Archive for June, 2010

Pentas Piala Dunia kini tiba ke peringkat suku akhir dan lapan pasukan terbaik telah menempah tempat untuk bertemu sesama sendiri bagi merebut empat tempat ke separuh akhir. Ikuti ramalan saya bagi keempat-empat pertemuan ini.

Belanda vs Brazil

Buat kali ketiga sejak 1994, kedua-dua pasukan ini bertemu di peringkat kalah mati Piala Dunia dan untuk rekod Brazil tidak pernah kecundang di tangan skuad Oranje ini. Namun Belanda tampil dengan aksi low profile dengan membenam satu demi satu lawan mereka. Walaupun dikritik tidak mempamerkan persembahan bolasepak sebenar, pengurus Belanda lebih mementingkan keputusan dari permainan cantik. Berbeza dengan Brazil yang ternyata lebih garang apabila bergaya menundukkan Chile 3-0 pada pusingan 16 membuktikan skuad samba masih lagi pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia. Jika Wesley Sneider mengekalkan prestasi cemerlang dan Robin van Persie dapat mengakhiri kemarau jaringan, maka saya menjangkakan Belanda mampu mengikat Brazil ke penentuan penalti untuk menang. Namun jika gagal menyayingi kehebatan Luis Fabiano dan Robinho, ini ialah perlawan terakhir Belanda di Afrika Selatan.

Ramalan : Brazil 1 Belanda 0

Uruguay vs Ghana

Dua pasukan underdogs membuktikan penyertaan mereka kali ini membuahkan hasil. Uruguay bergaya dengan rekod tidak pernah tewas sekalipun berdepan finalis edisi lalu iaitu Perancis. Sentuhan David Suarez dan ketajaman Diego Forlan menjadi senjata utama. Ghana walaupun tewas sekali dalam peringkat kumpulan masih garang mengatur strategi sehingga Berjaya menumpaskan skuad ‘degil’ iaitu USA. Tonggak utama, Kevin Prince Boateng dan Asamoah Gyan antara yang perlu diberi perhatian. Ghana juga bakal diberi sokongan oleh penyokong tuan rumah yang tentunya mahu wakil benua Afrika menghiasi kelompok empat terbaik dunia. Agak sukar memilih pemenang pada 90 minit, dan saya jangkakan peminat akan diheret ke masa tambahan dan sepakan penalti.

Ramalan : Uruguay layak selepas penentuan sepakan penalti

Argentina vs Jerman

Sebagai pemerhati dan pencinta bolasepak, saya merasakan satu kerugian apabila menyaksikan salah satu dari pasukan ini bakal terkeluar. Argentina memang dilihat favourite dengan gandingan tiga serangkai Messi, Higuain dan Tevez yang begitu memukau. Jerman pula tampil dengan tenaga muda dan menjadi pasukan pertama membenam lawan sebanyak empat gol dalam dua perlawanan. Tidak dinafikan sumbangan pemain muda seperti Mueller, Ozil dan Podolski mampu member impak besar dalam perlawanan ini. Mertasacker mungkin menghadapi masalah jika Argentina mengamalkan corak hantaran pendek manakala tahap kecergasan pemain muda Jerman bakal jadi penentu jika perlawanan diheret ke masa tambahan. Dalam perlawanan tegang ini, pengalaman dan persediaan mental adalah penting dan di sini saya melihat Argentina ada kelebihan. Lebih separuh pemain Argentina telah beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia di Jerman lalu.

Ramalan : Argentina 2 Jerman 1

Paraguay vs Spain

Lengkap dari bawah hingga ke posisi serangan, skuad Espana dilabel pilihan. Aksi Paraguay yang kerap hilang idea untuk memecah kubu Jepun pada perlawanan pusingan 16 akan menjadi lebih sukar ketika berdepan Spain kali ini. Sebaliknya benteng Paraguay perlu bekerja lebih keras mengekang David Villa dan Fernando Torres di samping barisan tengah yang juga mampu menghasilkan jaringan. DEngan pemain simpanan juga bersedia untuk bermain apabila diturunkan, saya tidak nampak mengapa Spain tidak boleh pergi jauh pada edisi kali ini. Buat Paraguay, formasi 4-5-1 sesuai untuk menyerap asakan dan meminimumkan hantaran kepada Villa dan Torres. Dengan lima pemain tengah dan bermain di belakang bola, ia dapat menghampakan Iniesta atai Xavi sekurang-kurangnya menempah tuah di sepaka penalti.

Ramalan : Paraguay 0 Spain 2

Akhir kata, secara terbuka saya merasakan Uruguay-Brazil untuk separuh akhir pertama dan Argentina-Spain menjadi pilihan untuk separuh akhir kedua. Buat semua peminat, bersedialah dengan sajian bolasepak terbaik dunia.

 

BUNGKAM…Begitulah yang dapat digambarkan keadaan skuad Bolasepak UTM yang serba tidak menjadi dalam kejohanan SUKUM ke 35 di USM, Pulau Pinang. Selepas persiapan yang teratur serta barisan pemain yang dijangka menyinar, namun undian kumpulan yang dianggap kumpulan maut seperti yang diketahui lebih awal nyata menghantui skuad UTM kali ini. Usaha berlipat ganda telah diberika namun nasib nyata tidak menyebelahi skuad UTM dan dipaksa pulang awal buat tahun kedua berturut turut. Ikuti rangkuman sepanjang dua perlawanan di USM.

