Archive for the ‘Bacaan Ringan’ Category

Majlis Konvokesyen dan Masyarakat
Majlis Konvokesyen sangat sinonim dengan pengajian tinggi. Ia merupakan satu majlis yang meraikan pelajar, ibubapa dan universiti.  Bagi pelajar, ia merupakan satu pencapaian akademik yang dinanti-nanti setelah berpenat lelah bergelumang dengan pelbagai rintangan serta cabaran bagi menggenggam segulung ijazah.  Bagi universiti pula, ia merupakan satu kebanggaan melahirkan bakat yang bakal menyumbang kepada kemajuan serta kemakmuran negara. Menjadi satu kemestian bagi sesebuah universiti untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen bagi meraikan para siswazah yang telah diasuh sejak sekian lama dan bagi menghargai jasa ibubapa yang telah banyak berkorban demi kejayaan anak-anak mereka.

Di UTM, Majlis Konvokesyen adalah merupakan majlis sambutan tahunan yang gilang gemilang. Ia turut dimeriahkan dengan penganjuran Festival Konvokesyen (FESKO) yang terbuka kepada masyarakat. Setiap kali dilangsungkan, FESKO UTM menyaksikan lebih 200,000 pengunjung dari kalangan ibubapa, para siswazah dan juga penduduk tempatan di sekitar Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang yang turut mengambil kesempatan memeriahkannya meskipun tiada kenalan yang bergraduan. Konsep keterbukaan UTM ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang awam untuk mendekati universiti, malah ia dapat mencapai hasrat menjadikan UTM sebagai sebuah universiti untuk masyarakat.

Sejarah Majlis Konvokesyen UTM
Majlis Konvokesyen UTM yang pertama dan paling bersejarah telah berlangsung pada 3 Disember 1977 di Kuala Lumpur. Sejak itu, pada setiap tahun UTM tidak ketinggalan meraikan graduan sebelum ‘melepaskan’ mereka kepada pemain industri yang bersedia melamar mereka. Tidak dinafikan sejak UTM ditubuhkan sebagai salah sebuah univerisiti yang berasaskan kejuruteraan, lebih 60% profesion jurutera adalah terdiri daripada pelajar UTM. Jumlah siswazah yang saban tahun meningkat membuatkan UTM mengambil keputusan untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen sebanyak dua kali setahun mulai tahun 2000. Ini juga mengambilkira polisi pengambilan pelajar antarabangsa yang mula meningkat pada tahun tersebut. Sejak itu, Majlis Konvokesyen UTM diadakan pada April dan Oktober setiap tahun.

Sehingga November 2019, UTM telah menghasilkan 198,593 orang siswazah dari peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Diploma Lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dari pelbagai mod pengajian di dalam dan luar negara. Daripada jumlah itu terdapat beberapa program kerjasama dari kolej bersekutu di dalam negara dan juga universiti awam dan swasta di luar negara. Dengan jumlah ini, UTM harus berbangga dengan bilangan siswazah yang hampir mencecah 200,000 pada 2020 yang telah menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran sejagat.

Pun begitu pada Disember 2019, pengurusan tertinggi UTM telah menetapkan agar Majlis Konvokesyen dianjurkan hanya sekali setahun berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pelbagai faktor diambil kira dan keputusan tersebut diperhalusi oleh jawatankuasa induk dan isu-isu teknikal diperkemaskan. Malah pelbagai usaha dan penanda aras telah diletakkan bagi menghadapi Majlis Konvokesyen ke-64 yang dijadulkan pada 24 hingga 28 Oktober 2020.

Pandemik COVID-19 dan Pendidikan Tinggi
Dunia yang dilanda pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020 cukup memberi kesan kepada pendidikan tinggi. UTM telah serta merta bertindak ‘menyelamatkan’ pendidikan tinggi ke aras yang lebih baik. Kuliah berlangsung secara dalam talian, peperiksaan akhir juga diubah penilaian dan beberapa polisi turut diubah bagi memastikan fleksibiliti pendidikan tinggi dapat memberi faedah kepada semua pelajar di UTM.

Kita tidak harus diam dan terus menunggu kerana kesan pandemik ini tiada siapa yang dapat mengetahui secara pasti akan kesudahannya. Justeru, pengurusan tertinggi UTM telah mengambil langkah drastik untuk meneruskan kuliah secara dalam talian seawal 1 April 2020 di samping mengemaskini beberapa proses sebagai penambahbaikan dalam masa yang sama. Kajian menunjukkan bahawa, untuk meneruskan kuliah secara dalam talian, 85% pelajar telah bersedia manakala hanya 15% pelajar yang menghadapi cabaran.  Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan, termasuk menyediakan pengajaran secara jarak jauh, menyediakan subsidi kewangan data internet, kemudahan peminjaman laptop, dan juga penangguhan pengajian tanpa pengiraan semester.

Pandemik dan Konvokesyen
Menyedari kesan pandemik yang tidak akan berakhir dalam masa yang terdekat, Kerajaan Malaysia melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengeluarkan arahan kepada semua universiti untuk menangguhkan Majlis Konvokesyen pada tahun ini. Larangan perhimpunan secara besar-besaran itu perlu dipatuhi dalam satu tempoh masa yang agak panjang. Rata-rata universiti awam telah memulakan langkah untuk memastikan penganjuran Majlis Konvokesyen pada tahun 2021 berjalan lancar walaupun melibatkan jumlah siswazah yang ramai.

Tidak kurang pula kesannya bagi pelajar yang menunggu tarikh untuk bergraduan. Di UTM lebih 1,200 orang pelajar telah disahkan bergraduan oleh Senat mulai November 2019 hingga April 2020. Jumlah itu dijangka meningkat pada Julai 2020 selepas peperiksaan akhir berlangsung. Bakal graduan ini semestinya menanti hari gembira mereka dan keputusan universiti untuk penganjuran seterusnya. Di samping meraikan hari gembira, sijil turut diperlukan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau memohon pekerjaan yang diidamkan.

Apa Tindakan Universiti?
Selaras dengan arahan MKN, penangguhan Majlis Konvokesyen adalah satu tindakan yang melibatkan semua pihak. Baik graduan, tetamu, ibubapa dan para petugas serta peniaga yang perlu mematuhi arahan penjarakan sosial serta menghindari dari perhimpunan awam. Persoalannya, apakah tindakan selanjutnya selepas penangguhan? Ya, pastinya sesuatu penangguhan akan diganti pada satu tarikh baru pada 2021. Malah majoriti universiti telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan konvokesyen serentak dengan graduan 2021 pada tahun tersebut. Ini kerana hanya UTM dan UiTM sahaja yang mengadakan konvokesyen dua kali setahun pada tahun sebelumnya.

