Archive for the ‘Sukan’ Category

Makna SUKUM Buat Saya

Posted: 12/08/2017 in Sukan

Tahun ini merupakan tahun kelapan saya menyertai kontigen UTM untuk ke Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM). Bermula dari 2008 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)  sehingga 2015 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum berehat seketika pada 2016 (itupun kerana universiti tidak menyertai acara bolasepak) dan pada tahun 2017 sekali lagi berbaju UTM di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Tidak banyak kejayaan sepanjang menyertai SUKUM berbanding ketika zaman belajar di UiTM dahulu. Kalau dahulu di UiTM boleh dikira dengan jari berapa kali saya dan pasukan bolasepak UiTM gagal dan pulang tangan kosong. Tetapi di UTM lain ceritanya. Selama lebih lapan tahun, hanya satu pingat dari edisi 2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia, itupun gangsa.

 

Namun penyertaan SUKUM bukanlah bersifat kemenangan semata-mata. Untuk kemenangan, kita perlu ada material yang lengkap, sistem latihan yang sempurna serta motivasi yang tinggi dari pihak ketiga. Itu semua telah saya lalui semasa bersama skuad UiTM FC. Di UTM sebagai atlet SUKUM, ini semua terhad. Ia adalah berbentuk sukan massa bukanlah bersifat prestasi tinggi seperti zaman muda mudi dahulu. Ada teman bertanya, kenapa masih menyertai SUKUM walaupun sering pulang tangan kosong? Saya kongsikan kenapa?

 

  1. Networking

Sebenarnya SUKUM merupakan medium tepat untuk networking secara live bersama staf-staf dari UA lain. Bayangkan semua Juruteknik, Pengawal Keselamatan, Pembantu Tadbir, Penolong Pendaftar, Pensyarah mahupun Doktor yang merawat pemain bertemu sesama sendiri dan boleh berbincang su terkini bukan sahaja mengenai sukan tapi hal ehwal tugas dan kampus masing-masing. Jika dilihat secara positif, waktu makan bersama, acara perasmian merupakan detik tepat untuk melakukan networking singkat ini untuk kegunaan masa hadapan. Saya sendiri akan menemui rakan-rakan zaman belajar dahulu di SUKUM. Baru-baru ini, terjumpa pula rakan urus setia konvo dan sempat cerita mengenai hal kerja yang sangat light. Pada saya itu amat berkesan.

Bersama bekas rakan sepasukan di UiTM FC, Tom dan Ejam yang kini bertugas di UiTM

  1. Kebersamaan

Sejak menyertai SUKUM, saya bayangkan semua rakan-rakan pemain, pengurus, jurulatih mahupun kitman sebagai satu keluarga. Sama seperti di UiTM FC dulu. Sebab itu kita letakkan taraf dan jawatan di UTM sebelum ke SUKUM kerana sebaik sahaja melangkah kaki ke tangga bas, mereka adalah keluarga saya dan tiada bezanya saya dan mereka. Malah dari padang latihan lagi, kita terapkan tiada keistimewaan buat individu. Perjalanan bersama, makan bersama, menginap bersama dan pergi game bersama. Untuk lima hari berSUKUM, inilah keluarga dan kebersamaan yang diterapkan. Inilah masa untuk bertukar pandangan, mengenali rakan, berkongsi hobi agar lebih akrab sebelum masing-masing bertugas semula.

Sebuah keluarga sementara sebelum bertolak dan berkampung di UPSI

  1. Kenali Universiti

Pernah ke kita jelajah seluruh UA di Malaysia ni? Saya Alhamdulillah. Berkat bermain dengan UiTM FC dulu banyak UA telah saya jelajahi. UiTM sahaja ada 14 kampus (waktu itu) dan kebanyakkan telah saya lawati untuk bermain bolasepak di sana. Menyertai SUKUM juga begitu. Banyak UA telah saya lawati dan melihat sendiri lokasinya, Bandar yang berhampiran, kemudahan yang disediakan serta fasiliti padang dan fasiliti lain. Tidak ketinggalan juga bangunan-bangunan unik terutama bagi UA lama yang kelihatan menarik untuk diabadikan gambar kenangan. Of course, kalau pergi SUKUM mesti kena cari tempat-tempat menarik untuk liburan. Lagi-lagi sekarang semua atlet telah bergaji (dulu masa zaman belajar takde duit duduk kolej je tunggu bas nak balik) malah ditambah elaun pemain seharusnya tempat liburan dijadikan masa untuk menghilangkan stress dan penat setelah bermain di lapangan. Tidak ketinggalan juga tempat-tempat makan yang menarik di setiap negeri.

Berlatarbelakangkan salah sebuah bangunan utama di Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI

Jadi begitulah alasan saya kenapa SUKUM bermakna buat saya. Gaya hidup sihat sudah tentu ia perlu jadi amalan berterusan. Ada juga mengatakan pengubat stress dari tugas hakiki di pejabat, juga tidak dinafikan. Biar apa pun pendapat, sama-samalah kita menilai diri sejauh mana sumbangan kita kepada Universiti dan pencapaian kita kepada diri sendiri. Untuk saya, selagi diperlukan dalam pasukan bolasepak UTM, selagi itu saya akan cuba menabur bakti buat majikan saya ditambah dengan minat dan alasan yang dinyatakan.

Semoga pengurusan sukan UTM terus maju dan terus menjaga kebajikan atlet UTM agar lebih menyinar pada masa hadapan.

*Ketika artikel ini ditulis, saya bersama pasukan telah selamat ‘pulang awal’ bersama pasukan.

Bukan Kalah Cuma Tak Menang

Posted: 04/08/2017 in Sukan

‘Bukan Kalah Cuma Tak Menang’

Itulah yang mempu diungkapkan ketika melihat UTM hanya mampu seri 0-0 dengan UIA pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan acara bolasepak SUKUM 2017 di Padang B, Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Ogos 2017.

UTM melakukan satu pertukaran pemain di barisan pertahanan apabila Wan Norzaidi mengadu cedera di bukulali sewaktu sesi pemanasan badan, lantas menyaksikan Shafie masuk menggantikan beliau untuk berganding dengan Dzulhelmi di pertahanan tengah. Perlawanan bermula menarik dengan serangan dari UTM mengasak kubu lawan untuk mencari gol awal. Faezel dan Faridzuan licik bergerak bersama dan menghasilkan tiga peluang melalui sepakan percuma yang terkena palang dan dua lagi percubaan yang diselematkan oleh penjaga gol UIA. Tamat separuh masa pertama dengan kedudukan kekal 0-0.

Sesi regangan pada separuh masa akibat dari perlawanan yang rancak

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, UTM terus mengasak setelah mendapat tonik kata-kata semangat dari CDM UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman yang sempat hadir memberi sokongan. Sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalty diambil Faezel ditampan sekali lagi oleh penjaga gol UIA. Menyedari diasak teruk, UIA mengurangkan kenduran di barisan atas dan memasukkan pemain pertahanan. UTM masih tidak berputus asa terus melancarkan serangan dari segenap sudut. Namun dua percubaan dari Faridzuan masih gagal menggegarkan jaring UIA. Nyata penjaga gol mereka wajar dianugerahkan pemain terbaik. Hingga ke hujung permainan, UTM masih buntu dan akhirnya UIA gembira dengan keputusan 0-0 untuk melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.

