian. Tindakan pantas ini menjadi salah satu senjata baharu UTM demi memastikan graduan tetap mendapat perhatian sekalipun negara dilanda pandemik. Kesiapsiagaan barisan hadapan UTM dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam menganjurkan Majlis Konvokesyen ini membuktikan pendidikan tinggi tidak mati ditelan pandemik.

Konvokesyen Cara Baharu, Norma Baharu
Dalam menghadapi norma baharu yang perlu diamalkan dalam tempoh masa yang panjang, ia dilihat satu pendekatan tepat bagi mengubah budaya pemikiran masyarakat dan penganjuran Majlis Konvokesyen itu sendiri. Dahulu kita melihat majlis ini hanya dapat disambut oleh pelajar yang menamatkan pengajian di pendidikan tinggi. Maka riuhlah sekampung dengan perasaan penuh bangga apabila ada salah seorang penduduk kampung berjaya bergelar siswazah. Kini, pendidikan di tahap pra-sekolah juga menganjurkan konvokesyen apabila tamat tempoh prasekolah. Ia adalah sekadar gimik supaya anak-anak meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Namun, pengajian tinggi perlu lebih dari itu. Majlis Konvokesyen perlu lebih mudah, ringkas dan mematuhi norma baharu. Rata-rata pelajar yang pernah bergraduan di universiti ternama luar negara menyatakan cadangan Majlis Konvokesyen seringkas mungkin tetapi kekal meriah. Ia dapat menjimatkan masa serta memastikan para tetamu terutamanya ibu bapa tidak menunggu lama. Bayangkan mereka hanya menumpukan kurang lima minit bagi menyaksikan anak mereka menerima segulung ijazah sedangkan lebih tiga jam menunggu majlis tamat.

Sudah tiba masanya, budaya Majlis Konvokesyen ini perlu diperhalusi penganjurannya. Selari dengan pandemik ini dan beberapa SOP yang dikenakan oleh MKN, inilah masanya untuk kita merenung sejenak, keluar dari kepompong lama sambil tidak menjejaskan kemeriahan dan simbol konvokesyen secara umum. Mungkin ramai yang menggilai penganjuran konvokesyen di luar negara, mengapa tidak diadaptasi di negara sendiri?

Penutup
Pengajian tinggi adalah cabang yang penting dan relevan dalam melahirkan bakat yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.  Namun ianya perlu lestari dan cergas melaksanakan adapatasi dalam menelusuri segenap perubahan serta cabaran di abad ke 21. Melihat kepada beberapa sektor yang lumpuh hanya dalam sekelip mata apabila dilanda pandemik, ia tidak berlaku kepada sektor pendidikan. Proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan secara berterusan malah banyak kaedah baharu yang diterokai dan dijangka dapat mengimbangi pelajar dan pengajar dalam tempoh norma baharu nanti.

Menyedari sektor pendidikan terus menerus akan mendapat permintaan tinggi, kita sebagai pemberi pendidikan tinggi perlu memberi sepenuh perhatian kepada pemegang taruh terutama pelajar bagi memastikan kelangsungan, penjenamaan dan keterlibatan universiti kepada masyarakat tidak terhenti apabila pelajar tamat pengajian sahaja. Justeru, Majlis Konvokesyen perlu menjadi detik termanis buat siswazah agar mereka bersama sebagai anak kandung yang bakal membantu menjenamakan serta mengangkat martabat universiti rimbun bernaung ke arah kesohoran global.

Woi kegilaan apakah yang melanda bilamana setahun genap blog ini berhabuk dan mood penulisan pun kelaut. Padahal entry sebelum ini cerita pasal Jogja pun belum habis. Maaflah kepada viewers yang menanti-nanti entry yang seterusnya. New viewers pun masih boleh bergantung harap manalah tau entry ni dapat membantu pergerakan ke Jogja nanti. Ok jom abang sharekan tujuh tempat menarik yang boleh atau wajib dikunjungi dan berada dalam bucket list ketika berada di Jogja.

  1. Sunrise di Gunung Merapi dan Puntuk Setumbu

Meskipun dekat Malaysia korang tak pernah mengadap sunrise ni dari tingkap bilik rumah atau bangunan pencakar langit ke bukit bukau, pastinya korang akan menghargai sunrise ini pada masa2 akan datang. Orang kata sunrise lain tempat lain viewnya padahal matahari tu memang satu je kat mana-mana. Jadi dua tempat yang boleh dikunjungi untuk melihat sunrise adalah di Gunung Merapi dan Puntuk Setumbu. Untuk kedua-dua lokasi ini jarak dia tak berapa jauh dari pekan Malioboro cuma perlukan kekuatan untuk bangun seawal 4.00 pagi WIB dan bergerak ke lokasi. Untuk Puntuk Setumbu biasanya supir akan memandu terus ke lokasi dan hanya memerlukan sedikit pendakian dengan berjalan kaki sekitar 700 meter untuk sampai ke puncak. Manakala untuk Gunung Merapi pula supir akan memandu hingga ke base camp sebelum menaiki puncak gunung dengan menaiki jip yang disewa sekitar IDR350,000 boleh naik 4-6 orang. Supir akan memandu jip dan melawat kawasan sekitar mengambil masa tiga jam. Oh untuk Puntuk Setumbu terpulang nak spent berapa banyak masa di sana tapi average dalam 90 minit. Nikmatilah sunrise dan ambil selfie banyak2 kerana pemandangan sungguh cantik. Di sini juga terdapat gereja ayam tempat shooting filem Ada Apa Dengan Cinta 2. So kalau nak fefeeling Rangga dan Cinta boleh la singgah ke sini.

Kata orang tempatan, sukar nak dapatkan shot Gunung Merapi tersenyum. Inilah maksud tersenyum tu (takde kabus di puncak gunung)

Sunrise @ Merapi

Jip yang disewa sekali dengan driver. Kalau abang yang drive memang menjunam. Nasib abang duduk depan

Sebuah batu dengan rupa manusia yang bersedih akibat gempa di perkampungan Merapi yang dilanda gempa sekitar 2015.

Good morning @ Punthuk Setumbu

Punthuk Setumbu memang nampak macam shot dari atas awan


2. Pemandangan di Kalibiru

Kalibiru adalah tempat wisata yang seakan dengan Puntuk Setumbu. Di sini banyak photo spot yang telah disediakan khas untuk bergambar. Kayak berada di atas awangan gitu. Tapi setiap satu spot itu dikenakan bayaran sekitar IDR10,000-20,000 bergantung kepada tahap kecantikan spot2 tersebut. Ada juga spot yang percuma tapi kena bikin sendiri dan cari angle2 yang sesuai. Kalau malas beratur dan nak jimat duit boleh je pilih spot sendiri. Tapi rata2 pencinta alam hanya akan lepak, enjoy the view dan kadangkala terdiam seketika menikmati keindahan alam.