Isu teknikal antara yang dibincangkan bagi memenuhi keperluan kebanjiran graduan pada tahun 2021 adalah keperluan jubah konvokesyen. Semestinya universti perlu memastikan jumlah jubah cukup untuk kegunaan graduan. Di samping itu, kos penganjuran juga dijangka meningkat disebabkan penambahan tempoh majlis. Namun ia dapat dibiayai memandangkan peruntukan pada tahun 2020 yang masih belum digunakan dan dapat dibawa ke tahun hadapan.

UTM merupakan universiti awam pertama yang menyediakan perkhidmatan sijil awal. Perkhidmatan ini mula diperkenalkan pada 1 Januari 2012 kepada pelajar antarabangsa yang ingin pulang awal ke negara mereka tanpa menunggu Majlis Konvokesyen. Perkhidmatan ini mula diperluaskan kepada pelajar tempatan selari dengan keputusan universiti untuk menganjurkan Majlis Konvokesyen sekali setahun pada 2020 dan dijangka dapat membantu pelajar dalam tempoh menunggu majlis tersebut yang pada awalnya dijadualkan pada Oktober 2020. Dalam keadaan pandemik yang kini melanda, penyediaan sijil awal tersebut nyata membantu graduan yang terpaksa menunggu sehingga tahun 2021. Bakal graduan boleh memohon untuk pengeluaran sijil awal setelah disahkan oleh Senat dan tidak mempunyai hutang tertunggak. Pengeluaran sijil ini juga turut dibekalkan dengan peminjaman jubah untuk sesi fotografi. Ia dianggap pra-Majlis Konvokesyen dan sijil tersebut boleh digunakan oleh graduan dalam urusan rasmi seterusnya.

Pelajar yang telah memohon sijil awal ini juga dijemput untuk menghadiri Majlis Konvokesyen pada tahun 2021. Malah, sebagai tambahan, mereka diberi pilihan untuk hadir pada dua tahun berikutnya jika menghadapi kesukaran untuk hadir pada tahun 2021. Fleksibiliti yang diberikan ini merupakan satu usaha bagi memastikan pelajar terus menjalin hubungan dengan UTM walaupun telah menamatkan pengajian. Tindakan pantas ini menjadi salah satu senjata baharu UTM demi memastikan graduan tetap mendapat perhatian sekalipun negara dilanda pandemik. Kesiapsiagaan barisan hadapan UTM dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam menganjurkan Majlis Konvokesyen ini membuktikan pendidikan tinggi tidak mati ditelan pandemik.

Konvokesyen Cara Baharu, Norma Baharu
Dalam menghadapi norma baharu yang perlu diamalkan dalam tempoh masa yang panjang, ia dilihat satu pendekatan tepat bagi mengubah budaya pemikiran masyarakat dan penganjuran Majlis Konvokesyen itu sendiri. Dahulu kita melihat majlis ini hanya dapat disambut oleh pelajar yang menamatkan pengajian di pendidikan tinggi. Maka riuhlah sekampung dengan perasaan penuh bangga apabila ada salah seorang penduduk kampung berjaya bergelar siswazah. Kini, pendidikan di tahap pra-sekolah juga menganjurkan konvokesyen apabila tamat tempoh prasekolah. Ia adalah sekadar gimik supaya anak-anak meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Namun, pengajian tinggi perlu lebih dari itu. Majlis Konvokesyen perlu lebih mudah, ringkas dan mematuhi norma baharu. Rata-rata pelajar yang pernah bergraduan di universiti ternama luar negara menyatakan cadangan Majlis Konvokesyen seringkas mungkin tetapi kekal meriah. Ia dapat menjimatkan masa serta memastikan para tetamu terutamanya ibu bapa tidak menunggu lama. Bayangkan mereka hanya menumpukan kurang lima minit bagi menyaksikan anak mereka menerima segulung ijazah sedangkan lebih tiga jam menunggu majlis tamat.

Sudah tiba masanya, budaya Majlis Konvokesyen ini perlu diperhalusi penganjurannya. Selari dengan pandemik ini dan beberapa SOP yang dikenakan oleh MKN, inilah masanya untuk kita merenung sejenak, keluar dari kepompong lama sambil tidak menjejaskan kemeriahan dan simbol konvokesyen secara umum. Mungkin ramai yang menggilai penganjuran konvokesyen di luar negara, mengapa tidak diadaptasi di negara sendiri?

Penutup
Pengajian tinggi adalah cabang yang penting dan relevan dalam melahirkan bakat yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.  Namun ianya perlu lestari dan cergas melaksanakan adapatasi dalam menelusuri segenap perubahan serta cabaran di abad ke 21. Melihat kepada beberapa sektor yang lumpuh hanya dalam sekelip mata apabila dilanda pandemik, ia tidak berlaku kepada sektor pendidikan. Proses pembelajaran dan pengajaran dapat dilaksanakan secara berterusan malah banyak kaedah baharu yang diterokai dan dijangka dapat mengimbangi pelajar dan pengajar dalam tempoh norma baharu nanti.

Menyedari sektor pendidikan terus menerus akan mendapat permintaan tinggi, kita sebagai pemberi pendidikan tinggi perlu memberi sepenuh perhatian kepada pemegang taruh terutama pelajar bagi memastikan kelangsungan, penjenamaan dan keterlibatan universiti kepada masyarakat tidak terhenti apabila pelajar tamat pengajian sahaja. Justeru, Majlis Konvokesyen perlu menjadi detik termanis buat siswazah agar mereka bersama sebagai anak kandung yang bakal membantu menjenamakan serta mengangkat martabat universiti rimbun bernaung ke arah kesohoran global.

Kias Ramadan : Part 2

Posted: 11/06/2017 in Bacaan Ringan

Aku termenung ke luar jendela sedang menanti dengan penuh debaran. Dapat atau tidak tiket itu. Ye, aku tunggu tiket. Tiket perlawanan Bolasepak Piala Dunia Wanita 2039 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur. Ye, team bolasepak wanita Malaysia telah masuk World Cup buat pertama kali dalam sejarah bolasepak Malaysia. Masakan tidak semua rakyat Malaysia merasa kagun dan ingin merasai adrenalin berada di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ok Malaysia layak bukan sebagai tuan rumah tapi memang layak secara merit apabila menduduki tempat ketiga di belakang Jepun dan Korea di kelayakan zon Asia.