Pengurus UTM, Mohd Noorazam memuji persembahan penuh disiplin pemain UTM dan menyatakan hanya nasib tidak menyebelahi pasukan UTM.

“Kita datang untuk menang dan bermain untuk menjaringkan gol. Semua pemain senior bermain baik malah tidak ditukarkan. Hanya pemain veteran sahaja yang keluar masuk. Semangat pemain untuk menang itu ada dan kita telah bermain untuk perancangan namun kubu UIA lebih kukuh”, ujar beliau.

Ditanya mengenai peluang pasukan UTM ke peringkat seterusnya, Noorazam menyatakan peluang tipis kerana pasukan USM tentunya akan menjadikan UM mangsa seterusnya sebelum ke peringkat suku akhir.

“Walaupun harapan tipis, kita masih menunggu keputusan USM-UM, mana tahu ada kejutan yang membolehkan kita layak ke suku akhir”.

Setelah perlawanan ketiga UTM hanya meraih empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. UIA pula meraih lima mata dan sah ke suku akhir.

Kesebelasan utama UTM menentang UIA

Depan (dari kiri) : Adam, Faezel, Dzulhelmi, Nazwar, Faris, Faridzuan

Belakang (dari kiri) : Afiq (PG), Shafie, Ghazali, Wan Yusryzal, Thaqif

 

Mistakes are to be corrected. Its make you a better person and more matured – DMR

Kerja Mudah Buat Jadi Susah

Posted: 02/08/2017 in Sukan

Perlawanan kedua berlangsung pada 31 Julai menyaksikan UTM berjaya menewaskan UM 4-3 di Padang A, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI. UTM mengekalkan kesebelasan yang sama dengan misi wajib menang ke atas UM sementara UM yang tewas perlawanan pertama menentang UIA juga mengharapkan kemenangan bagi menghidupkan peluang mereka mencongak ke suku akhir. Namun begitu Faezel Hamid meletakkan UTM di hadapan hanya selepas lapan minit perlawanan berlangsung melalui gerakan solo dari sebelah kanan. Selepas itu perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Lima minit sebelum separuh masa pertama tamat, pertahanan UM dilayangkan kad merah atas profesional foul terhadap Faezel namun sepakan percuma itu hanya menyinggah palang.

Separuh masa kedua UTM garang menyumbat dua lagi gol sekali lagi melalui Faezel melalui gerakan cepat Wan Yusryzal dan hantaran lintang Wan Norzaidi yang ditanduk masuk Faridzuan dalam masa 20 minit. Selepas water break malapetaka tiba-tiba datang. Dengan tidak semena-mena UM mencuri satu gol hasil dari perangkap ofsaid yang tidak dikesan pengadil. Lima minit selepas itu, tangkapan penjaga gol Mohd Afiq, lucut dari genggaman lantas ditanduk mudah oleh pemain veteran iras-iras Soh Chin Aun yang berusia awal 50an. Gol tersebut menyentap terus semangat UM hasilnya gol penyamaan terhasil melalui sepakan cantik kapten pasukan UM menjadikan kedudukan 3-3 pada tiga minit terakhir.

Pemain UM melancarkan serangan bertali arus selepas water break.

Satu UTM Sanjungan Bangsa

Awan yang berarak gelap tidak bermakna akan menurunkan hujan yang lebat. UTM tidak berputus asa menghukum UM yang ligat menyerang. Satu hantaran lintang oleh Wan Norzaidi dicabar oleh Faridzuan bersama penjaga gol UM. Kerana tersilap jangkaan, Faridzuan menanduk mudah masuk ke dalam gol ternganga pada minit terakhir permainan. Bagai telah tertulis kemenangan milik UTM, pengadil terus meniup wisel kemenangan seminit selepas gol tersebut.

Kapten pasukan, Faezel Hamid mengucap syukur dengan kemenangan namun terkejut dengan perubahan corak permaianan setelah mendahului 3-0.

Kita bermain sambil lewa dan tidak menghormati lawan sedangkan perlawanan belum berakhir. Semoga perlawanan ini dapat menjadi pengajaran untuk kita lebih berwaspada pada perlawanan yang seterusnya“, ujarnya dengan nada lesu selepas dikeluarkan akibat kecederaan.

Dengan kemenangan ini, bermakna UTM harus menang dalam perlawawan terakhir menentang UIA untuk layak ke suku akhir. UIA dan UM seri 1-1 pada perlawanan yang diadakan pada masa yang sama di padang bersebelahan.

Kesebelasan Utama UTM

Depan (dari kiri) : Thaqif, Adam, Dzulhelmi, Faezel, Faris, Faridzuan

Belekang (dari kiri) : Afiq, Wan Norzaidi, Wan Yusryzal, Nazwar, Ghazali

Kekalahan adalah proses kepada kemenangan dan pengalaman kepada kematangan – DMR

Permulaan Suram

Posted: 31/07/2017 in Sukan

UTM bermula suram pada Sukan Staf Universiti Awam Malaysia ke-42 (SUKUM 2017) yang berlangsung di Padang A, Kampus Sultan Abdul Jalil di UPSI pada 29 Julai 2017. UTM turun pada perlawanan pertama menentang pasukan pilihan USM tewas 1-2 pada perlawanan tersebut. Dengan peraturan pertandingan mewajibkan tiga pemain veteran berada di dalam padang, UTM nampak sedikit tenggelam dengan formasi 4-1-4-1 tambahan pula mereka kehilangan pemain tengah berkaliber, Zaini Kamar yang tidak dapat bersama pasukan.

UTM bermula baik mengimbangi perlawanan dengan serangan melalui sayap namun seringkali terbatas dengan umpan-umpan pendek pemain USM yang nyata menjadi. Lebih enam peluang dihadapan gol gagal dimanfaatkan oleh pemain USM. Namun bertahan sehingga malam pun nyata akan dibolosi juga akhirnya. Seminit sebelum separuh masa satu cut in yang cantik oleh penyerang USM sebelum membuat placing di top corner penjuru gawang UTM menghadiahkan pendahuluan 1-0 kepada USM.

Separuh masa kedua, UTM melancarkan attacking mode untuk mencari gol penyamaan. Hasilnya lima minit bersambung, Faridzuan dilututi dalam kotak penalti dan sepakan penalti dianugerahkan. Wan Norzaidi tenang menghantar penjaga gol ke arah yang salah untuk mengimbangi kedudukan 1-1. Perlawanan terus seimbang dengan kedua-dua pasukan menlancarkan serangan bertali arus. Pada minit ke 70, satu lambungan baik melalui sepakan sudut ditanduk kemas tanpa dicabar oleh penyerang yang sama yang menjaringkan gol pertama untuk membiarkan penjaga gol UTM, Mohd Afiq menggapai tanpa mencapai bola tersebut. 2-1 untuk USM dan keputusan tersebut kekal hingga wisel penamat.

Pengurus UTM, Nordin Rahim ketika diminta mengulas menyatakan keyakinan pasukan UTM akan bangkit pada perlawanan kedua.