Platform telah tersedia untuk beraksi

 

3. Candi Borobudhur

Diklasifikasikan sebagai salah satu Warisan Dunia UNESCO, Candi Borobudhur adalah tapak atau tempat upacara keagamaan bagi agama Buddha satu ketika dulu. Jangan takut, belum jatuh murtad kalau lawat tempat keagamaan. Niat kita nak explore keindahan alam dan candi ini adalah salah satu kebanggaan masyarakat setempat. Banyak cerita mengenai candi ini abang tak perlu nak cerita sebab ini bukan kelas sejarah. Cuma nak share candi ini memang dibina melalui susunan batu dari bawah  hingga ke atas. Lokasi memang terletak di pinggir bandar dalam 30 minit dari Malioboro dan bayaran masuk sekitar IDR200,000. Spent masa dalam dua jam untuk menikmati keindahan dan bacalah momen2 sejarah yang ada di sini. Ye banyak pendakian melalui anak tangga akan berlaku dan dinasihatkan naik satu level dan kemudian pusing kiri atau kanan dan jalan dulu sebelum naik ke satu level lagi. Candi ini berbentuk petak so takkan sesat punya. Bila dah sampai atas, enjoy the moment dan di sini juga boleh menikmati sunrise dan sunset.

Entrance @ Borobudur

Lengit kau nak panjat tangga tu

Kat atas takde jual air so pandai2la kalau haus 🙂

 

4. Gondola di Pantai Timang

Pada abang ini paling rare dekat Jogja. Pernah tengok gondola manual meretasi lautan. Jap, lautan bukan sebarang lautan macam kat pantai PD bang tapi ni jenis bergelora dan berombak punya. Korang akan mengadap Lautan Hindi ok bukan Laut China Selatan ataupun Selat Melaka. Jenis perjalanan pun agak challenging sebab kena drive tiga jam dari Malioboro ke Timang. Then, kena sewa jip lagi sebab tiada jalan untuk ke pantai. Semuanya dipenuhi batu karang macam kat dalam laut tu. Punya tajam beb kalau cucuk kaki. So jip disediakan dengan biaya sekitar IDR300,000. Satu jip boleh sumbat sampai 4 orang so boleh kongsi2. Sampai je Pantai Timang (do not expect pantai macam kat Malaysia ok) kita disajikan pemandangan indah dari atas. Pantai tu kat bawah sebenarnya. Nak turun bawah memang tak lah. Dari jauh nampak satu gondola ala2 kereta kabel ditarik secara manual guna tali hiking tu (apa kenama tali abang tak tahu). Satu gondola boleh naik dua orang. Biaya IDR200,000 seorang. Maha memang mahal tapi experience dan momen untuk kau ke pulau batu di seberang nun lebih kurang 150 meter tak boleh beli dengan duit bang. Ditambah pulak dengan gelora ombak kat bawah sana dengan kau tak pakai apa2. Takut, gayat semua ada. Kalau nak ubah keputusan boleh je lalu jambatan gantung dengan biaya separuh daru gondola. Kau boleh lepak2 jalan benti jalan benti sambil selfie. Tapi, serius kagum dengan daya tenaga serta kepakaran masyarakat setempat dalam membuat kajian mekanikal mengenai gondola ini. Sampai ko punya tahap pemikiran mengenai keselamatan jatuh kepada 4% sahaja daripada 100. Cuma harapnya 4% tu tak kena pada kita la hehe.

Nampak macam seberang je kan? Kau tengok ombak kat bawah tu…berani?

Here we go

 

5. Shopping di Malioboro

Apa lagi nak buat kalau dah pergi tempat orang dan nak cari something untuk dibawa pulang. Malioboro lah tempatnya. Malamnya hidup umpama pasar malam gergasi. Walaupun tak segah Bukit Bintang tapi cukup buat abang enjoy night life kat Malioboro. Dereta gerai menjual cenderahati dengan harga mampu milik serta deretan gerai ‘warteg’ yang menjual makanan jogja buat malam makin panjang. Cuma kalau nak makan make sure tahap kebersihan itu dimonitor dulu. Ada je yg duduk bersila sambil menikmati ayam penyet. Tapi yang paling rare ialah ambil foto di signage Malioboro yang sempoi jek. Di Malioboro juga ada Pasar Beringharjo dan pasar ini pasar kering dan basah. Dia di dalam bangunan dan juga beberapa mall berdekatan kalau nak jalan dalam keadaan sedikit sejuk. Bagi yang malas jalan kaki boleh je naik beca yang disediakan. Mintalah supir bawak pusing2 tapi deal dulu harganya sebelum naik.

Roadsign macam kat Jalan Wong Ah Fook jek tapi ramai yang snapshop kat sini

Nightlife @Malioboro

 

6. Tempat Bakpia

Sejenis kuih yang intinya kacang hijau yang dikisar halus. Memang sedap kalau perisa asli dan beberapa perisa yang ditambah nilai pun boleh kena dengan selera. Harga pun tak mahal sekitar IDR10,000-20,000 bergantung perisa dan dijual di dalam kotak. Tapi yang paling best bila kau berkunjung ke tempat pembikinan kuih bakpia ni bila kau tengok mereka buat kuih macam kerja kilang. Ada tempat kisar, tempat uli tepung, tempat bakar dan semua dibuat macam ada standard masing2. Ok proses bakar pun guna kayu api dan arang ok bagi menjamin kesedapan kuih ini. Alang2 dah sampai, petugas akan beri sample untuk kau cuba panas2 sey. Kau ulang makan pun dia tak kisah tapi bila balik belilah sekotak dua buat makan kat hotel ataupun bawa balik.

Berjemaah buat Bakpia


Nah…baru keluar dari tempat pembakaran dan siap sedia untuk dirasa


Siap sedia untuk dibawa pulang ke Malaysia

 

7. Hutan Pinus

Antara tempat menarik untuk bergambar, Hutan Pinus adalah kawasan pokok pain yang begitu cantik dan terdapat rumah hobbit yang dibina untuk menambahkan lagi photo spot sedia ada. Memang terasa seperti berada di kawasan sejuk dan udaranya pun sangat dingin. Lokasi sealiran dengan Kalibiru jadi memang satu jalan. Suggest pergi pukul 3.00-6.00 petang.