Best tak tengok bola di stadium? Ntah aku pun baru first time ni. Selalu lebih suka lepak tengok bola di rumah saja. Boleh baring gelunjur kaki, makan Pringles dgn kacang sambil buat smootie pisang letak blueberries. Tak perlu nak beratur panjang beli tiket atau berebut nak redeem tiket online serta berpanasan di stadium. Kalau game boring aku pulak yang tertidur di depan tv dan selalunya memang begitu. Kalau kat stadium nak tidur celah mana kan? Tapi kenapa hari ni aku di sini? Termanggu menunggu tiket sedangkan selama ni di peringkat kelayakan tak pernah pun aku jejakkan kaki ke stadium ni.

Khairani Famizah penjaga gol putih melepak, pertahanan kental Aida Zafirah dan Fadhilah Shais, Syafiqah Rahimah pemain midfield yang versetail, sayap kanan kiri yang laju macam cahaya, Badariah Baharum dan pemain India Kunnayan Supramaniam dan penyerang sensasi Safeezah Salihudin adalah pemain yang sering keluar di kaca tv dan tak pernah aku bermimpi melihat pemain ini di depan mata. Hari ini, kalau ada rezeki aku akan tengok dengan mata kepala sendiri.

Alhamdulillah, tiket yang dikirim sudah berada di tangan. Perlahan-lahan berjalan masuk melalui gate yang ditetapkan dengan body check yang terpaksa dilalu atas tujuan keselamatan. Semua yang hadir hari ini berseragam kuning berjalur hitam, seragam wajib buat Harimau Malaya baik team lelaki mahupun wanita. Hanya abang Polis sahaja berpakaian polis. Makcik jual burger, adik jual kuaci semua berbaju kuning hitam dengan cetakan nama pemain kegemaran berserta nombor di belakang. Aku mengambil tempat duduk di belakang gol kerana itu sahaja yang masih kosong. Perlawanan akan bermula 30 minit lagi. Pukul berapa agaknya mereka ini datang untuk merebut seat tengah yang paling happening tu? Perlawanan dengan Germany haruslah epik kerana Germany pernah menjadi juara Piala Dunia sebanyak dua kali pada 2003 dan 2007. Germany pula menduduki top 10 ranking dalam bolasepak wanita dunia. Namun, masih ada harapan sebab kita bermain di laman sendiri.

Sorakan mula bergema walaupun permainan belum bermula. Aku terkial-kial sebab tak tau lagu apa yang nak disorakkan. Maklumlah kali pertama. Tapi selepas dua tiga kali mendengar aku dapat tangkap beberapa bait sorakan dan seterusnya aku ikut bernyanyi sekali. Sungguh, satu perasaan dan adrenalin yang lain daripada aku tengok kat depan tv. Ini lebih mengujakan dan lebih bersemangat. 30 minit tadi rasa berlalu dengan cepat. Aku mula rasa seronok dan teruja untuk ke peringkat seterusnya hingga tak sedar keringat mula membasahi jersi hitam kuningku ini.

Perlawanan bermula. Kelihatan ketua carteo (baru aku tau terma ni lepas tanya adik kat sebelahku ini. Carteo bertindak sebagai ketua sorak) dengan listing lagunya bagi menaikkan semangat wirawati Harimau Malaya. Lagi kuat Carteo sorak lagi ramai yang akan ikut. Germany memulakan asakan. Bargona Prinz adik kepada Birgit Prinz mengetuai serangan namun mudah dipatahkan oleh Aida dan Fadhilah. Terus melalui satu serang balas, Syafiqah selaku kapten melarikan bola dari tengah padang sebelum membuat satu diagnal pass kepada Badariah. Badariah menggunakan kelajuan cahaya menggelecek dua pertahanan sebelum membuat satu hantaran lintang ke tengah. Pertahanan Germany, Mita Hummels dilihat mudah mengeluarkan bola namun cabaran dari Kunnayan menyebabkan clearance hanya sejengkal di depan mata Safeezah. Penyerang nombor 10 ini seakan menghidu peluang dan melepaskan rembatan dan golllllllllllll……disertai dengan sorakan puluhan ribu penyokong. Baru aku tau yang aku jerit sorang-sorang depan tv kat rumah tu hanya aku sahaja. Tapi di sini, fuhhhhhh seram sejuk berdiri bulu roma bila jerit gol ramai-ramai.

Malam itu aku Malaysia mencatat sejarah menang 1-0 ke atas Germany. Masing-masing pulang kegembiraan. Kami bernyanyi-nyanyian sepanjang jalan menuju kereta. Aku hanya naik basikal sebab rumah aku hanya 5 km dari stadium. Tu pun malas nak pergi kan. Usai bersihkan diri aku berehat depan tv. Melihat semula aksi yang kulihat secara live tadi dengan temuramah bintang terkenal Safeezah Salihudin. Mamai dek kepenatan muka Safeezah jadi bayang empat.

Aku tertidur.

Aku terbangun.

Rupanya telah sampai tengahari aku melelapkan mata. Kedengaran ibu membebel di luar rumah, senario biasa setiap petang. Ye dah petang bukan tengahari lagi. Lebih 12 jam la aku tidur dari malam tadi. Lantas aku melompat mencapai kain sal terus membersihkan diri. Teringat pesan ibu minggu lepas untuk belikan barang-barang dapur kerana minggu depan dah nak puasa. Aku cuba recall seperti merecall gol Safeezah malam tadi. Nyata, jelas ada barang yang masih aku hutang. Konon nak recovery, aku pun keluar bilik dengan tenang mencapai kunci motor untuk ke kedai Aceh. Belum sempat keluar, ibu menyapa mengatakan barang yang dikehendaki semua telah lengkap hasil upahan budak main ting-ting kat depan rumah dengan upah sebatang aiskrim.

Maghrib menjelang, ibu bersiap dengan telekung baharu, perisai untuk ke masjid malam ini. Aku seperti tahun sudah, sempoi sahaja berseluar khakis bertshirt lengan panjang. Baju melayu buat dipakai semasa raya entah duduk di lipatan paling bawah agaknya. Butang baju apatah lagi kan. Ibu menggeleng kepala tanda kurang setuju tapi aku terus menghidupkan enjin motor menuju masjid. Dalam perjalanan ibu sempat berpesan, itupun selepas aku menunggang sekitar 30km/j. Berikut pesan ibu :