“Kita bermain baik namun tewas kepas pasukan yang lebih baik. Saya yakin pasukan akan bangkit dan memperbaiki kelemahan yang ada pada hari ini”, ulasnya.

UTM akan berehat pada 30 Julai dan akan menyambung perlawanan kedua pada 31 Julai di padang yang sama jam 8.00 pagi menentang UM.

Kesebelasan Utama UTM

Depan (dari kiri) : Adam, Dzulhelmi, Faridzuan, Faris, Faezel

Belakang (dari kiri) : Afiq (PG), Wan Norzaidi, Ghazali, Wan Yusryzal, Nazwar, Thaqif

 

“Bermain dengan kaki, bermain dengan otak, bermain dengan hati” – BEPE20

Biar TMJ Buat Kerja

Posted: 13/04/2017 in Sukan

Dua minggu ni penuh cerita pasal Presiden baru FAM DYAM TMJ yang telah mengambil alih tampuk pemerintahan FAM sejak 20 tahun yang lalu. Abang hanya perati dan sedikit sebanyak cuba hadam dengan pendapat pencinta bolasepak dan rakyat marhein. Benar, ada pujian ada kritikan. Tak semua yang kita buat di dunia ini diakui betul dan tak semua yang kita buat untuk pastikan orang suka kita. Apapun abang ucapkan tahniah kepada TMj kerana itu sememangnya jawatan yang diinginkan demi kerana kecintaan kepada sukan bolasepak. Teringat kata-kata Datuk Richard Scully ketika forum bolasepak FAM hujung tahun lalu di Kuala Lumpur. Kata beliau, “Football doesn’t need you. You need football. That’s why you are here”.

Ok berbalik kepada pemilihan TMJ, abang akui sama ada TMJ atau TS Annuar Musa yang pada satu ketika menjadi calon untuk bertanding, abang dah cukup suka. Pasal apa, pasal dulu kita pernah rebel siap ada hastag #PFSLJ (Presiden FAM Sila Letak Jawatan). Pasal apa? Pasal dah haus sangat FAM ni. Haus dengan pembangunan yang tak maju-maju selama memerintah lebih 20 tahun. Teringat kata-kata Datuk Peter Velappan ketika ditanya apakah harapan tentang pemerintahan FAM, beliau menjawab, :Berilah peluang kepada muka baru jikalau kita tak boleh deliver. Untuk muka baharu pula, beri mereka tiga tahun untuk buktikan sesuatu kerana kita sudah biasa tanpa apa-apa selama 20 tahun.”

TMJ berucap pada sidang pertama selepas Kongres FAM ke-53 dengan barisan kepimpinan baharu.

Kredit Gambar : Berita Harian

Jadi, pemilihan TMJ sebagai Presiden FAM sebenarnya telah menghidupkan kembali harapan selepas 20 tahun suram. Ye harapan dan setidak-tidaknya membawa sedikit perubahan selepas melihat TMJ membawa perubahan terhadap JDT. Perlu diingat JDT dahulunya juga suram selepas zaman Ervin Boban sekitar tahun 1991. Tanam dalam mindset apa yang kita minta dulu; perubahan pucuk pimpinan FAM. Melihat kepada pimpinan baharu ini, abang tak minta banyak untuk tiga tahun pertama ini. Berikut adalah harapan peribadi abang :

  1. Swastakan Liga Super Malaysia

Untuk melahirkan pasukan kebangsaan yang berjaya, pool pemain perlulah lahir dari penganjuran liga yang mantap. Abang teringin melihat pasukan bolasepak club based ataupun berasaskan kelab bukan lagi di bawah Persatuan Negeri seperti sekarang yang mengharapkan dana daripada kerajaan negeri. Liga Malaysia harus diswastakan dan bercirikan income based oriented di mana FA perlu berubah kepada kelab yang mempunyai pemilik, gelanggang atau stadium sendiri dan padang latihan sendiri. Kelab juga bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan masing-masing dari segi penjualan tiket, hak penyiaran televisyen, penjualan pemain, kedai cenderamata dan lain-lain. Nak ikut contoh, tak perlu ke Bundesliga, La Liga atau BPL, cukup sekadar di negara jiran Thailand sebagai rujukan. Muangthong United, Buriram United dan BEC Tero Sassana antara kelab yang berjaya dan melahirkan pemain kebangsaan Thailand yang bertaraf dunia. Kalau tak takkan Siam boleh layak ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018.

2. Layak ke Piala AFF Suzuki 2018 dan 2020

Harus bagi TMJ untuk memastikan pasukan negara layak ke final bagi Piala AFF ini. Tidak dapat tidak Piala AFF adalah KPI utama setiap kali dipertandingkan. Sebelum bercerita mengenai Piala Asia atau Piala Dunia, AFF dianggap cabaran pertama TMJ untuk membuktikan memang benar bolasepak Malaysia akan dan telah berubah.

3. Membudayakan Bolasepak

Bolasepak harus dijadikan budaya di Malaysia. Dari peringkat akar umbi, peringkat sekolah sehingga ke peringkat nasional. Sehubungan itu, bolasepak harus menjadi agenda utama dibincangkan di peringkat Dewan Rakyat kalau mahu melihat Malaysia ke Piala Dunia. Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah salah satu wadah untuk KPI TMJ sebagai Presiden sekarang biarpun tidak ada jaminan TMJ akan kekal sehingga 2050. Silibus bolasepak harus ada dalam setiap subjek Pendidikan Jasmani di peringkat sekolah agar setiap murid didedahkan dengan asa bolasepak.

Kedudukan terkini Malaysia di ranking FIFA.

Kredit Gambar : Facebook FAM

4. Menduduki Ranking 150 (FIFA) dan 25 (AFC) Pada Akhir 2018

Ya, ranking memainkan peranan bagi menentukan prestasi semasa sesuatu pasukan. Ia juga dilihat sebagai satu penanda aras. Kita pernah berada di tangga 100 pasukan terbaik dunia sekitar tahun 90an tetapi merundum dan sehingga artikel Malaysia menduduki tangga ke-157 daripada 211 negara. Manakala di peringkat Asian Football Confederation (AFC), Malaysia menduduki tangga ke-29 daripada 46 negara. Sesuatu harus dilakukan bagi menaikkan ranking ini. Memenangi piala dan perlawanan persahabatan Kelas A akan membantu menaikkan ranking ini. Kenapa ranking penting? Kerana pasukan lawan kelas A hanya akan bermain dengan pasukan yang mempunyai ranking yang baik. Jadi, TMJ ada sekitar 18 bulan untuk memperbaiki ranking sekadar 150 (FIFA) dan 25 (AFC) yang dilihat realistik.

5. Meneruskan NFDP

National Football Development Plan (NFDP) atau Program Pembangunan Bolasepak yang diasaskan sekitar 2015 wajar diteruskan. Program yang diketuai oleh bekas jurulatih remaja Bayern Munich iaitu, Lim Teong Kim ini dilihat sebagai kilang pemain muda dan pelapis negara. Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan harus memantau secara terperinci agar program NFDP ini selari dengan keperluan FAM untuk menyediakan pemain di bawah 16, 19 dan 21 tahun untuk beraksi dalam Sukan SEA seterusnya bersedia menggalas tugas sebagai pemain senior di peringkat antarabangsa sebaik sahaja melepasi usia 24 tahun.