Macam cover album kan?

Fuhhhh…penat

Memang dah disediakan port untuk snapshot

 

Memang sebenarnya banyak lagi interesting places di Jogja ni. Tapi ini jelah yang abang sempat terjah dalam 4 hari 3 malam di Jogja ni. Of course, different type of traveller will discover different places. Maybe 7 yang disenaraikan ni just 20% of Jogja. Mungkin abang akan datang lagi untuk discover the rest pulak. Yang penting, make your first step and you will discover the rest 🙂

Ok kali ni kita masuk part yang tidak kurang penting bila jalan2 iaitu bab makan. Salah satu sebab Indonesia menjadi destinasi kegemaran orang Malaysia ialah kuliner atau makanan yang sedap2. Memang selera tak jauh dengan kita di Malaysia tetapi makanan di Jogja tentunya unik dan semestinya apabila kita berada di sini pasti nak cuba local dish atau signature dish yang ada di Jogja ni. Abang dengan team underground takdelah buat research yang dalam terhadap makanan ni. Sebab abang taknak kecewa di kemudian hari takut tak kena selera tau tempat makan jauh dari lingkaran semasa. So, apa yang abang nak share ialah tanya supir korang mana tempat makan yang sedap2. Seperti yang abang sembang dalam entry Ada Apa Dengan Jogja? -Tentatif Program-, supir menang main banyak peranan dalam menjayakan liburan korang. Supir selalunya akan suggest tempat makan yang menarik sebab dia biasanya tau selera orang kita. abang advice korang ikut je suggestion supir kerana harga makanan tak banyak beza dengan kita di Malaysia. Jom abang share beberapa tempat makan yang win kat sekitar Jogja.

  1. Kedai Makan Handayani

Ok kedai makan pertama yang kami singgah ialah Kedai Makan Handayani. Sebuah kedai makan tahap restoren, tak ramai orang dan menyediakan makanan tempatan. Abang try la makan nasi handayani, paduan nasi putih dengan daging then ada ulaman sikit dengan terung bercili. Ok not bad sebab ada paduan kuah asam rebus yang memang win. Harga sekitar IDR35-40,000 siap air teh botol sosro untuk seorang makan.

Suasana di Handayani

Nasi Goreng Handayani

Nasi…(apa ntah tak ingat) tapi sedap

 

2. Steak Luar Biasa

Ok malam pulak setelah siangnya kita pekena Handayani, supir dengan selambanya bagi advice, “…kalau tadi siang2 udah meletup pedas, malam2 kita nyaman makan steak mau?”. Dalam hati supir ni nak potong leher ke makan steak. Tapi beberapa kali sudah abang nyatakan, percayalah supir. Dan kalau nak lagi confirm, pesan kat supir bawa tempat yang murah2. Jadi kami pekena steak yang memang murah malam tu di Steak Luar Biasa.

Tunjuk gambar ini udah tertera alamatnya jika kepingin ke sini

Kata supir : Kedainya kaki lima tapi makannya bintang lima…

Untuk semua ini sekitar IDR140,000. Korang bahagilah sendiri

 

3. Warung Makan Tepi Jalan Borubudur

Ok Warung Tepi Jalan ni supir bawa masa turun dari Punthuk Setumbu lepas tengok sunrise pada hari esoknya (selepas makan western malam tadi). Dekat dengan Candi Borobudur. Ni pun singgah makan sebelum pergi Borobudur. Warung makan ni tidak punya nama kerana dia betul gerai di tepi jalan ala-ala nasi lemak makcik kat tepi jalan. Tapi memang legend sebab ramai orang kampung datang beli sama ada makan situ atau tapau. Abang tak tau nak makan apa sebab banyak sangat lauk so abang sauk jela nasi makan dengan tempe dan sedikit kuah ayam. Ada ulam-ulaman untuk cicah dengan sambal (sebenarnya tiru supir tgk dia makan apa haha). Ok disebabkan ini ketagori gerai di kawasan kampung, jumlah yang dibelanjakan untuk pagi itu untuk empat orang hanyalah sekitar IDR80,000 sahaja (paling murah setakat ini).

Inilah rupanya gerai tepi jalan tu. Nama jalan pun tak ingat tapi dengat dengan Borobudur. Nama kampung pun tak ingat

Makcik yang jual ni steady melayan customer yang tak putus-putus.

Inilah ‘brunch’ abang. Ada la tempe ulam-ulaman dan sambal…yummmyyyyy

 

4. Ramusen Penyetan

Haha Ramusen Penyetan ni nama kedai ok. Sebutnya Pe-Nyett-Tan (bukan penyetan – syaitan ok). Supir bagitau Ramusen Penyetan ni famous dalam makanan ayam penyet. So abang pun terbayanglah ayam penyet Banaffe kat depan New York Hotel tu. Lebih kurang sama cuma ayamnya crispy ala2 KFC dan sambal dia paling legend. Boleh pilih tahap kepedasan nak sebiji, dua biji atau tiga biji. Jam-jam tu juga dia gelek cili tu dengan leusng dia sampai lumat then dia akan letak atas pinggan. Side order seperti biasa sup asam rebus dengan jagung dan air malam tu abang order green tea lepas asik minum teh sosro jek sepanjang kat sini. Harga lebih kurang IDR40,000 hingga IDR60,000 mengikut bahagian ayam yang diambil. Peha atas, peha bawah, dada dan sayap semua harga lain2 ok.

Suasana Tenang di Ramutens Penyetan

Inilah rupanya Ayam Penyet di Jogja. Asam rebus tu segar dan green tea tu paket complete lepas kepedasan

Semua berpuas hati kekeyangan selepas kepenatan berlibur

 

5. Soto Segeer

Keesokan harinya kami menyusur seawal pagi untuk sunrise di Gunung Merapi (nantikan entry akan datang) dan selepas itu kami singgah di Warung Soto Segeer Mbok Giyem di mana abang pun tak tau tapi sekitar bandar Jogja la. Memandangkan lepas ini, kita akan ke Pantai Timang jadi singgah jela makan dulu kan sebelum jalan jauh. So sebab nak merasa soto kat Jogja ni layankan jelah. Kat sini ada soto nasi dan soto mee (mihun). Ok jangan ingat soto macam kat Malaysia ok. Tiada nasi impit atau sambal kicap. Abang order soto nasi memang mandi nasi dia dalam soto tu. Penuh taugeh dan isi ayam tapi soto dia memang ummpphhh. Memang rasa macam makan bubur tapi kalau tak kenyang boleh order dua mangkuk. Satu mangkuk dalam IDR12,000. Komplitkan dengan air teh panas. Tapi side menu dia ialah bakwan. Bakwan ni macam jemput-jemput ikan bilis. Setiap warung memang akan serve dalam pinggan banyak-banyak dan ambil aja ikut nak makan. Ada bakwan, tempe, tauhu dan ada dua tiga lagi kuih. Tapi memang sedap dengan harga sekeping IDR1,000.