  1. Esok dah mula puasa. Puasa ni macam World Cup juga. Sebulan orang beri perhatian, berjaga malam, bergegas ke stadium, berjemaah dan menikmati keindahan dari peringkat kumpulan hingga ke peringkat akhir;
  2. Berterawih di masjid itu ibarat pergi tengok bola kat stadium. Kalau kau solat sorang2 kat rumah kau tak rasa manisnya mendengar suara imam membaca Al-Quran dan semangat makmum2 lain untuk bertahan bersama-sama hingga ke rakaat terakhir. Mengaminkan Al-Fatihah itu kalau kau buat macam jerit gol kan ke lagi baik. Lainlah kau tu perempuan, banyak kerja rumah bagai;
  3. Pakai yang elok2 dan bersesuaian ke Masjid. Serupa macam kau pergi tengok bola pakai jersi Malaysia. 90% orang akan datang tgk bola pakai jersi Malaysia kecuali dia datang dari ofis sebelah stadium dan tak sempat balik rumah. Kalau kau main seluar khakis dgn t-shirt je pergi masjid esok ibu suruh kau pergi tengok bola pakai baju melayu dgn kain pelikat pulak. Nak? Tak salah tapi tak kena pada keadaan. Pergi masjid eloklah berbaju melayu, berpelikat, berjubah, berqurta dan bersongkok. Buat macam kita pergi tengok bola jugak;
  4. Senyum kan kalau keluar stadium di saat pasukan menang? Begitu juga manisnya selepas rakaat terakhir sewaktu kita memberi salam solat terawih. Saat keluar masjid itu kita rasa puas dapat beribadat untuk hari tersebut. Lebih manis dari melihat pasukan menang kerana ia dilakukan untuk diri kita sendiri buat bekalan satu masa nanti;
  5. Mulai esok tentukan di mana posisi kau dalam berpuasa. Kalau dalam bolasepak, penjaga gol dan pertahanan itu penting, sama juga dalam puasa. Jadilah penjaga gol dan back four yang kental dalam fasa pertama dan cuba upgrade jadi Ronaldo di posisi serangan. Baru complete Ramadan kita.

Tepat pesanan kelima ibu, motor aku terhenti di masjid. Ibu turun dengan senyuman, aku balas nak kata kelat, sinis atau malu. Usai ibu masuk ke ruang jemaah wanita, aku berdesup patah balik rumah. Cepat-cepat selongkar baju melayu dengan kain pelikat serta memakai wangi-wangian. Kopiah hitam tinggalan arwah ayah sempat ku gapai. Kini lebih bersedia menuju terawih pertama Ramadan. Lebih bersedia menuju Ramadan. Lebih teruja untuk memastikan aku sampai ke peringkat akhir dan terus menjulang Piala Ramadan.

Motor ku pulas deras.

“Rugilah orang yang masih menangisi masa yang telah lalu tanpa berusaha mengejar masa hadapannya…10 malam terakhir” – DMR

_________________________________________________________________________________________

 

Kias Ramadan : Part 1

Posted: 01/06/2017 in Bacaan Ringan

Ramadan Run 2017 / 1438H

Acara yang dinantikan setiap tahun. Lebih menarik daripada Iskandar Puteri Night Marathon ataupun Penang Bridge International Marathon dan mana-mana acara larian di serata Malaysia di mana Ramadan Run akan dilangsungkan selama 30 hari berturut-turut di sebelah malam. Cuma kita tak perlu lari. Fokus, bangun duduk, bangun duduk plus baca2 sikit. Yang penting fokus.

Objektif : Untuk menjadikan kita insan yang bertaqwa seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 (sila carik sendiri)

Kumpulan Sasaran : Islam, Baligh, Berakal, Bersuci

Kategori : 8 sehingga 20 rakaat

Lokasi : Semua masjid-masjid dan surau-surau di Taman Perumahan hatta di Pusat Membeli Belah sekalipun. Kalau malas sangat flag off kat rumah je.

Flag Off : 8.45 malam setelah tamat solat Isyak

Pengambilan Race Kit : (Itu beli bukan bagi) Di semua kedai menjual baju melayu, jubah dan qurta. Dinasihatkan kalau run biasa pakai t-shirt, Ramadan ni try pakai baju melayu, jubah dan qurta pulak. Tshirt tu simpan buat lari.

Medal Penamat, Sijil dan Anugerah : Akan dikurniakan selepas kau meninggal nanti. Yang buat banyak diberi banyak pahala dan syafaat yang tak buat langsung taktau lah nak bagi apa. Itupun kalau habis dan istiqomah la. Macam fun run tak abis pun kau dapat medal jugak kan.

Pendaftaran : Early bird dia masa masuk Rejab bila imam mula baca doa “Berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan”.

Yuran Penyertaan : Percuma. Cuma kau kena prepare.

Tarikh tutup : 25/26 Jun 2017 (mengikut anak bulan Syawal)

Waterstation : Jam 7.30 serta 10.30 bertempat di ruang makan masjid. Sila target masjid-masjid besar yang offer iftar dan moreh. Nak lagi best kalau masjid atau surau tu terletak di sebelah Bazar Ramadan. Untung-untung kau dapat ayam percik yang kau tengok tak pejam mata pada petang sebelum kau masuk masjid tadi.

Jadi, apa tunggu lagi? Ada 24 malam lagi nak kejar ni. Kalau 10km boleh lari, half marathon yang 21km celah gigi, full marathon 42km dengan cut off time 5 jam selamba kau gagahi, Ramadan Run hanya 20+3 rakaat umpama lari setempat dengan cut off time selama sejam sahaja untuk dipenuhi.

Jom solat terawih 🙂

‘Barangsiapa berpuasa bersungguh-sungguh di bulan Ramadan, nescaya dia akan masuk ke syurga menggunakan pintu Ar-Rayyan yakni pintu yang dikhaskan untuk orang yang berpuasa’ HR Bukhari.

“Lari 10km mengejar medal, mari kita terawih 20 rakaat bagi mengejar pahala Allah. Ia percuma, tanpa bayaran” – DMR

 

 

Car Free Day

Posted: 17/01/2017 in Bacaan Ringan

Pernah dengar istilah Car Free Day atau CFD ni. Jangan memandai nak translate jadi Hari Kereta Percuma pulak? Mati kutu owner Honda camni kalau semua beratur nak claim HRV sorang sebijik. CFD ni hari tanpa kereta di mana sesuatu tempat digazetkan sebagai kawasan larangan memandu kenderaan bagi membantu memelihara alam dengan mengurangkan pelepasan asap kenderaan. Abang tak tahu la dari sudut sains, kimia mahupun kesetaraan biokimia yang diselangselikan dengan pengaliran udara yang akan menyebabkan pencemaran. Cuma yang abang tahu, kurang asap maka kurang pencemaran. Dan asap kalau nak kurang dua jek cara, satu kurangkan asap kenderaan dan kedua kurangkan isap rokok.