Itulah sahaja lima harapan abang terhadap kepimpinan baharu FAM. Walaupun sehingga artikel ini siap ditulis ada cerita mengenai empat sahabat buat u-turn, Mario Gomez minta gaji tinggi untuk jawtaan jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee diturun pangkat, Frank Bernandt dipecat serta merta bagi memberi ruang kepada DOKS memimpin skuad Sukan SEA, Tan Cheng Hoe di dalam dilema selepas ditawar jawatan Penolong Jurulatih skuad kebangsaan, pengenalan sistem VAR tapi abang anggap itu hanya perasa kepada sejenis menu yang bakal dihidangkan. Yang penting abang makan sedap dan puas hati.

Buat TMJ dan kepimpinan FAM yang telah dilantik, selamat bekerja. Ingat janji bolasepak untuk rakyat.

Buat rakyat, berikan sedikit ruang dan peluang untuk mereka buktikan dan nantikan episod baru.

“Leadership is not a position or title, it is action and example. Follow the right one and left the bad one” – DMR

 

Run Run Runaway

Posted: 05/03/2017 in Sukan

Semalam abang sempat join satu running event, satu event yang menjadikan kegilaan dan sangat bermanfaat. Kenapa abang kata event ni sangat bermanfaat sebab pertama ia membudayakan gaya hidup sihat di kalangan semua peringkat umur dan yang kedua ia mengajar kita tentang hidup. Ok ini merupakan event running yang kedua untuk abang bagi tahun 2017 ni. Abang target untuk hit enam running event sepanjang 2017 ni. Selain ia menyihatkan, ia juga menyeronokkan bila tengok semua lapisan umur turut sama berlari. Tidak kiralah laju ke perlahan ke jalan ke speed ke tapi abang rasa semua yang join event larian macam ni should received a big applause to yourself la kan.

Untuk abang malam tadi abang masuk kategori 8km je. Abang saja nak test sejauh mana abang punya ketahanan diri dan Alhamdulillah abang berjaya menamatkan larian dengan catatan masa 57 minit. Ntah abang pun tak tau timing tu ok ke tak? Tapi target abang hanyalah untuk hit bawah sejam so lepas ni boleh target lagi untuk jarak yang sama di bawah 55 minit. Apa saja kau buat kalau takde target hanyalah sia-sia, jadi abang letak target bukan untuk menang just untuk puaskan diri sendiri. Route malam tadi agak mencabar sebab baru lepas hujan jadi jalan licin dan kena ada extra grip untuk kasut so secara sains sukannya agak penat sikit berbanding surface yang kering. Plus laluan di sekitar UTM ni berbukit so ada la satu dua uphill yang abang kena daki.

Ok kenapa abang mula minat running ni? Abang kan pemain bola. Yelah umur-umur macam abang ni da takde training yang betul-betul focus. Nak training bola pun time game jek. So untuk memastikan keadaan fitness terjaga di samping nak maintain healthy lifestyle, abang join jela running ni. Memula tu abang try lari sorang-sorang petang-petang tapi bila join running event ni macam best pulak. Bayangkan kau berlari di tengah jalan tanpa perlu tengok kerete dan kalau bernasib baik kau akan dieskort oleh marsyal event. Lepas tu kereta semua berhenti bagi kau orang laluan walaupun kau jalan kaki je sebenarnya. Best sebab dapat lari ramai-ramai, bila lari ramai-ramai ni akan ada group yang akan buatkan korang rasa nak bersaing dgn mereka atau seiring seolah-olah ada magnet untuk menarik kau berlari dan melupakan kepenatan. Kan abang dah bermadah. Tapi serius, bila kau rekod timing kau lari bersendirian dengan masuk event running mesti timing kau orang akan sedikit cepat. Ok selain tu, abang suka kumpul baju dengan medal running ni. Semua cantik-cantik dan berbaloi dengan harga yuran yg kau orang bayar. Satu lagi kau akan merasa menikmati alam dan kawasan sekeliling yang selama ni kau tengok dari tingkap kereta jek. Take time la sikit untuk menghargai alam sekeliling kau yang dah kau sembur dengan asap kereta tu kan.

Ok kenapa abang kaitkan event running ni dengan life? Sebab dalam event ni kau akan jumpa semua peringkat umur. Budak sekolah, remaja, remaja purba (macam abang), orang tua, parents yg tolak stroller dan macam-macam lagi. Apa ke gila diorang ni pergi lari malam-malam atau pepagi buta? Dekat situ kau boleh tengok walau sekaya dan sebanyak mana harta, yang paling bernilai ialah kesihatan. Ada je yang tak berlari langsung just jalan kaki je tapi dia enjoy walaupun dapat habiskan event dalam masa berjam-jam. Masa lari kau akan terfikir macamana orang yang paling depan tu lari camtu punya laju sedangkan dia sama ada dua kaki dan satu jantung sama dengan kita. Dan yang paling abang respect sekali takde sorang pun yang main cheat atau lalu shortcut ke sebab dah tau yang awal ke yang lambat ke tetap dapat medal yang sama. Mereka ikut semua route dengan tenang sampai ke garisan penamat. Takde pulak abang tengok ada yang cheat naik motor ke atau beratur dua kali amik medal ke, semuanya tersusun dan berakhir gembira. Kalaulah hidup kita ini teratur sepertimana yang dipraktikkan dalam event running tu kan cantik ye tak?

Ok abang lupa nak bagitau running apa yang abang join ni. Namanya Chadrity Run 2017, satu event yang dibuat untuk mengumpul dana bagi tujuan kebajikan kepada negara Republik Chad. Korang tau Republik Chech je kan sebab dia masuk World Cup? Nah korang google sendiri Republik Chad tu kat mana. Tapi abang respect kat student-student Fakulti ni yang berjaya buat event ni. Bukan kecik-kecik event dik, sorang RM35.00 kalau kali 1,400 (ikut turnout malam tu yg diceritakan) nak dekat 50,000 dik oiiiii. Lepas tu dengan sponsor yang datang lagi. Camane agaknya dia bahagikan masa pergi kelas dengan handle event camni. Agak-agak staf mampu tak nak buat sebab staf punya link lagi baik kot. Apapun abang doakan korang organize lagi event camni dan abang akan support korang.

Ok badan pun dan memboyak kan perut pun makin ke depan. So apalagi, amik kasut jom ikut abang running. Nah bukti kot-kot korang tak percaya abang ni borak je kan.

img_6960

“Bila berlari jangan tengok orang di depan tapi tengok berapa ramai kau dah tinggalkan di belakang, baru kau tak menyesal kenapa kau bermula” – DMR

EURO 2016 telah kick off pada dinihari pagi Sabtu yang lalu dengan perlawanan pembukaan antara tuan rumah France menentang Romania. Ramailah kaki2 bola akan berjaga malam selama sebulan bagi menonton perlawanan berklasifikasi tinggi peringat dunia yang membabitkan 24 pasukan dari benua Eropah. elok juga bangun di awal pagi boleh sekalikan dengan solat tahajjud dan Qiamulail sekali disamping sahur lepas game. Cuma, ada yang jadi zombie la kat office.