Warung Soto Segeer Mbok Giyem (Tepi Jalan)

 

Soto nasi berderai (bukan macam nasi inpit kat Malaysia)

 

Kongsi meja dengan masyarakat setempat. Bakwan, tempe dengan tauhu dalam pinggan hijau tu kejap je licin 🙂

 

6. Bale Bebakaran

Malam selepas balik dari Pantai Timang dengan penuh kelaparan (makan tempe jek dalam perjalanan) supir suggest pergi tempat paling best untuk makan besar di Bale Bebakaran. Paduan nasi dengan ayam bakar dan ikan bakar memang komplit selepas penat berjalan jauh. Bale Bebakaran ni memang tahap restoren dengan ramai sekali pengunjung sekitar jam 8.00-9.00 malam WIB. Kalau tengokkan memang restoren ni mampu singgah la sebab ada yang makan bersama family, ada yang celebrate birthday dan ada juga yang berdating. Dalam restoren ada beberapa seksyen mengikut bilangan pax dan suasana event. Ada juga kids area untuk budak-budak main-main kalau tak nak makan. Disebabkan menu dia banyak so kami memilih masa yang lama untuk memesan makanan, tu campur tanya waitress lagi ni apa tu apa ni masak camane tu masak camane. Last-last kita order berasingan daripada semua seperti ayam bakar, ikan bakar (paket dengan nasi) dan add on lagi side order macam sotong goreng, ayam blackpepper dan sup. Total harga makan di malam terakhir kami di Jogja dalam IDR160,000.

Kids area di Bale Bebakaran.

 

Air Soda Gembira. Sirap campur susu dengan air gas soda cap Fanta legend

 

Muka gembira makan besar di hari terakhir

 

7. Nasi Gudeg

Ok last sekali nak share kuliner nasi gudeg. Nasi gudeg ni memang akan kelihatan banyak sekali di sekitar Jogja. Bila abang tanya apa dia nasi gudeg ni supir pun bagitau sejenis nasi yang dipadukan dengan nangka yang telah direbus sekitar 4-6 jam. Abang dok fikir gulai lemak nangka jek sekali bila supir bawa ke warung nasi gudeg ni taktau nak kata apa bila tengok nangka tu. Dia macam basah-basah dan manis. Nasib baik supir ikut tekak Malaysia sebab dia bilang ni yang paling kurang manis nangka dia. Kalau pergi warung lain mungkin kena diabetis kot. Lepas tu, nasi gudeg ini dipadukan juga dengan kulit sapi yang digoreng. Rasanya kenyal-kenyal gitu dan tak lupa juga tempe. Abang tengok nasi dia abang cannot go lagipun sebentar lagi nak naik flight balik Malaysia so abang layan bubur jelah. Walaupun tak berapa menepati sangat tekak Malaysia tapi abang suggest kena try at least sekali baru tau rasa dia camane. Manalah tau tekak korang boleh menerima dengan jayanya kan. Harga sekitar IDR160,000 untuk empat orang berserta air minuman.

Nasi GudegGo katanya paling ok lah untuk tekak rakyat Malaysia.

 

Nasi Gudeg dengan paduan nangka dan kulit sapi

 

Abang tak lalu makan nasi so bubur jela senang masuk, tapi tetap dengan nangka (gudeg), tempe dan kulit sapi.

 

Ok, demikianlah perkongsian abang tentang kuliner di Jogja. Mungkin ada yang abang tak sempat singgah memandangkan tiga hari saja abang di sini. Semoga bermanfaat buat korang yang nak menjelajah Jogja nanti. Next entry nak share pasal wisata pulak.

Tunggu tau 🙂

Yeah ketemu lagi kita dong. Yelah masa tengah hangat-hangat ni kan baik abang curahkan semua apa yang ada kan? Ok tentatif dah view? Kalau belum meh view kat sini Ada Apa Dengan Jogja? -Tentatif Program-

Ok seringkali kalau kita berliburan, tempat penginapan mesti menjadi topik utama. Ada yang kata dapat buat lelap mata, tempat salin baju sudah lah. Ada pula yang sedang2 sahaja dan ada yang mementingkan kebersihan dan kelengkapan yang tiptop serba serbi. Ada juga yang mementingkan lokasi dan majoriti mementingkan harga yang akan menentukan arah tuju mereka sepanjang berada di luar Malaysia. Bagi abang dan group underground abang ni semua benda diambilkira. Sebagai muslim, kebersihan itu penting. Sebagai manusia yang hidup dalam arus kemodenan, kelengkapan serba serbi juga penting dan sebagai traveller yang ingin memaksimumkan keberadaan di Jogja dengan kos yang minimum, lokasi juga penting.

Ye, ramai yang memberi option untuk mencari penginapan ala hostel melalui AirBNB atau tergoda dengan lentikan rayuan Dahlia Shazwan dalam iklan trivago mahupun tetap setia dengan booking.com atau agoda. Bagi abang semuanya boleh cuma kau perlukan masa untuk google semuanya dan buat banyak research (bukan sedikit) mengenai penginapan. Simpan juga 10% rasa curiga agar kau tak tertipu dgn helah gambar yang terpapar di layar laptop atau ponsel sewaktu kau membuat tempahan hotel.