Ok abang sebenarnya da lalui CFD ni masa kat KL dulu. Kat JB ni pun setiap bulan ada CFD. Tak lama pun dalam dua tiga jam je dan sepanjang CFD tu kita boleh buat aktiviti macam jogging, cycling dekat area yang digazetkan CFD. Sebab takde kenderaan kan so bersuka rialah kita bergelimpangan di jalan-jalan besar tu. Bagi abang oklah walaupun usaha kecik at least ada effort untuk menyelamatkan bumi. Cuma abang risau sikit dengan aksi tipikal orang-orang kita bila CFD ni diimplementkan di tempat kerja. One whole day tak boleh drive ke tempat kerja yang telah digezetkan. Akibatnya kena parking jauh dan jalan kaki. Jauh nak jalan, susah nak makan, logistik susah, stamina takde bla bla bla…macam-macam alasan bila something new try to be implement.

Ingat lagi tak bila kempen tiada beg plastik setiap hari Sabtu? Bukan pasal hari Sabtu yang nak ditekankan, tapi penggunaan beg plastik tu sendiri. Kalau dah didik diri bawa beg kemana-mana tak jadi hal kalau setiap hari pun tanpa beg plastik. Sama juga macam kempen asingkan sampah. Kalau semuanya bermula dengan positif untuk bantu bumi, tak jadi alasan untuk kita tak buat kan?

Nasihat abang satu je, terima dengan hati terbuka dan lakukan untuk bumi. Tak jatuh standard kalau kita jalan kaki atau makan di cafe student.

“Orang Jepun jadi Jepun bukan lahir terus jadi Jepun – DMR”

Haha Selamat Tahun Baru 2017. Semoga tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya. Ayat yang selalu abang dengar saban tahun dah taktau nak classfiy sebagai klise ke atau sekadar nak memanjangkan ucapan. Setakat Selamat Tahun Baru je tak gerek la kan. Add on la sikit baru nampak macam beria sambut tahun baru.

Ape sey kalau tiap-tiap tahun cakap camtu tapi implementation zero. At least kita tunjuk effort kalau tak dapat tu lain cerita. orang kata baik menyesal cuba kemudian tak dapat daripada kau menyesal tak cuba langsung. Umpama kau pergi ke sebuah Theme Park dan tengok orang ramai-ramai buat bungee jumping tapi kau teringin tapi takut. Macam 10 orang terjun semua mati kau punya takut. Last2 balik kau menyesal tak buat dan terkenang2 sampai kau balik Malaysia. Eh nape sampai balik Malaysia? Kat Malaysia takde bungy jumping ke? Ni semua sebab abang tengok orang bungy jumping aritu kat Venezuela.

So berbalik kepada cerita asal, setlah azam korang berpandanan dengan kemampuan. Tapi, ni abang stresskan tapi tu ye, jangan lah asyik cakap, tahun 2017 aku nak kurus, aku nak graduate, aku nak ada 10,000 kat ASB. Lagi klise beb. Meh abang bagi contoh sikit. Kalau nak kurus timbang sekarang berat ko berapa dan target turun 10 kg menjelang Disember 2017, kalau nak graduate on time make sure plan study dan jangan tuang kelas dan kalau nak ada 10,000 dalam ASB start potong gaji RM950.00 sebulan bulan ni. Make sure semua put it on paper yang kau sorang je tau (kalau nak menipu pun kau sorang je yang nampak hehe). Percayalah bila kau put it on paper dan kau buat review setiap hujung bulan apa yang dah kau lalui pasti kau merasa tahun 2018 kau akan tulis status FB yang lebih bermakna dari ‘Semoga tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya’.

Jadi belum terlambat nak mulakan 2017 ni. Belum terlambat selagi kau masih bernyawa dan taknak hidup kau nampak sia-sia. Dia macam sebuah organisasi la. Kalau takde KPI mana datang appraisal, pastu korang pun takdelah dapat bonus kan. Ada tak company besar bagi wish new year ‘We will make sure 2017 is better than before?’ Kelakar kan?

Selamat Tahun Baru 2017 buat semua. Semoga tahun 2017 ini lebih baik dari tahun sebelumnya (abang pinjam jugak at last ayat ni walaupun abang hahaha).

Football players aim to score goals because there’s a goalpost to be the targeted. Without the post, Messi and Ronaldo become nothing…-DMR-

Bangunan Gajah

Posted: 05/10/2016 in Bacaan Ringan

Satu hari abang ada meeting di Bangunan Ibu Pejabat JKR. Abang tengok alamat kat Jalan Sultan Salahuddin. Abang ni dah lama tinggal KL jadi bab jalan-jalan ni abang tak ingat sangat.

Abang pun roger la kat group Whats Apps geng-geng KL siapa tahu ibu pejabat JKR ni dan abang bagitahu jugak abang naik public transport. Lantas tiga jawapan abang dapat. Pertama, belakang BNM dengan menaiki KTM Komuter dan kemudian menapak sikit. Kedua, naik uber dan ketiga dekat belakang Padang Merbok. So abang dapat la bayangkan kat mana so abang decide nak jalan kaki je dari Stesen Masjid Jamek ke Stesen Komuter BNM. Alasan abang menapak sebab memang abang nak exercise sambal nak menikmati KL. Abang juga nak kembali ke zaman tiada waze dan tiada uber. Sampai je ke stesen BNM abang tak nampak kelibat Ibu Pejabat JKR lantas abang gunakan ayat manis bertanyakan seorang pengawal yg tak dapat dipastikan kewarganegaraannya.

Abang : Boss itu JKR mana?

Pengawal : U jalan sini nampak itu bangunan ‘Gajah’

Abang : Gajah?

Pengawal : Ya gajah…itu tinggi punya

Abang pun angguk ok dan putuskan perbualan. Dalam hati rasa pengawal tu betul sebab dia tahu JKR. Tapi abang teruja nak tengok bangunan gajah. Abang teruskan perjalanan sampai abang jumpa papan tanda Ibu Pejabat JKR yang tinggi.

Rupanya Bangunan KACA.

“Berusaha memudahkan tugas orang lain itu murni, kalau salah langkah kita belajar. Yang penting niat” – DMR

Tren Kehidupan

Posted: 26/09/2016 in Bacaan Ringan

Baru-baru ini abang berkesempatan menikmati keperitan warga kota. Kebetulan ada urusan rasmi di KL dan tiada transport nak kesana kemari. Abang lebih senang jalan kaki mencari stesen LRT terdekat. Setelah berjalan lebih 20 minit dan lebih kurang 1.5 km (kira makanan ni sebab abang lari pun minimum 5km haha) abang pun jumpa stesen LRT Damai. Bukannya abang tak tau stesen terdekat tapi abang saja nak jalan dan ternyata abang bukan orang KL macam dulu yang mahir jalan shortcut.