Pastinya ramai yang menanti kelibat Cristiano Ronaldo, Antoine Griezmann, Jamie Vardy, Thiago Alcantara, Thomas Muller, Zlatan Ibrahimovic dan ramai lagi. Mereka ini adalah tunggak pasukan kelab dalam liga utama eropah yang mendapat perhatian ramai peminat di seluruh dunia. Mereka sangat gemilang di peringkat kelab. Lihat saja Griezmann yang tajam di depan gol membantu Athletico Madrid hingga ke peringkat akhir Piala Liga Eropah sebelum tewas kepada Real Madrid, Zlatan pula walaupun usia mencecah 35 masih menjadi mesin gol kepada Paris St Germain dan Jamie Vardy seorang pemain semi-pro melonjak sebagai penjaring terbanyak Leicester City sekaligus menjuarai EPL musim ini.

Sukar menyaksikan mereka yang disebutkan di atas mempamerkan aksi seperti yang diharapkan pada pertandingan besar seperti ini. Penyerang Brazil, Ronaldo pernah diharap akan memberi tentangan sengit pada perlawanan akhir Piala Dunia 1998 menentang France tetapi seakan dihantui penyakit misteri dan tidak dapat beraksi seperti biasa menyaksikan Brazil tunduk mudah 0-3. Seorang lagi Ronaldo iaitu Cristiano telah beberapa kali memenangi Ballon D’Or dan anugerah pemain terbaik FIFA dan berjaya memenangi semua piala di peringkat kelab bersama Manchester United dan Real Madrid tetapi belum satupun pingat kejuaraan dari EURO atau Piala Dunia dikecapi beliau. Adakah beliau tidak bagus ketika bersama pasukan kebangsaan?

Cakap-cakap kedai kopi mula berkumandang apabila France memerlukan kemenangan lewat permainan manakala pagi tadi England sekadar seri dan juga melepaskan gol pada minit akhir. Adakah pemain itu hanya bermain di peringkat kelab ataupun sukar menyinar ketika menyarung jersi negara. Beberapa faktor dilihat sebagai ‘alasan’ pemain tersebut bagus di Kelab tapi tidak di pasukan kebangsaan.

  1. Mereka hanya berkumpul dua tiga minggu sebelum pertandingan

Mengharungi sebahagian besar tempoh masa bersama pasukan kelab yang menjadi majikan mereka membuatkan mereka hanya berkumpul untuk tugasan antarabangsa dua atau tiga minggu sebelum pertandingan bermula. Pemain dari Real Madrid dan Athletico Madrid pula terpaksa menunggu minggu terakhir Mei sebelum bersama pasukan negara akibat perlawanan akhir UCL. Jadi waktu yang singkat bersama rakan sepasukan tidak akan membuatkan persefahaman pasukan terjalin sekelip mata. Pemain datang dari pelbagai kelab. Hendak mengetahui corak hantaran yang digemari juga makan berminggu. Walaupun mereka pemain profesional, ini tetap menjadi faktor utama. Jadi, kembalikan fantasi ke pasukan kebangsaan Malaysia, adakah cukup latihan tiga hari sebelum diterbangkan ke luar negara?

2. Kondisi pasukan itu sendiri – pusat latihan, bilik persalinan

Kebanyakan pemain selesa dengan kondisi kelab dan pasukan itu sendiri kerana telah lama bersama. Dengan padang latihan yang sistematik dan selesa serta kondisi di bilik persalinan yang menghidupkan semangat untuk bermain. Tidak hairanlah apabila pasukan pelawat bertandang ke mana-mana stadium pun, mereka akan disajikan ketidakselesaan bagi mempengaruhi permainan mereka. Kondisi ini bukanlah bersifat kekal tetapi pemain yang bagus akan cepat menyahkan kondisi tidak selesa ini sebelum turun ke padang.

3. Gandingan rakan sepasukan

Paul Pogba telah melakukan lebih 20 assist kepada barisan serangan Juventus, Zlatan dan Vardy telah mencetak lebih 20 gol semusim manakala Manuel Neuer jarang dibolosi lebih dua gol dalam sesuatu permainan Bundesliga. Ini kerana mereka mempunyai kimia dengan pemain sekeliling. Mereka tahu hantaran bagaimana yang diperlukan, posisi ideal untuk menghidupkan peluang dan menyelamatkan gawang. Rakan sepasukan walaupun tidak sebagus bintang tapi ia cukup melengkapi, biarpun hanya ditugaskan untuk memenangi bola di udara dan memberikan bola tersebut kepada arkitek pasukan. Bayangkan jika bola tersebut tidak dimenangi, mampukah arkitek tadi merencana gerakan?

4. Taktikal pasukan dan kehendak jurulatih

Role atau task seseorang pemain itu tidak sama dalam satu-satu pasukan malah dalam satu-satu permainan juga role kerap diubah. Ronaldo umpamanya seringa bertukar role dari penyerang utama ke sayap kiri dan kanan dan kadangkala pemain tengah menyerang. Ini bergantung kepada pasukan lawan yang ingin ditemui dan kebarangkalian lawan juga telah membuat homework untuk mengekang serangan lawan. Jadi, pertukaran posisi akan menyulitkan pasukan lawan. Namun ia perlu masa untuk persefahaman serta gandingan seperti yang disebutkan di atas. Sebagai pemain profesional, mereka akan berusaha untuk berubah dan tidak memerlukan masa yang panjang memandangkan ada tiga perlawanan sahaja di peringkat kumpulan.

5. Ia baru perlawanan pertama

Perlu diingat Griezmann dan Pogba dari France dan Rooney serta Kane dari England baru mengharungi perlawanan pertama mereka yang penuh getir. Ya, setiap perlawanan pertama selalunya mendebarkan dan berintensiti tinggi. Perlawanan pertama akan menentukan hala tuju pasukan selepas itu. Ia juga akan medan membina motivasi pemain untuk terus berada lama dalam pertandingan. Justeru, beri mereka perlawanan kedua untuk terus menyinar dengan keadaan cuaca, penyokong dan stadium yang akan mematangkan mereka.

6. Sikap

Tidak dinafikan, segala kemewahan yang dinikmati di peringkat kelab yang tidak dapat dijelmakan di peringkat kebangsaan dan ada pemain yang berasa mereka tidak mahu bersungguh-sungguh dalam mengejar impian pasukan kebangsaan. Ada juga yang dingin dengan rakan sepasukan sehingga bertekak di padang latihan disebabkan dendam kesumat semasa di peringkat kelab. Karim Benzema digugurkan dari pasukan France atas tindakannya mengugut Blaise Matuidi dan tentunya tindakan tersebut merugikan pasukan dan peluang Benzema untuk menyinar di EURO 2016. Menyinar di EURO 2016 bererti harga pasaran pemain akan melonjak di perpindahan pemain untuk musim baharu liga yang bermula Ogos 2016.