Ok nak share pengalaman abang sikit. Tempahan hotel ini dibuat melalui trivago so trivago suggest satu hotel bernama Red Doorz melalui booking.com. Harga dua bilik standard untuk tiga malam berjumlah IDR2,024,000 lebih kurang RM620.00. So bila dibahagi satu bilik untuk tiga malam jadi RM103.00 la semalam so bahagi lagi dua sebab satu bilik duduk dua orang jadilah RM52.00 semalam. So sorang akan bayar untuk penginapan hanya RM154.00  atau sekitar IDR500,000 untuk tiga malam. Mahal ke murah kau nilai sendiri sebab abang pun tak tau gaji kau sebulan berapa kan. Kemudahan dalam bilik setanding di JB atau KL. Air cond, tv dengan 20 channel termasuk Astro (kat sini bukanlah panggil Astro), katil yang gede (besar), air panas, complementary air mineral as usual. Tapi yang paling penting, hotel ni terletak di Jalan Malioboro, salah satu places of interest di Jogja. Dekat Malioboro ni memang banyak hotel, hostel dan rumah tumpangan. Ada yang mewah, sederhana dan horror tahap belakang mati pun ada. Jadi buatlah research untuk pilih hotel yang mana. But make sure kat Malioboro supaya senang kau berjalan kaki ke Jalan Malioboro, Mal Malioboro dan Pasar Beringharjo.

Nak dijadikan cerita hotel yang abang duduk ni rupanya JV dengan hotel sedia ada kat sini. Supir punyalah dua tiga kali berpusing cari hotel sampai dia yang legend kat Jogja pun tak percaya tak jumpa hotel tu. Bila tanya2 rupanya hotel tu buat partnership  dengan salah sebuah hotel kat Jogja ni dengan nama Grand Pasundan. Memanglah tak jumpa nokkkkkk. Tapi memang salute la supir abang ni sebab dia meredah hujan carik hotel tu. Oh ye, kalau book under booking bila check in baru bayar. So jangan lupa asingkan siap2 duit IDR untuk bayar hotel ok. Bukan dalam RM tau.

Di sekitar hotel juga terdapat sewaan motorsikal, kalau rasa2 nak berjalan sendiri naik moto. Beca atau dieja becak pun ada kalau sekadar nak kasi derma pada warga tempatan yang mencari rezeki. Tapi the most experienced thing is jalan kaki dan boleh enjoy sekitar Malioboro especially at night. Sepanjang abang tido di Red Doorz tu memang selesa la kan. Tapi sebab tiap2 pagi nak kena bangun awal seawal 4.00 pagi, jadi cukup sekadar tidur yang selesa selepas penant berjalan. Ingat kau perlu recharge untuk tenaga baru buat esok. Jadi, buatlah pilihan yang tepat untuk penginapan korang.

Dalam banyak2 gambar, gambar hotel yang abang tak amik sebab masa tu hujan.

 

 

Ok seperti yang dijanjikan dalam entry yang sebelumnya Ada Apa Dengan Jogja? abang akan sharekan tentatif program untuk panduan semua yang berminat. Tentatif ini tak 100% perlu diikui diulangi tak 100% diikuti ok. Jadikanlah panduan untuk berjalan di Jogja. Kalau ada tempat yang rasa abang pergi tapi kau tak nak pergi itu terpulang dan boleh gantikan dengan tempat yang lebih kau prefer. Tapi kalau suit dengan citarasa dan nak juga follow tentatif ni silakan abang tak paksa.

Ok nak ingatkan juga semasa planning untuk tentatif ni, silalah berkawan rapat dengan google maps (GM). GM ini akan membantu korang dari segi jarak perjalanan dari satu point ke satu point. Ia juga akan meningkatkan ilmu Geografi korang yang acah2 pandai masa zaman sekolah dulu. Tapi harus diingat dalam GM tu nampak je jalan macam lurus je tapi realitinya tidak. Plan setiap tempat wisata yang ingin dilawati satu jalan dengan yang lain. Sebagai contoh, hari pertama nak pergi arah barat, so plan semua tempat wisata yang arah barat sahaja. Jangan satu ke timur satu ke utara alamatnya kau tidur jela dalam kereta. Tips selanjutnya, pergi ke tempat paling jauh terlebih dahulu kemudian balik baru singgah di tempat selanjutnya semasa perjalanan pulang.

Tentatif program untuk tiga hari berserta sedikit info bayaran masuk dan pengangkutan khas wisata

So, gambar di atas ialah tentatif program abang. Disebabkan abang dari Johor Bahru so kenalah gerak malam untuk kejar flight pagi. Jadi sesuaikanlah dengan dari mana korang nak bertolak ye.

Satu lagi tips yang abang nak share ialah, make sure korang discuss tentatif ni dengan supir. Sebaik sahaja landed di Jogja dan dapatkan transport, masa first time makan tu borak2 lah dengan supir dan share tentatif ni dengan dia. Minta pandangan dia juga mengenai program ini supaya dia ada second thought dan boleh advice jika berlaku sebarang ketidakinginan contohnya cuaca buruk atau tempat yang ingin dilawati sedang dalam renovasi dan sebagainya. Ingat, supir tahu semua benda dan tentunya latest info jadi jangan memperlekehkan supir. Oh ya sebelum terlupa, selalunya kita akan tanya supir dari sini ke sana berapa lama kan? Supir pun akan steady menjawab, “…dalam 30 menit pak…kurang lebih lagi 15km”. Jangan terkejut sangat. Memang kalau style kita 15km tu dalam 15-20 minit boleh sampai tapi di Jogja jalannya kecil dan sempit dan tiada highway. Purata kelajuan pun sekitar 60-70km sahaja.

Seterusnya, belajarnya mematuhi masa dan stick to the early plan. Sebab itu abang sarankan trip tak melebihi enam orang. Empat tu sedang elok. Bukan apa, lagi ramai nanti lagi banyak kepala nak handle at last kita yang rugi sendiri nanti. Patuhi masa dan patuhi tentatif agar semua yang kita rancang dapat kita lewati dengan hati yang gembira. Semasa trip nanti belajarlah lihat sekeliling. Masa ni lah nak tengok budaya, suasana dan persekitaran yang lain dari tempat kita.

Ok, itu sahaja yang abang nak sharekan mengenai tentatif program. Sebagai penutup abang nak buat pengakuan bahawa ada tiga tempat yang abang dengan geng2 underground abang ni tak sempat pergi. So, itulah adat bertentatif ni. Kalau dapat fulfill 100% memang superb buat at least targetlah 80% untuk dipenuhi. Jangan tanya yang mana abang tak pergi ok. Yang abang takcerita tu maka understood lah tak pergi ok. Kalau ada apa2 nak tanya atau kurang jelas boleh terus direct message atau emel terus.

See u in the next entry 🙂

 

 

Ada Apa Dengan Jogja?