Kebetulan hari ini LRT bagi tambang free jadi abang pun cakap dengan kakak kaunter tiket nak pergi KLCC. Tapi abang tipu dia. Dah sampai LRT abang rasa abang nak pergi stesen paling hujung sekali iaitu stesen Putra Heights. Sebab apa? Pertama, sebab abang tak pernah sampai situ sebab last abang naik LRT ni sampai Kelana Jaya je so bagi mengikuti perkembangan ibu kota abang layan jela. Kedua, sebab abang rasa tiada hala tuju. Abang keluar pun sebab nak cari makan. Bayangkan abang tak bawa selipar. Takkan abang nak berseluar tidur lalu berkasut leather? Jadi abang sarung balik baju kerja tadi untuk abang keluar menyelami nasib warga kota. Ketiga, sebab abang nak tengok apa keperitan dan kepayahan wargakota sekarang dan attitude mereka di dalam tren. So kalau abang lepak lama sikit boleh la abang tinjau-tinjau.

Dalam tren waktu sekarang pukul 7.13 waktu peak warga kota pulang dari ofis. Abang salute mereka yang guna public transport ni. Kurangkan kesesakan dan boleh bantu negara jana pendapatan. Pandai lak abang cakap padahal abang pun naik free jek.

Majoriti penumpang tidak segan mempelawa tempat duduk kepada mereka yang memerlukan, satu tindakan yang sangat dipuji. Apa guna badan sado macho kalau tak boleh berdiri kan? Tapi abang terkecuali sebab abang nak tulis artikel ni.

Majoriti penumpang juga dah pandai membaca. Sambil tunggu sampai ada yang buka buku atau baca dari dalam phone. Kalau belek-belek phone sambil dengar lagu pun kira okla daripada buat bising kan. Kalau abang tengok depan abang sekarang ni lima orang tengah belek handphone sama ada baca komik, tengok video, main game atau balas Whats App. Abang seorang je yang menulis kat note ni.

Ok ini kelakar tapi sedih, kelihatan seorang makwe tak tua tak muda abang bajet area umur abang jek. Berdiri dan tak mau duduk dengan alasan kejap lagi sampai. Keluarkan IPhone, gajet acah canggih gen y sekarang dan keluarkan earpod. Tapi sayang earpod dah sampai terkeluar wayar. Abang bajet mesti lagu yang dia dengar tahap dewa sampai boleh tercabut atau memang ganas sangat. Bila tengok dia belek earpod tu kesian jugak. Berapa susah kita kerja membanting tulang untuk mengumpul duit membeli barangan yang kita kehendaki. Dan bila dapat dah tentu kita akan pakai sampai uzur macam earpod makwe tadi. Abang bajet mesti dia fikir dua tiga kali bila nak beli earpod baru sebab dia kena fikir duit sewa rumah dengan tambang LRT. Eh mane abang tau dia sewa rumah lagi???

Sekarang abang dah sampai Taman Paramount lagi dua stesen nak sampai Kelana Jaya yang dulunya merupakan stesen terakhir. Sekarang ada 10 lagi tambahan stesen sampai Putra Heights. Abang bayangkan bertuahnya warga kota dari Putra Heights sampai Gombak ada LRT. Abang bajet kalau dari Pulai Indah sampai City Square ada LRT takdelah abang susah payah bawak kete 45 minit nak berjoli hujung minggu. Nak pergi kerja pun abang naik LRT je hari2.

Amoi sebelah abang ni tidur. Mungkin jugak dia tengah skodeng apa abang tulis ni atau benar-benar penat. Tadi abang try skodeng tapi handphone dia tulis bahasa cina. Tak jadi la abang nak skodeng lebih. Teringat abang dulu penah tertidur dalam tren masa kerja kedai serbaneka kat area Masjid Jamek. Padahal LRT ke rumah makan 5 stesen je sekali bila abang tertidur abang kena turun kat stesen last sekali membuatkan abang kena menapak sampai ke rumah. Terus hilang ngantuk abang.

Tren berhenti di Kelana Jaya. Sedang abang melihat orang keluar masuk tren abang terbaca sepanduk ‘Perkhidmatan Percuma Hanya Untuk Laluan Kelana Jaya Sahaja’ ok abang terus melompat keluar tren persis orang baru sedar dah sampai ke stesen. Dalam hati abang memikir jawapan andai token free nanti sangkut abang acah-acah buat tak tau sambil get ready kad TNG buat coverline. Nasib token abang mengena dan abang keluar jap acah tunggu kawan. Lepas macam orang tak perasan abang terus slide kad TNG abang dan masuk balik naik nak tggu tren untuk ke Putra Heights. Apa abang nak buat kat Kelana Jaya ni? Dan yang paling kelakar dalam abang dok coverline abang masuk balik tren yang sama dan duduk sebelah amoi tidur tadi. Kali ni dia dah bangun dan buat muka pelik kenapa abang buat perangai keluar masuk tren. Ha tulah lain kali baca dulu sampai abis.

Ada satu perangai yang abang tak suke masa naik tren ni. Ada segelintir la tapi bukan semua yang acah-acah attention seeker. Bila berbual kalau boleh satu tren nak dengar lepas tu nak selfie bagai tunggula tak ramai orang atau sorok-sorok sikit. Perangai jakun bebawak simpan sikit. Jelek pulak abang dengan penumpang lain tengok. Cuba tengok kat Jepun tu dalam tren tiada bunyi bising pun senyap je. Abang teringin suasana macam dalam library tu kat dalam tren. Kita tak tau apa orang lain tengah buat so keep calm and stay silent jek dalam tren ok. Tadi abang ada dengar ada budak menangis. Taklah salahkan baby tu tapi mak budak tu takde rasa simpati dan inisiatif untuk diamkan baby tu.

Kawan abang call. Kebetulan dia ajak makan area shah alam. Abang pun cakap mana stesen terdekat untuk abang turun dia kata Glenmarie. So lagi dua stesen. So nampaknya tak dapatla abang completekan perjalanan abang sampai stesen terakhir hari ni maka lain hari abang cuba lagi. Masalahnya tren ni berhenti satu stesen pun makan lima minit abang pulak nak marah. Makcik depan abang ni da membebel hari-hari kena camni. Rabak gak emosi kalau da berkejar balik awal tapi tren buat hal. Kita boleh kata sabar tapi dalam hati siapa yang tahu.

Ok abang da sampai stesen Glenmarie so abang turun dulu. Taktau lagi bila abang boleh merasai kehidupan dalam tren ni lagi. Abang harap industri pengangkutan awam akan lebih maju supaya warga kota terus mempercayai dan menggunakannya sebaik mungkin. Abang kalau naik hari-hari mau penuh note abang tulis kan.