7. Tekanan Media dan Penyokong

Penyokong seharusnya mengharapkan sesuatu yang positif dari pasukan yang terdiri dari pasukan bintang. Spain terutamanya sebagai juara bertahan menghadapi tekanan paling banyak untuk perlawanan pertama mereka. Mereka tewas 0-1 dalam perlawanan ujian terakhir dan tentunya tempoh untuk settle down dan bermain ikut rentak mereka menjadi priority apabila melangkah menentang Republik Chech. Penyokong England yang dikhabarkan berawaydays dengan kenderaan dari kota London ke Paris dan sekitarnya tentunya mengharapkan kemenangan setelah sekian lama pupus dari memenangi apa-apa kejuaran sejak 1966. Tekanan dari media sosial melalui Facebook, Twitter yang berperang di seluruh dunia dan turut dibaca oleh pemain akan menimbulkan sedikit tekanan dan mengganggu corak permainan.

2373969_S2 2373946_S2 2373967_S2

Tiga kombinasi gambar Griezmann yang mencuba sedaya upaya menjaringkan gol. Sebagai penyerang, tiada gol bermakna seperti mempunyai iPhone tetapi tiada data internet.

Selamat berjaga malam dan menyokong pasukan kegemaran anda. Jangan lupa solat terawih 🙂

Misi 33 Pelengkap 2015

Posted: 31/12/2015 in Sukan

Selalunya apa yang berlaku sekitar November dan Disember setiap tahun dilihat sebagai pelengkap pada tahun tersebut. Kita lupa apa yang terjadi pada awal dan pertengahan tahun yang memberi impak dan kemanisan yang lebih beerti. Namun, tiada yang lebih beerti pada tahun 2015 apabila melihat Selangor menjulang Piala Malaysia kali ke-33 pada usia aku yang juga menginjak 33 pada tahun ini. Lebih 10 tahun menanti ternyata tiada apa lagi dapat ditafsir dengan kejuaraan ini. Apatah lagi dengan harapan yang langsung tiada, barisan pemain yang tidaklah bertaraf bintang malah dibayangi pasukan handal terutama dari selatan tanah air, Merah Kuning dilihat kempunan lagi misi 33.

Bermula hambar pada peringkat kumpulan sehingga tertulisnya artikel 10 Tahun dan Terus Menanti pada 2 Oktober 2015 seolah-olah tidak percaya Selangor mampu melangkah ke suku akhir. Selepas seri dengan Pahang di Stadim Darul Makmur pada separuh akhir pertama, harapan itu seakan menyala. Stadium Shah Alam mula dibanjiri seakan tahun 1995, 96 dan 97 ketika Selangor menjuarai Piala Malaysia secara hatrik. 2-0 menjadi saksi Pahang tumbang dek jaringan De Paula dan Nazmi Faiz Mansor.

Tanggal 12 Disember tarikh keramat dinanti. Final idaman bukan bertemu JDT tapi Kedah negeri jelapang padi. Dapat dibayangkan suasana stadium merah kuning dan hijau kuning, sungguh meriah sekali. Kali terakhir Selangor bertemu Kedah dalam final ialah pada 2008, ketika itu Selangor seakan budak-budak, dimalukan Kedah 3-1 seterusnya menjuarai Piala Malaysia dan kejuaraan treble untuk tahun kedua berturut-turut. Tapi 2015, pertemuan dengan Kedah, juara Liga Perdana dilihat terbuka. Ini kerana Kedah berjaya menundukkan Felda United, pasukan yang menjinakkan JDT di suku akhir. Jadi Hijau Kuning tidak boleh dipandang enteng. Wira Selangor 2005, Bambang Pamungkas turut mengirimkan salam semoga berjaya melalui twitternya membuktikan betapa dahaganya Selangor selepas hatrik BEPE pada 1 Oktober 2005 yang lalu menghadiahkan PM ke-32 buat Selangor.

Sepanjang perjalanan dari Johor Bahru, bendera merah kuning berkibaran. Ada dalam enam tujuh kereta dari selatan sengaja mengusik emosi bangsa JDT dengan kibaran nakal itu. Tetapi sebenarnya telah 10 tahun menanti. Ketika tiba di Bangi, Kajang dan Shah Alam, suasana semakin happening walaupun jam baru menunjukkan pukul 1.00 tengahari. Tak mahu kesesakkan jalanraya menjadi penghalang, jam 2.00 petang aku telah tiba di perkarangan stadium bersama sebahagian penyokong Kedah yang baru tiba. Tiada provokasi atau caci maki, malah bolasepak itu telah menyatukan yang jauh dan dekat.

Warga Selangorfc.com telah mula berkumpul seawal jam 3.00 petang. Hujan lebat mencurah di bumi Shah Alam ketika itu. Hari ini juga merupakan gathering paling ramai warga SFC yang mula bertapak seawal 2003. Inilah keluarga bolasepak merahkuningku, teman ke stadium dan aktiviti sosial dan final ini telah membawa pengumpulan ahli yang paling ramai tahun 2015 ini. Bergerak masuk ke stadium keramat jam 4.30 petang dan masuk dan duduk mengambil tempat jam 5.00 petang, empat jam sebelum sepak mula…hambekkkkk kooooo.

IMG_4857

Pukul 5.00 dah masuk stadium nak jadi apa???

IMG_4865

Keadaan Stadium Shah Alam dua jam sebelum sepak mula

Penantian empat jam tidak terlalu menyeksakan. Lawan sorak, melayan ombak, chanting bersama SSFC dan melayan borak dengan warga SFC yang lain mengisi masa tersebut. Stadium semakin padat pada jam 7.00 malam dan hijau kuning mula menguasai stadium padahal main kat Shah Alam ni. Inilah hakikat terpaksa ditelan, mana-mana pasukan yang menentang Selangor di final pasti ada kelebihan kerana ada fan based di lembah klang. Tapi yang penting jangan buat onar dan suasana final tetap meriah.

IMG_4879

Merah Kuning dan Hijau Kuning bermandi cahaya sebelum sepak mula

12342717_10207085910057661_8480881462509672752_n

Abam Bocey penat naik tangga dengan layan selfie peminat. Mirip arwah Kelanang

Tepat jam 9.00 perlawanan bermula. Lagu negeri Selangor paling kuat pernah dinyanyikan dua minit sebelum itu. 40,000 penyokong bergabung menggamatkan stadium. Tidak menunggu lama selepas sepak mula, hanya tiga minit diperlukan Selangor untuk membuat penyokong naik hantu. Hazwan Bakri yang entah dari mana datang sebelum ni korang pun tak kenal tiba-tiba menyungkit bola melepasi budak mentah Kedah untuk Selangor mendahului 1-0. Selepas itu game menjadi hambar kerana Selangor lebih kepada closedown game ketika defending dan jarang mendapat peluang untuk menyerang.

IMG_4940

Hazwan menyungkit masuk ketika perlawanan baru berusi tiga minit

Bermula separuh masa kedua, skrip yang sama hampir berulang. Tiga minit sahaja dan Hazwan Bakri sekali lagi dengan first time shot terus ke penjuru. Sekali lagi penyokong Selangor gamat dengan sorakan. Kali terakhir rasanya menikmati saat ini ketika Selangor menjuarai Piala FA pada 2009 dan kalau nak dekat pun ketika Selangor hampir menang dengan JDT awal tahun 2015. Tapi kali ini memang berbeza, semua mengharapkan wisel penamat cepat ditiup. Selangor mengendurkan asakan memantapkan pertahanan dan hanya sekali sekala menyerang. Kalau S.Veenod, De Paula dan Andik lebih cermat, dua jaringan lagi boleh dihasilkan hasil serangan balas. Kedah pula bermain 10 orang ketika budak mentah Kedah iaitu penjaga gol mereka begitu excited membuat tepisan di luar kotak penalti. Nyata pengalaman memisahkan barisan Selangor dan Kedah malam itu.