Posted: 26/11/2017 in Jalan Jalan

 

Jogja atau nama rasminya Yogyakarta ialah sebuah bandar di kawasan tengah Pulau Jawa. Dulu abang selalu kalau Pulau Jawa ni ada Jakarta, Bandung dengan Surabaya je tapi tak pernah pun tau pasal Jogja ni. Bila terbaca entry blog seorang teman rupanya Jogja ni merupakan tumpuan tourist untuk yang cintakan keindahan ciptaan Allah swt. Ok dipendekkan cerita abang dengan wife serta dua orang teman kantor plan untuk trip underground ke Jogja ni selepas event besar di kantor. Konsep trip adalah untuk release stress selepas penat bekerja dan taknak habis duit banyak dengan shopping. So Jogja pilihan kami yang menawarkan beberapa tempat wisata yang menarik.

Sunrise…salah satu momen paling pas di Jogja – Punthuk Setumbu

Tak susah sebenarnya nak tahu pasal Jogja ni. Boleh search sahaja entry2 di dalam blog ni mana tempat-tempat menarik dengan harga yang berpatutan. So abang akan cuba share trip abang dengan group underground ni untuk panduan pembaca blog abang semua. Untuk lebih memudahkan semua pembaca abang bahagikan penulisan artikel mengenai Jogja ini kepada beberapa skop seperti berikut :

  1. Tentatif Program
  2. Penginapan
  3. Makanan @ Kuliner
  4. Tempat Menarik @ Wisata
  5. Pengangkutan

Ok seharusnya abang tak mampu nak tulis semuanya dalam satu artikel so abang mulakan dengan topik pertama dulu mengenai tentatif program. Tentatif ini sangat2 penting untuk menentukan hala tuju trip sebelum, semasa dan selepas trip. Ia penting untuk bantu kita dalam pengurusan masa supaya kita dapat menjimatkan masa dan yang memaksimumkan keberadaan kita di Jogja. Tentatif juga perlu disediakan lebih awal berdasarkan research di blog2 dan juga google map bagi menentukan jarak dari satu tempat ke satu tempat yang lain mengikut satu aliran yang sama. Kalau berlainan aliran nanti kita akan habis masa banyak kat atas jalan. So do some research ikut keinginan tempat mana yang kita nak pergi.

Pergi berkumpulan lebih hemat – Underground Trip

Dinasihatkan juga trip Jogja ni pergi secara berkumpulan. Minimum 4 orang dan maksimum 6 orang. Sebabnya ialah banyak tempat2 yang memerlukan kita berjalan dengan kenderaan yang disewa bersama pemandu. Jalan2 di sekitar kota Jogja juga perlukan kereta sewa jadi kalau empat hingga enam orang share duit kereta sewa tu memang berbaloi. Kereta yang disediakan kebanyakkannya jenis Toyota Avanva so kalau enam orang memang seorang depan tiga di tengah dan dua di belakang memang memadai. Kalau pergi ke Pantai Timang dan Gunung Merapi juga perlu sewa jeep dan memang memadai kalau empat hingga enam orang untuk naik jeep tersebut. Nak honeymoon? Bukan tempatnya bang kecuali kalau kau sanggup keluar duit banyak untuk bayar kos pengangkutan atau panjat terus bukit tu.

Pemandu2 di Jogja ini selalunya ramah. Bukan setakat Pak Heriyanto (sebab nama dia ni famous di kalangan blogger yang menulis pasal Jogja) bahkan semua pemandu atau supir yang membawa pelancong Malaysia mereka akan layan dengan ramah. Baik kau pria mahupun cewek, bujangan atau janda, cantik atau jelek, miskin mahupun kaya, layanannya sama aja. Tapi untuk bab supir ni abang bagi tips sikit buat yang nak pre booking. Pertamanya, tanya betul2 kos pengangkutan itu seharian 24 jam (sampai kau capek) ataupun sekitar 12 jam sahaja. Keduanya, tanya betul2 kos pengangkutan tu meliputi semua kawasan Jogja termasuk Pantai Timang dan Pantai Parangritis (ni je paling jauh abg rasa). Ketiganya, tanya betul2 kos pengangkutan termasuk kos parkir dan lain2 atau tidak. Ini semua penting agar perjalanan liburan kalian tidak terganggu. Nanti abang akan ceritakan bab pengangkutan ni dalam topik berikutnya.

Ok cukup dulu setakat ini buat pendahuluan. Abang belanja dulu gambar2 menarik di Jogja untuk tatapan semua pembaca. Semoga bermanfaat untuk terus setia menunggu entry2 yang berikutnya mengenai Jogja ini.

Jeep yang digunakan untuk ke Gunung Merapi

Makna SUKUM Buat Saya

Posted: 12/08/2017 in Sukan

Tahun ini merupakan tahun kelapan saya menyertai kontigen UTM untuk ke Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM). Bermula dari 2008 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)  sehingga 2015 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum berehat seketika pada 2016 (itupun kerana universiti tidak menyertai acara bolasepak) dan pada tahun 2017 sekali lagi berbaju UTM di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Tidak banyak kejayaan sepanjang menyertai SUKUM berbanding ketika zaman belajar di UiTM dahulu. Kalau dahulu di UiTM boleh dikira dengan jari berapa kali saya dan pasukan bolasepak UiTM gagal dan pulang tangan kosong. Tetapi di UTM lain ceritanya. Selama lebih lapan tahun, hanya satu pingat dari edisi 2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia, itupun gangsa.

 

Namun penyertaan SUKUM bukanlah bersifat kemenangan semata-mata. Untuk kemenangan, kita perlu ada material yang lengkap, sistem latihan yang sempurna serta motivasi yang tinggi dari pihak ketiga. Itu semua telah saya lalui semasa bersama skuad UiTM FC. Di UTM sebagai atlet SUKUM, ini semua terhad. Ia adalah berbentuk sukan massa bukanlah bersifat prestasi tinggi seperti zaman muda mudi dahulu. Ada teman bertanya, kenapa masih menyertai SUKUM walaupun sering pulang tangan kosong? Saya kongsikan kenapa?

 

  1. Networking

Sebenarnya SUKUM merupakan medium tepat untuk networking secara live bersama staf-staf dari UA lain. Bayangkan semua Juruteknik, Pengawal Keselamatan, Pembantu Tadbir, Penolong Pendaftar, Pensyarah mahupun Doktor yang merawat pemain bertemu sesama sendiri dan boleh berbincang su terkini bukan sahaja mengenai sukan tapi hal ehwal tugas dan kampus masing-masing. Jika dilihat secara positif, waktu makan bersama, acara perasmian merupakan detik tepat untuk melakukan networking singkat ini untuk kegunaan masa hadapan. Saya sendiri akan menemui rakan-rakan zaman belajar dahulu di SUKUM. Baru-baru ini, terjumpa pula rakan urus setia konvo dan sempat cerita mengenai hal kerja yang sangat light. Pada saya itu amat berkesan.