Abang gerak dulu…

“Kita hanya lihat dari jauh penderitaan orang lain. Sekali sekala cuba kita rasa apa deritanya sebelum pandai berkata-kata” – DMR

 

Final Exam Dah Dekat

Posted: 07/06/2016 in Bacaan Ringan

Haaaiaiiiiiihhhh…berabuk pulak blog ni lama benar tak menulis. Sampai skil menulis pun hilang. Oklah di bulan Ramadan yang mulia ni kita mengucapkan selamat berpuasa kepada semua semoga Ramadan kali ini lebih bermakna dari tahun yang sudah-sudah.

Takde topik spesifik nak tulis cuma terdetik nak share kenangan zaman belajar dulu sebab sekarang ni tengah musim final exam di semua Universiti Awam dan Universiti Swasta. So just a light reading on kerenah pelajar-pelajar dulu masa zaman UiTM Jengka tahun 2000-2003. Kalau ada sesiapa yang satu batch tapi lain kampus nak menambah silakan.

1. Geng Dekan

Geng ni adalah geng paling popular sekali waktu nak final exam. Manakan tidak, student dalam group ni biasanya akan jadi bahan rujukan, pertanyaan tak kira di mana hatta sedang gosok gigi pun akan ditanya jugak soalan. Tension gak beb kalau jadi geng ni sebab pergi mana-mana pun ko takkan rasa senang. Term untuk geng ni ialah : “ala korang takyah study pun takpe confirm DL punye sem ni”

2. Geng Kelawar

Geng ni paling heaven. Akan menggunakan sepertiga malam bukan untuk tahajud tapi untuk menelaah. Biasanya dua minggu menjelang final exam geng ni akan memulakan aktiviti mereka. Biasa masa kat UiTM dulu geng ni memang tak tido beb. Diorang akan start study pukul 12 malam sampai pukul 6 pagi tunggu dining bukak untuk sarapan pagi. Tapi masa study tu diselangi dengan main CM (Championship Manager dulu game paling legend zaman aku belajar) ataupun Counter Strike. Tu belum kira yang bergayut dengan awek jap carik semangat. Pulak tu lepas sarapan kat dining ada aktivit main bola tampar. Alasan bagi penat sebelum tido dari pagi sampai petang. Term untuk geng ni ialah : “study malam tenang beb, kalau siang sakit kepala…”

3. Geng Pyscho

Geng ni memang musibat. Time dok tengah minggu final exam la dia keluar pergi tengok wayang. Alasan filem tu baru keluar arini beb rugi kalau tak tengok. Apalah sangat spend masa dua jam bukan ko duduk study sepanjang masa pun. Ada yang buat2 tanya bila exam nak lagi haru ada yang bantai tido time roomate lain tengah pulun. Hari exam pulak dia duduk depan lepas tu angkat tangan lepas sejam konon tak cukup paper nak tulis jawapan. Padahal dia tulis selang sebaris jek. Paling psycho exam tiga jam tapi dua jam dia dah hantar beb, lepas tu lalu kat celah2 classmate lain sambil buat muka berlagak. Musibat!

4. Geng Tak Kisah

Geng ni paling cool. Diorang bukan tak fikir sangat pasal exam tapi diorang lebih fikir kat mane nak carik part time job time cuti semester lepas exam. Maka masa study week diorang akan balik bukan untuk mintak restu makbapak untuk mudahkan jawab exam tapi terus ke shopping mall atau restoren makanan segera yang boleh offer gaji sejam RM5.00 (time aku dulu kira besar beb). Dengan harapan kalau full swing time cuti semester nanti bolehlah rembat henpon baru atau baju baru atau upgrade speaker altec lansing. Nak beli buku? Jangan harap beb.

5. Geng Asabiah

Ok geng ni akan mula menganjurkan solat2 hajat dan aktiviti2 di surau agar keberkatan dalam menjawab exam dikurniakan. Tapi ada jugak yang malas study tapi acah2 ikut geng2 asabiah ni. Solat hajat tu kira ok jugak, di talanya kismis cerdik al-amin sampai tiga kotak konon dari Mekah lepas tu dibilas pulak dengan air yasin amik kat surau lepas solat hajat katanya. Tapi kalau kelas pun tuang, carry mark pun tak lepas mana datangnya berkat nok oiiii. Tapi apapun, geng ni menyedarkan beberapa group student yang perlunya kita berserah.

6. Geng Spot Question

Ok geng ni akan aktif sejak awal semester lagi. Diorang akan fotostat past year question dalam lima semester lepas dan kemudian buat analisis soalan yang bakal keluar. Biasanya diorang akan tengok mana soalan yang wajib keluar setiap tahun dan soalan yang jenis keluar dua semester atau tiga semester sekali. Bila dah dapat pedoman, diorang akan spot soalan yang bakal keluar dan study. Geng ni akan mula mendapat perhatian walaupun hanya satu dua soalan spot keluar. Kalau dari part one dah camni confirm sampai part six korang akan berdampingan dengan kaki spot ni.

7. Geng Part Timer

Geng ni paling steady. Sebab diorang ni part timer dan tak kisah sangat pasal pointer. Asal lepas sudah. Diorang ni walaupun tak study sangat tapi ada ilmu dan pengalaman di tempat kerja. Takpun jenis repeat paper dan dah tau camane perginya soalan tu. So dia acah2 pandai jelah tapi dalam exam dia akan turunkan semua yang dia ada sampai yang tak ditanya pun ditulisnya. Golongan ini biasanya jarang fail.

Maka dengan itu, jika kita merupakan salah seorang daripada golongan di atas maka bersyukurlah kerana kita masih menjadi centre of attraction dan berada di landasan yang tepat untuk mengelakkan diri dari dismiss. Ingat dismiss bakal membawa malapetaka dalam hidup anda namun kegagalan bukanlah jalan penyudah malah satu batu loncatan untuk terus berusaha pada masa akan datang.

Good luck dan selamat berpuasa 🙂

 

2015 in review

Posted: 05/01/2016 in Bacaan Ringan

The WordPress.com stats helper monkeys prepared a 2015 annual report for this blog.

Here’s an excerpt:

A New York City subway train holds 1,200 people. This blog was viewed about 6,300 times in 2015. If it were a NYC subway train, it would take about 5 trips to carry that many people.

Click here to see the complete report.

IKEA dan Kehidupan Kita

Posted: 29/01/2015 in Bacaan Ringan

IKEA gedung perhiasan dan peralatan rumah terbesar di dunia dan mempunyai cawangan hampir seluruh negara di atas bumi ini. IKEA berasal dari Almhult, Sweden diasaskan pada 1943 oleh Ivglar Kampard adalah peruncit perabot terbesar yang mengamalkan konsep ‘self assembled’ atau pasang sendiri. Gedung IKEA terbesar di dunia terletak di Gwanmyeong, Korea Selatan dengan keluasan 640,000 kaki persegi dan keuntungan kasar IKEA seluruh dunia pada 2013 dianggarkan lebih 28 juta Euro.