IMG_4944

Hazwan merembat leret ke penjuru kiri untuk gol kedua

Tepat jam 11.03 pengadil menuipkan wisel keramat itu dan kegembiraan jelas terpancar. 10 tahun menanti detik sebegini. Saat penyokong Kedah keluar meninggalka tempat duduk, Peminat berseragam merah kuning masih setia menanti majlis penyampaian hadiah dan julangan Piala Malaysia oleh kapten Shahrom Kalam dan MB Selangor Azmin Ali. Nyata walau main tak berapa cantik tapi determination dan semangat juang tinggi mengangkat Selangor sebagai juara tahun ini. Kejuaraan ini juga mengenang sahabat SFC kami Allahyarham Suzaizul Kamal @ Kelanang yang dahulu setia menonton bersama-sama. Kedatangan Abam Bocey yang kebetulan duduk di depan aku dilihat persis arwah Kelanang dengan badan besarnya.

IMG_4950

Barisan gemilang Selangor dengan piala keramat untuk kali ke-33. Berapa banyak bintang nak letak kat jersi tahun depan?

IMG_4895

Round of honour terganggu dek sekumpulan peminat ini. Barangkali baru sokong Selangor agaknya.

Pesta terus bermula dengan paluan gendang dan nyanyian sehingga 11.30 dan kami beransur-ansur pulang namun belum pulang ke destinasi masing-masing tapi ke port tempat kami berkumpul sebelum masuk ke stadium tadi. Lepak-lepak minum-minum beramai-ramai selepas mengecapi kemenangan memang telah lama tidak berlaku dalam keluarga SFC. Malam itu seakan berlarutan tapi kekal muda macam pukul 8.00 padahal dah pukul 2.00 pagi. Ditambah pula dengan kesesakan bas-bas Kedah yang masih belum dapat keluar, akhirnya jam 2.30 baru masing-masing bergerak balik. Aku jua menempuh perjalanan yang jauh ke selatan dengan tenang walaupun mengantuk tahap gaban. Tapi moment sebelum pulang memang win bila sebahagian penyokong Kedah membuat barisan panjang di tepi bas sambil bertepuk tangan dan mengucapkan tahniah kepada sebahagian ahli kumpulan yang melepasi mereka. Dibalas dengan salaman pelukan memujuk untuk cuba lagi pada tahun hadapan.

IMG_4928

Susah senang kalah menang kami tetap bersama. Keluarga besar SelangorFC.com

Itulah bolasepak kita yang penuh warna-warni. Jangan kerana sebahagian yang mendakwa mereka ‘die hard fan’ sampai sanggup berasap-asap, budaya murni ini terus dilupakan.

Sebelum berpisah, abang belanja video champion ni sebab nak tunggu next Piala Malaysia makan 10 tahun lagi kot. Biarlah team lain menang pulak bagi dekat sikit dengan 33 tu.

Akhir kata Merah Kuning, Merah Kuning Itu Selangor Itu Selangorrrrr….

https://www.youtube.com/watch?v=kpJeTYIn2Vg

Kredit : SelangorFc.com, Daily Sukan, Imran Nanana, FA Selangor

10 Tahun dan Terus Menanti

Posted: 02/10/2015 in Sukan

Petang itu bukanlah petang yang biasa di bandaraya Shah Alam dan kawasan Lembah Klang. Bermula jam 3.00 petang jalanraya di sekitar Shah Alam mula dipenuhi kereta dan motosikal yang dihiasi dengan warna merah kuning. Bendera, mafla dan kain rentang bermotifkan Selangor dengan warna tradisi merah kuning memenuhi jalan-jalan dari Shah Alam menuju ke satu tujuan iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil. Tujuan mereka hanya satu, melihat Selangor sekali lagi dalam pentas final selepas seminggu sebelumnya berjaya menumbangkan Perak dalam final Piala FA di Stadium Shah Alam dengan jaringan 4-2.

Aku juga tidak terkecuali dari menjadi sebahagian daripada golongan itu. Memilih motosikal untuk ke stadium merupakan pilihan terbaik. Malah itu sahaja kenderaan yang ada pada ketika itu. Menunggang bersama Mamat Klang (ketika ini beliau merupakan seorang rapper, harap2 ko kenal aku lagi Mamat), tunggangan dari Shah Alam bermula seawal jam 5.00 petang dari Shah Alam menuju ke Bukit Jalil yang memakan masa 45 minit. Kami turut disertai rakan-rakan seperjuangan yang selalu ke stadium sepanjang tahun tersebut. Kuda, Wakbul, Bob, Ejat, Ejal, Kecik, Afan dan lain (tak ingat siapa lagi yang join tapi yang pasti memang ramai). Aku baru join Selangorfc.com ketika itu tapi belum dapat join mereka untuk game day so budak2 rumah di Shah Alam dan UiTM yang selalu jadi geng tengok bola.

Setibanya di stadium kami tidak memilih untuk berada lama di perkarangan. Terus masuk cari tempat duduk setelah pintu mula dibuka jam 6.00 petang. Tak perlu risau sebab golongan penyokong Perlis hanya sekitar 30-40 ribu tapi untuk dapatkan view yang menarik kami memilih untuk duduk di tier pertama betul-betul di garisan tengah padang. Suasana yang cukup bingit dengan kehadiran ribuan penyokong merah kuning mendominasi segenap penjuru Stadium Nasional. Hanya sekelompok penyokong Perlis di sebelah kiri aku dan nyata sorakan mereka ditenggelami oleh paluan gendang.

Perlawanan akhir bermula tepat jam 8.45 malam dengan Selangor dipimpin oleh Shukor Adan manakala Perlis oleh Khairulnisam Sahabudin sebagai ketua pasukan. Meletakkan Jamsari Sabian sebagai penjaga gol, P.Gunalan, Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, D.Surendren sebagai pertahanan gandingan Shukor Adan, K.Sanbagamaran, Elie Aiboy dan Amri Yahyah di tengah dan pemusnah Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes. Selangor tidak menunggu lama untuk menggegarkan Stadium Nasional bila Elie Aiboy mengambil sepakan sudut mencari kepala Bambang Pamungkas untuk ditanduk masuk pada minit ke 17. Tamat separuh masa pertama dengan mendahului 1-0.