Bersama bekas rakan sepasukan di UiTM FC, Tom dan Ejam yang kini bertugas di UiTM

  1. Kebersamaan

Sejak menyertai SUKUM, saya bayangkan semua rakan-rakan pemain, pengurus, jurulatih mahupun kitman sebagai satu keluarga. Sama seperti di UiTM FC dulu. Sebab itu kita letakkan taraf dan jawatan di UTM sebelum ke SUKUM kerana sebaik sahaja melangkah kaki ke tangga bas, mereka adalah keluarga saya dan tiada bezanya saya dan mereka. Malah dari padang latihan lagi, kita terapkan tiada keistimewaan buat individu. Perjalanan bersama, makan bersama, menginap bersama dan pergi game bersama. Untuk lima hari berSUKUM, inilah keluarga dan kebersamaan yang diterapkan. Inilah masa untuk bertukar pandangan, mengenali rakan, berkongsi hobi agar lebih akrab sebelum masing-masing bertugas semula.

Sebuah keluarga sementara sebelum bertolak dan berkampung di UPSI

  1. Kenali Universiti

Pernah ke kita jelajah seluruh UA di Malaysia ni? Saya Alhamdulillah. Berkat bermain dengan UiTM FC dulu banyak UA telah saya jelajahi. UiTM sahaja ada 14 kampus (waktu itu) dan kebanyakkan telah saya lawati untuk bermain bolasepak di sana. Menyertai SUKUM juga begitu. Banyak UA telah saya lawati dan melihat sendiri lokasinya, Bandar yang berhampiran, kemudahan yang disediakan serta fasiliti padang dan fasiliti lain. Tidak ketinggalan juga bangunan-bangunan unik terutama bagi UA lama yang kelihatan menarik untuk diabadikan gambar kenangan. Of course, kalau pergi SUKUM mesti kena cari tempat-tempat menarik untuk liburan. Lagi-lagi sekarang semua atlet telah bergaji (dulu masa zaman belajar takde duit duduk kolej je tunggu bas nak balik) malah ditambah elaun pemain seharusnya tempat liburan dijadikan masa untuk menghilangkan stress dan penat setelah bermain di lapangan. Tidak ketinggalan juga tempat-tempat makan yang menarik di setiap negeri.

Berlatarbelakangkan salah sebuah bangunan utama di Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI

Jadi begitulah alasan saya kenapa SUKUM bermakna buat saya. Gaya hidup sihat sudah tentu ia perlu jadi amalan berterusan. Ada juga mengatakan pengubat stress dari tugas hakiki di pejabat, juga tidak dinafikan. Biar apa pun pendapat, sama-samalah kita menilai diri sejauh mana sumbangan kita kepada Universiti dan pencapaian kita kepada diri sendiri. Untuk saya, selagi diperlukan dalam pasukan bolasepak UTM, selagi itu saya akan cuba menabur bakti buat majikan saya ditambah dengan minat dan alasan yang dinyatakan.

Semoga pengurusan sukan UTM terus maju dan terus menjaga kebajikan atlet UTM agar lebih menyinar pada masa hadapan.

*Ketika artikel ini ditulis, saya bersama pasukan telah selamat ‘pulang awal’ bersama pasukan.

Bukan Kalah Cuma Tak Menang

Posted: 04/08/2017 in Sukan

‘Bukan Kalah Cuma Tak Menang’

Itulah yang mempu diungkapkan ketika melihat UTM hanya mampu seri 0-0 dengan UIA pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan acara bolasepak SUKUM 2017 di Padang B, Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Ogos 2017.

UTM melakukan satu pertukaran pemain di barisan pertahanan apabila Wan Norzaidi mengadu cedera di bukulali sewaktu sesi pemanasan badan, lantas menyaksikan Shafie masuk menggantikan beliau untuk berganding dengan Dzulhelmi di pertahanan tengah. Perlawanan bermula menarik dengan serangan dari UTM mengasak kubu lawan untuk mencari gol awal. Faezel dan Faridzuan licik bergerak bersama dan menghasilkan tiga peluang melalui sepakan percuma yang terkena palang dan dua lagi percubaan yang diselematkan oleh penjaga gol UIA. Tamat separuh masa pertama dengan kedudukan kekal 0-0.

Sesi regangan pada separuh masa akibat dari perlawanan yang rancak

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, UTM terus mengasak setelah mendapat tonik kata-kata semangat dari CDM UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman yang sempat hadir memberi sokongan. Sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalty diambil Faezel ditampan sekali lagi oleh penjaga gol UIA. Menyedari diasak teruk, UIA mengurangkan kenduran di barisan atas dan memasukkan pemain pertahanan. UTM masih tidak berputus asa terus melancarkan serangan dari segenap sudut. Namun dua percubaan dari Faridzuan masih gagal menggegarkan jaring UIA. Nyata penjaga gol mereka wajar dianugerahkan pemain terbaik. Hingga ke hujung permainan, UTM masih buntu dan akhirnya UIA gembira dengan keputusan 0-0 untuk melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.

Pengurus UTM, Mohd Noorazam memuji persembahan penuh disiplin pemain UTM dan menyatakan hanya nasib tidak menyebelahi pasukan UTM.

“Kita datang untuk menang dan bermain untuk menjaringkan gol. Semua pemain senior bermain baik malah tidak ditukarkan. Hanya pemain veteran sahaja yang keluar masuk. Semangat pemain untuk menang itu ada dan kita telah bermain untuk perancangan namun kubu UIA lebih kukuh”, ujar beliau.

Ditanya mengenai peluang pasukan UTM ke peringkat seterusnya, Noorazam menyatakan peluang tipis kerana pasukan USM tentunya akan menjadikan UM mangsa seterusnya sebelum ke peringkat suku akhir.

“Walaupun harapan tipis, kita masih menunggu keputusan USM-UM, mana tahu ada kejutan yang membolehkan kita layak ke suku akhir”.

Setelah perlawanan ketiga UTM hanya meraih empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. UIA pula meraih lima mata dan sah ke suku akhir.