내년 말 개점하는 이케아 광명점 조감도IKEA Gwangmyeong, Korea Selatan

Saya juga penggemar IKEA. Bagi saya IKEA bukan hanya untuk golongan berada ataupun high class income earner tetapi harus dilawati bukan sahaja untuk shopping tetapi IKEA boleh membantu meningkat kualiti kehidupan kita melalui beberapa pendekatan. Tolak tepi kenikmatan lazatnya meatball dan halusnya ice cream vanilla, antara perkara yang boleh dipelajari hasil lawatan ke IKEA ialah :

  1. Sistematik

Pertama kali melangkah masuk ke mana sahaja stor IKEA di serata dunia, ia nampak teratur dan sistematik. Pembahagian kawasan dilakukan mengikut kesesuaian dan kehendak pelanggan. Dari perancangan membeli, susun atur, checklist dan pemasangan barang dibuat secara teratur dan sistematik. Penstrukturan ini jika diterjemahkan dalam bentuk kehidupan seharian kita akan jadi lebih mudah. Semua perkara yang ingin kita lakukan sangat teratur dan mengikut perancangan sama seperti kita melangkah masuk ke dalam gedung IKEA. Perjalanan hamper dua jam mengelilingi gedung IKEA seakan tidak dirasai. Ia seolah kita bangun seawal pagi dan menyusun pergerakan kita dari rumah ke pejabat. Setibanya di pejabat kita mula membuat to-do-list dan sasaran kita untuk hari tersebut dan akhirnya sebelum pulang kita melihat semula apa yang telah kita lakukan seharian di pejabat. Pulang ke rumah pula masa kita bersama keluarga dan tamatlah hari tersebut saat kita melelapkan mata. Ia sama seperti saat kita keluar dari gedung membawa pulang barangan dengan azam untuk pulang ke rumah dan berangan menikmatinya.

  1. Imaginasi

Kita melihat sesuatu barangan itu seakan mustahil untuk ditempatkan dalam ruang tamu atau bilik rumah kita tetapi apabila melangkah masuk ke gedung IKEA kita memperolehi cetusan idea dan otak mula berimaginasi tentang design atau susun atur mengikut kesesuaian rumah kita. Pelanggan mula mencongak susun atur dengan pelbagai ukuran agar sesuai dengan ruang mereka. Imaginasi ini boleh melangkaui pemikiran kita yang sebelum ini menidakkan perkara di luar jangkaan kita. Begitu juga dengan kehidupan dan beberapa keputusan penting yang perlu kita buat. Tanpa imaginasi tidak mungkin kita dapat menilai apakah kebarangkalian dan risiko keputusan yang dibuat. Dengan imaginasi juga kita dapat merealisasikan apa yang kita imipikan sebelum ini sama seperti mengimpikan sebuah sofa cantik di IKEA untuk diletakkan di ruang tamu kita.

  1. Kemahiran Hidup

Masih ingat aktiviti menggergaji dan memutar skru ketika mempelajari matapelajaran Kemahiran Hidup di zaman sekolah dulu? Jangan bazirkan kemahiran tersebut kerana IKEA mengajar kita untuk meneruskan kemahiran tersebut saat kita menjalani kehidupan. Tindakan IKEA utnuk tidak memasang siap semua perabot yang mereka jual bukan sahaja menjimatkan kos pengeluaran malah mengajar kita untuk melatih kemahiran hidup yang kita pelajari dulu. Ia semudah 1,2 dan 3 dengan syarat kita mengikut segala arahan yang dibekalkan dalam setiap barangan yang dibeli. Kadangkala setelah selesai memasang, kita tidak terfikir begitu mudah memasang barangan itu sehingga ia kukuh sebegitu. Teknik memutar skru, memasang kayu sandal, menggerudi adalah kemahiran asas bertukang dan ia mudah dan menjimatkan wang tanpa perlu memanggil tukang rumah. Ia juga turut menjadi asas kepada kita agar kerosakan kecil di rumah dapat diperbaiki serta merta. Bayangkan sebuah almari pasang siap yang dibeli kemudian mempunyai masalah pintu selepas dua tahun. Tanpa kemahiran ini, tentunya kita berpandangan membeli almari baru adalah jalan penyelesaian bukan?

  1. Sikap Manusia

Sikap manusia dibentuk dalam diri manusia itu sendiri dengan ilmu dan persekitaran yang positif. Ilmuwan berkata, jika kamu ingin menjadi pandai maka bergaullah dengan orang yang pandai nescaya kamu akan terkena tempiasnya. Bagi saya sikap yang positif adalah penentu kepada nilai diri seseorang. Di IKEA, pelanggan rata-rata mengamalkan konsep positif dari segi sikap. Perhatikan tatkala menikmati meatball di restorennya, semua cermat beratur tanpa sebarang rungutan. Ketika proses pembayaran juga tiada yang marah akibat beratur panjang kerana faham dengan situasi tersebut. Begitu juga sikap tolak ansur dan toleransi ketika mengambil barangan dari dek penyimpanan dan tiada yang mengambil kesempatan terhadap barangan yang dijual. Ini adalah sikap yang perlu disemai bukan sahaja di IKEA malah di mana-mana sahaja. Sikap toleransi, menghormati, sabar dan tolong menolong adalah sifat terpuji dan ia diamalkan di negara maju seperti Korea, Jepun dan sebahagian besar negara Eropah.

  1. Mengemas Meja Selepas Makan

Ini adalah sifat paling terpuji yang wajar dilakukan oleh semua rakyat Malaysia. IKEA menyarankan kita untuk mengemas meja selepas makan dengan meletakkan pinggan dan cawan di tempat yang disediakan dan membersihkan meja dan kawasan makan kita selepas makan. Dengan itu, IKEA dapat menjimatkan kos pekerja untuk pembersihan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan juga harga kos barangan yang dijual. Itu mungkin nampak sebagai strategi perniagaan tetapi bagi saya IKEA sebenarnya telah mengajak kita sebagai umat Islam terutamanya mementingkan nilai murni dan kebersihan. Di rumah kita turut diajar perkara yang sama tetapi di kebanyakkan kedai makan, kita dipandang enteng jika berbuat demikian. Tidak salah mengemas semula tempat makan di restoren makanan segera atau RNR bagi memudahkan orang terkemudian untuk menikmati jamuan mereka. Perkara ini turut dilakukan secara meluas di Jepun dan Korea dan ironinya mereka yang bukan Islam pun telah menjadikan perkara itu sebagai budaya. Sehubungan itu, wajarlah kita sebagai seorang Muslim mementingkan kebersihan dan membudayakan sikap mengemas meja selepas makan.

Selamat membeli belah 🙂