Membuka separuh masa kedua, Selangor hanya memerlukan lima minit untuk terus melebarkan kedudukan. Sekali lagi sepakan sudut Elie Aiboy berjaya dihidu oleh kepala Bambang Pamungkas untuk ditanduk masuk pada minit ke 50. Sekali lagi stadium bergegar dan kami terus bersorak gembira. Ia bagaikan suatu perasaan yang tak dapat digambarkan. Selangor terus diasak namun benteng pertahanan dan Jamsari Sabian utuh menahan asakan dan sedang sibuk Perlis mencari gol, lima minit sebelum tamat, Bambang sekali lagi menghukum kealpaan benteng Perlis dan menjaringkan gol ketiga hasil hantaran D.Surendren. Bergegar lagi stadium dan kali ini gegaran semakin kuat kerana keyakinan Piala Malaysia sudah berada dalam dakapan. Bambang menjaringkan hatrik dalam final Piala Malaysia dan menjadi pemain kelima selepas N.Thanabalan (Selangor-1968), Ervin Boban (Johor-1991), Abbas Saad (Singapura-1994) dan Juan Manuel Arostegui (MPPJ-2003) yang pernah mencipta hatrik dalam pentas akhir.

Kami berpesta apabila upacara penyampaian hadiah dan menjulang piala. Para pemain mengarak Piala Malaysia mengelilingi stadium. Kesemua penyokong Perlis telah mula meninggalkan stadium manakala penyokong Selangor terus meraikan malam bersejarah tersebut. Kami terus berada di dalam stadium sehingga jam 11.30 malam. Di luar stadium turut bingit. Perjalanan pulang meriah dengan hon-hon kenderaan menyatakan kegembiraan mereka. Bendera merah kuning terus berkibarakan pada malam ini dan keesokan paginya di bumi Shah Alam dan kawasan sekitarnya.

Itulah kisah yang berlaku pada 1 Oktober 2005, 10 tahun yang lalu. Malam ini, 2 Oktober 2015, Selangor masih meneruskan perjuangan dalam saingan Piala Malaysia menentang Kelantan di Kota Bharu. Malam ini merupakan perlawanan keempat selepas tiga perlawanan lalu Selangor hanya mampun mengutip empat mata menerusi kemenangan menentang T-Team, seri dengan Felda United dan tewas kepada Kelantan di pusingan pertama dan menduduki tempat ketiga dalam kumpulan C, sesuatu yang kurang menarik baggi bekas juara 32 kali itu. Malam ini, diharap aura 10 tahun lalu dapat diadaptasikan dengan kemenangan dan meneruskan saingan dalam Piala Malaysia untuk mengakhiri kemarau 10 tahun atau terus menanti.

Teruskan perjuangan wahai Selangorku 🙂

Kredit : skakoi, Selangorfc.com

Icebath Recovery

Posted: 26/09/2015 in Sukan

Icebath atau mandi ais adalah salah satu cara recovery atau proses pemulihan dalam setiap acara sukan. Untuk sukan bolasepak dan ragbi, icebath recovery merupakan proses wajib untuk pemain bagi memastikan anggota badan serta otot dapat dipulihkan selepas beraksi dalam masa 70-90 minit dalam permainan yang berintensi tinggi. Penggunaan oksigen yang banyak bagi membentuk tenaga untuk pemain memberi hasil optimum di dalam padang juga menghasilkan asid laktik hasil buangan daripada tenaga tadi. Asid laktik ini digelar asid jahat dan jika gagal melakukan cooling down dan recovery process yang betul akan membuatkan otot menjadi lemah dan lesu atau digelar muscle soarness selepas perlawanan. Ia juga akan membuatkan kita lesu jika menghadapi perlawanan berterusan berbentuk karnival.

Icebath adalah salah satu cara untuk memastikan otot kembali segar dan mengelakkan muscle soarness selain post match massage. Memandangkan post match massage memerlukan masa yang agak lama dan fisio untuk menjalankan massage, icebath dilihat sebagai option yang lebih mudah. Ia juga lebih cepat memulihkan dan menyegarkan pemain untuk bersedia untuk perlawanan seterusnya. Ia membantu pengecutan salur darah yang berkembang akibat penghasilan oksigen yang banyak ketika aktiviti yang dilakukan oleh seluruh anggota badan. Jika salur darah tidak dikecilkan, maka darah akan membawa sekali bahan buangan iaitu asid laktik seperti yang diceritakan lebih awal tadi.

photo 5

Para pemain Malaysia menjalani icebath setelah tamat sesi latihan

 

Icebath juga membantu menurunkan suhu badan dengan pantas. Majoriti pertandingan atau perlawanan berlangsung pada sebelah pagi dan petang di mana cuaca dalam keadaan panas. Beraksi dalam keadaan panas membuatkan pemain akan cepat letih dan menggunakan tenaga terlalu banyak dan proses pemulihan untuk perlawanan seterusnya amat penting. Sebaik sahaja selepas perlawanan, suhu badan yang terdedah kepada cuaca panas perlu segera diturunkan dan icebath dilihat sebagai jalan penyelesaian. Suhu badan akan kembali normal dan bersedia untuk perlawanan seterusnya. Ia sama seperti kita meminum air sejuk di kala panas terik, tekak akan berasa segar dan bertenaga begitu juga sistem otot dalam badan kita.

Dalam permainan bolasepak dan ragbi kadangkala terdapat kecederaan seperti accidently knock ataupun tackles yang tidak dapat dielakkan. Kecederaan ini akan membuatkan bengkak atau lebam. Dengan icebath ia dapat membantu mengurangkan bengkak dan ais berfungsi untuk mengecutkan salur darah dan mengelakkan bengkak berlarutan dan darah beku. Peringatan kepada semua atlet, setiap kecederaan perlu dirawat dengan RICE iaitu Rest, Ice, Compression dan Elevation. Dengan ais, Insya Allah kecederaan dapat dirawat dan pemain boleh bermain semula dengan kadar segera (kecuali kecederaan teruk melibatkan ACL atau hamstring dan lain-lain).

Apakah cara yang paling mudah untuk melakukan icebath? Tentunya ais dan mini pool merupakan perkara utama yang perlu ada. Mini pool boleh gunakan pool kanak-kanak (macam kita mandi kecil-kecil dulu) ataupun polytank (tangki air rumah kita) atau paling susah sangat boleh gunakan tong sampah bergerak. Masukan ais dalam kadar separuh dari bekas yang digunakan. Lebih banyak ais yang digunakan lebih cepat proses pemulihan berlaku. Masukan air bagi meneutralkan suhu ais agar tidak tertalu sejuk sejuk memenuhi bekas tadi. Selesai penyediaan, masuklah rendamkan diri dalam bekas tersebut sekitar 10-15 minit. Tiga hingga lima minit pertama mungkin menyeksakan jika tidak biasa dengan icebath ini. Molekul sejuk ais itu akan mencucuk seluruh tubuh badan kitanamun ia bersifat sementara sahaja. Dinasihatkan agar kita kekal memakai inner ataupun tight dan tidak berbogel walaupun syok kena ais.

photo 2

Ada berani icebath challenge? Segar beb…

Jadi mudah kan? So lepas ni boleh fully utilised kan mini pool anak-anak kita sambil lepak depan laman rumah baca suratkhabar. Boleh juga deal dengan lori ais untuk hantar ais setiap kali lepas abis game atau training. Ais satu beg dalam RM3.50 je pakai dua beg pun lega sampai esok. Tapi kalau nak lagi mencabar jom kita buat ramai-ramai lepas training baru tau siapa steady siapa penakut. Selamat bermandi ais 🙂

Kredit : Football Association Malaysia, Siti Khadijah Lokman