Kesebelasan utama UTM menentang UIA

Depan (dari kiri) : Adam, Faezel, Dzulhelmi, Nazwar, Faris, Faridzuan

Belakang (dari kiri) : Afiq (PG), Shafie, Ghazali, Wan Yusryzal, Thaqif

 

Mistakes are to be corrected. Its make you a better person and more matured – DMR

Kerja Mudah Buat Jadi Susah

Posted: 02/08/2017 in Sukan

Perlawanan kedua berlangsung pada 31 Julai menyaksikan UTM berjaya menewaskan UM 4-3 di Padang A, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI. UTM mengekalkan kesebelasan yang sama dengan misi wajib menang ke atas UM sementara UM yang tewas perlawanan pertama menentang UIA juga mengharapkan kemenangan bagi menghidupkan peluang mereka mencongak ke suku akhir. Namun begitu Faezel Hamid meletakkan UTM di hadapan hanya selepas lapan minit perlawanan berlangsung melalui gerakan solo dari sebelah kanan. Selepas itu perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Lima minit sebelum separuh masa pertama tamat, pertahanan UM dilayangkan kad merah atas profesional foul terhadap Faezel namun sepakan percuma itu hanya menyinggah palang.

Separuh masa kedua UTM garang menyumbat dua lagi gol sekali lagi melalui Faezel melalui gerakan cepat Wan Yusryzal dan hantaran lintang Wan Norzaidi yang ditanduk masuk Faridzuan dalam masa 20 minit. Selepas water break malapetaka tiba-tiba datang. Dengan tidak semena-mena UM mencuri satu gol hasil dari perangkap ofsaid yang tidak dikesan pengadil. Lima minit selepas itu, tangkapan penjaga gol Mohd Afiq, lucut dari genggaman lantas ditanduk mudah oleh pemain veteran iras-iras Soh Chin Aun yang berusia awal 50an. Gol tersebut menyentap terus semangat UM hasilnya gol penyamaan terhasil melalui sepakan cantik kapten pasukan UM menjadikan kedudukan 3-3 pada tiga minit terakhir.

Pemain UM melancarkan serangan bertali arus selepas water break.

Satu UTM Sanjungan Bangsa

Awan yang berarak gelap tidak bermakna akan menurunkan hujan yang lebat. UTM tidak berputus asa menghukum UM yang ligat menyerang. Satu hantaran lintang oleh Wan Norzaidi dicabar oleh Faridzuan bersama penjaga gol UM. Kerana tersilap jangkaan, Faridzuan menanduk mudah masuk ke dalam gol ternganga pada minit terakhir permainan. Bagai telah tertulis kemenangan milik UTM, pengadil terus meniup wisel kemenangan seminit selepas gol tersebut.

Kapten pasukan, Faezel Hamid mengucap syukur dengan kemenangan namun terkejut dengan perubahan corak permaianan setelah mendahului 3-0.

Kita bermain sambil lewa dan tidak menghormati lawan sedangkan perlawanan belum berakhir. Semoga perlawanan ini dapat menjadi pengajaran untuk kita lebih berwaspada pada perlawanan yang seterusnya“, ujarnya dengan nada lesu selepas dikeluarkan akibat kecederaan.

Dengan kemenangan ini, bermakna UTM harus menang dalam perlawawan terakhir menentang UIA untuk layak ke suku akhir. UIA dan UM seri 1-1 pada perlawanan yang diadakan pada masa yang sama di padang bersebelahan.

Kesebelasan Utama UTM

Depan (dari kiri) : Thaqif, Adam, Dzulhelmi, Faezel, Faris, Faridzuan

Belekang (dari kiri) : Afiq, Wan Norzaidi, Wan Yusryzal, Nazwar, Ghazali

Kekalahan adalah proses kepada kemenangan dan pengalaman kepada kematangan – DMR

Permulaan Suram

Posted: 31/07/2017 in Sukan

UTM bermula suram pada Sukan Staf Universiti Awam Malaysia ke-42 (SUKUM 2017) yang berlangsung di Padang A, Kampus Sultan Abdul Jalil di UPSI pada 29 Julai 2017. UTM turun pada perlawanan pertama menentang pasukan pilihan USM tewas 1-2 pada perlawanan tersebut. Dengan peraturan pertandingan mewajibkan tiga pemain veteran berada di dalam padang, UTM nampak sedikit tenggelam dengan formasi 4-1-4-1 tambahan pula mereka kehilangan pemain tengah berkaliber, Zaini Kamar yang tidak dapat bersama pasukan.

UTM bermula baik mengimbangi perlawanan dengan serangan melalui sayap namun seringkali terbatas dengan umpan-umpan pendek pemain USM yang nyata menjadi. Lebih enam peluang dihadapan gol gagal dimanfaatkan oleh pemain USM. Namun bertahan sehingga malam pun nyata akan dibolosi juga akhirnya. Seminit sebelum separuh masa satu cut in yang cantik oleh penyerang USM sebelum membuat placing di top corner penjuru gawang UTM menghadiahkan pendahuluan 1-0 kepada USM.

Separuh masa kedua, UTM melancarkan attacking mode untuk mencari gol penyamaan. Hasilnya lima minit bersambung, Faridzuan dilututi dalam kotak penalti dan sepakan penalti dianugerahkan. Wan Norzaidi tenang menghantar penjaga gol ke arah yang salah untuk mengimbangi kedudukan 1-1. Perlawanan terus seimbang dengan kedua-dua pasukan menlancarkan serangan bertali arus. Pada minit ke 70, satu lambungan baik melalui sepakan sudut ditanduk kemas tanpa dicabar oleh penyerang yang sama yang menjaringkan gol pertama untuk membiarkan penjaga gol UTM, Mohd Afiq menggapai tanpa mencapai bola tersebut. 2-1 untuk USM dan keputusan tersebut kekal hingga wisel penamat.

Pengurus UTM, Nordin Rahim ketika diminta mengulas menyatakan keyakinan pasukan UTM akan bangkit pada perlawanan kedua.

“Kita bermain baik namun tewas kepas pasukan yang lebih baik. Saya yakin pasukan akan bangkit dan memperbaiki kelemahan yang ada pada hari ini”, ulasnya.

UTM akan berehat pada 30 Julai dan akan menyambung perlawanan kedua pada 31 Julai di padang yang sama jam 8.00 pagi menentang UM.

Kesebelasan Utama UTM

Depan (dari kiri) : Adam, Dzulhelmi, Faridzuan, Faris, Faezel

Belakang (dari kiri) : Afiq (PG), Wan Norzaidi, Ghazali, Wan Yusryzal, Nazwar, Thaqif

 

“Bermain dengan kaki, bermain dengan otak, bermain dengan hati” – BEPE20