Archive for September, 2010

Selamat Hari Malaysia

Posted: 16/09/2010 in Bacaan Ringan

16 September 1963 merupakan tarikh pembentukan Malaysia yang terdiri dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura. Dua tahun selepas ini iaitu pada 9 Ogos 1965, Singapura secara rasmi keluar dari Malaysia dan membentuk republik Singapura. Hari ini merupakan tahun pertama Malaysia menyambut ulangtahun pembentukan Malaysia dan hari ini juga merupakan tahun pertama 16 September diumumkan sebagai cuti umum pada setiap tahun.

Namun apalah erti 47 tahun terbentuknya Malaysia jika pemikiran kita tidak sematang tempoh tersebut. Jika dilihat Singapura hari ini lebih maju dari Malaysia hanya setelah 45 merdeka tetapi kita telah 53 tahun mengecapi kebebasan tersebut. Hari Malaysia mengajak kita terus menginsafi diri agar lebih maju ke depan bagi menyahut tema merdeka, 1Malaysia Menjana Transformasi. Kita hanya kurang 10 tahun lagi untuk menyahut Wawasan 2020 yang dicipta sekitar tahun 90an. Adakah kita cukup bersedia kearah itu? Sebelum kita melangkah lebih jauh kita harus perbaiki beberapa langkah di bawah agar harapan Malaysia menjadi negara maju terus menjadi kenyataan;

  1. Patuhi undang-undang jalanraya. Pakai topi keledar, jangan potong Q atau melanggar lampu merah. Etika pemanduan seperti ini adalah tidak bertamadun;
  2. Gunakan harta awam dengan bijaksana. Telefon, pengangkutan bas, LRT, hospital dan sebagainya adalah sumbangan Kerajaan kepada kita;
  3. Jangan buang sampah di merata tempat. Persekitaran yang bersih dapat menjamin kehidupan yang sempurna seterusnya mengurangkan risiko penyakit;
  4. Bersifat patriotik. Ada yang bersyukur menerima bonus tetapi sukar membelanjakannya bagi membeli sehelai bendera Malaysia untuk dikibarkan;
  5. Menuntut ilmu. Rakyat di negara maju adalah berdasarkan bilangan celik ilmu dan bukan bilangan penganggur, penagih dadah ataupun kadar jenayah. Jadi teruskan tuntutan mencari ilmu sebelum menutup mata.

Perkara di atas nampak mudah namun kita belum benar-benar mendalaminya. Banyak lagi perkara yang boleh dikupaskan untuk menjadi negara maju tetapi saya berpendapat kita harus fokus lima perkara di atas dan mengubah sikap segelintir rakyat agar dipandang tinggi.

Selamat Menyambut Hari Malaysia ke 47. Semoga Malaysia sentiasa aman dan makmur.

Syukur Alhamdulillah ketika entry ini ditulis Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengumumkan tarikh menyambut Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat 10 September 2010. Ia merupakan hari kemenangan bagi kita yang telah bertakwa habis-habisan dan memfokuskan ibadah puasa dan terawih selama sebulan. Selepas ini, kita belum tentu lagi akan dipertemukan dengan Ramadan.

Bercakap mengenai raya, bagi saya ia satu kenikmatan setelah sebulan berpuasa. Ia juga unik kerana tanpa kita sedar lidah akan sentiasa mengucapkan ‘Selamat Hari Raya’ kepada semua umat Islam yang kita kenal mahupun tidak. Uniknya raya kerana ia disambut selama sebulan. Rumah terbuka, kunjung mengunjung, marhaban menghiasi Syawal tanda kemenangan. Raya juga unik kerana nikmat yang dirasai seolah-olah skrip yang sama dengan pelakon yang sama. Semua orang membeli baju raya, sibuk dengan persiapan anak dan pasangan, bersesak di lebuhraya untuk pulang ke kampung dan bersusah payah membuat persediaan yang maksimum walaupun penat dan letih. Skripnya sama ketika pulang ke kampung, adik beradik akan berganding bahu memasak juadah, menghambur permaidani, menyapu sawang bagi meringankan beban atuk dan nenek. Saban tahun perkara yang sama berulang tanpa perlu di ‘rehearsal’ kan. Akan tetapi skrip dan lakonan akan terhenti jika salah seorang pelakon utama pergi meninggalkan kita. Atuk, nenek, ibu atau bapa yang telah pergi akan merencatkan suasana drama tadi. Mungkin ada juga pelakon tambahan yang sudah tidak lagi berkunjung ke tapak shooting dek kerana tiada pelakon utama ataupun ke rumah mertua jika masih ada.

Begitulah roda kehidupan. Dulu kita terima duit raya, kini kita yang memberi. Dulu ada atuk dan nenek yang riuh rendah dengan persiapan raya tapi kini mereka telah tiada. Tinggallah kita meneruskan legasi dan satu hari nanti kita juga bakal menjadi atuk dan nenek kepada cucu kita. Teruskanlah berbakti kepada kedua ibubapa dan juga atuk dan nenek yang masih ada.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin dari saya dan isteri. Semoga kehadiran Aidilfitri ini member seribu rahmat buat kita semua. Berhati-hati di jalanraya dan semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

*Al-Fatihah buat Allahyarham Md Said, Rahmah, Othman dan Siti Aishah yang merupakan kedua-dua atuk dan nenek saya yang telah pulang ke Rahmahtullah. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.