MATCHDAY 1 : UTM vs UNIMAP

UNIMAP bermula garang dengan kesebelasan utama dibarisi pemain berpengalaman Adrien Jurad Chamrong dan rata-rata 90% pemain yang menjulang Perlis bagi menjuarai Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini. Nyata UTM gagal memberi saingan apabila ketinggalan 2-0 selepas 20 minit permainan. Namun seminit sebelum rehat seorang pemain UNIMAP telah dilayangkan kad merah oleh pengadil akibat mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil. Kesempatan itu digunakan oleh UTM apabila Fitri Amir @ Ude merapatkan jurang kepada 2-1 lima minit bersambung babak kedua. Gol tersebut menaikkan semangat pemain UTM dan serangan bertali arus menyebabkan benteng UNIMAP panic secara tiba-tiba. Walaubagaimanapun pengalaman nyata memisahkan kedua-dua pasukan apabila UNIMAP tenang menyumbat gol ketiga yang nyata membunuh semangat pemain UTM. Gol tersebut turut mendapat bantahan apabila dua pemain UNIMAP berada dalam keadaan ofsaid ketika menjaringkan gol tersebut namun pengadil tetap membenarkan jaringan tersebut. UNIMAP terus menyerap tekanan dan menambah duka UTM dengan gol keempat hasil salah faham penjaga gol, Khairul Ali dan pertahanan Wan Mohd Norzaidi dan gol kelima selang beberapa minit kemudian melalui kesilapan Kahirul Ali yang mirip penjaga gol England, Robert Green. Keputusan akhir UTM 1 UNIMAP 5

MATCHDAY 2 : UTM vs UiTM

Menyedari tugas berat dalam misi hidup mati, UTM turun dengan harapan dapat mencuri tiga mata dalam pertemuan kedua dengan UiTM. Perlawanan bermula baik dengan asakan bertali arus namun peluang yang terhidang gagal disempurnakan oleh barisan hadapan yang diterajui oleh Zaini Kamar. Sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan gagal diterjemahkan dan penguasaan bola yang banyak memihak kepada UTM menolak anggapan yang barisan UiTM adalah pasukan pilihan. Ditambah pula dengan ‘hadiah’ kad merah kepadapemain UiTM pada separuh masa pertama, UTM masih gagal memanfaatkan kelebihan itu. Sebaliknya UiTM mendahului pada minit ke 30 separuh masa pertama hasil kelam kabut di hadapan pintu gol UTM. Bermula separuh masa kedua UTM menyerang habis-habisan. Hanya gol dapat merubah permainan dan menyelamatkan UTM dari tersingkir awal. Tetapi di sebalik keasyikan menyerang, benteng UTM yang dikepalai oleh Kamarulzaman Soeed dan Fauzee Hamdan seakan terlena dengan satu serangan balas yang membuahkan hasil untuk UiTM. Ketinggalan dua gol semakin membuatkan barisan UTM tertekan. Buat menambah tekanan, Fakhrulradzu Baharuddin pula dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua akibat terjahan dari belakang. Asakan akhirnya membuahkan hasil pada sepuluh minit terakhir menerusi gol oleh Wan Mohd Norzaidi namun segalanya sudah terlambat buat UTM. Keputusan akhir UTM 1 UiTM 2 dan UTM tersingkir untuk ke pusingan seterusnya.

Diharap dengan kegagalan ini, UTM akan bangkit dalam kejohanan SUKUM seterusnya di UTEM, Melaka. Untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai SUKUM ke 35, sila klik link berikut untuk melayari web rasmi SUKUM http://sukum35.usm.my/

Sukan Staf dan Kakitangan Universiti Malaysia (SUKUM) ke 35 kembali lagi dan kali ini, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang menjadi tuan rumah kejohanan. Pasukan Bolasepak UTM tidak ketinggalan menyertai kejohanan kali ini dengan azam untuk menempatkan diri ke perlawanan akhir. Hasil persiapan yang rapi selama tiga bulan di bawah pimpinan pengurus pasukan Mohd Khadari Saring dan jurulatih, Murhisham Mukazhir, UTM yakin dapat menumbangkan satu persatu lawannya di USM nanti.

Dua perlawanan ujian sebelum berlepas ke USM menjadi tonik terbaik buat UTM apabila mencatat kemenangan dalam kedua-dua pertemuan menentang pasukan yang menyertai Liga JBFA iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Maju Jaya FC dengan jaringan 4-2. UTM juga telah beberapa kali menerima pelawaan perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Super Johor FC dan Liga Super Johor yang masing-masing berakhir dengan kekalahan.

Berikut adalah barisan pemain dan pengurusan pasukan UTM:

Bil. Nama Posisi
1. Mohd Khadari Saring Pengurus
2. Murhisham Mukhazir Jurulatih
3. Khairul Ali Penjaga Gol
4. Megat Shahimi Noh Penjaga Gol
5. Wan Mohd Norzaidi Pertahanan
6. Budiman Jaafar Pertahanan
7. Erwan Hamdan Pertahanan
8. Wan Yusryzal Wan Ibrahim Pertahanan
9. Nazwar Arshad Pertahanan
10. Kamarulzaman Soeed Pertahanan
11. Mohd Fauzee Hamdan Pertahanan
12. Mohd Aidil Utoh Tengah
13. Shahrizan Ibrahim Tengah
14. Faezel Abdul Hamid Tengah
15. Fakhrul Radzi Baharuddin Tengah
16. Dzulhelmi Mohd Razali Tengah
17. Jemahari Hamjah Tengah
18. Mohd Fitri Amir Ramli Penyerang
19. Mohd Zaini Kamar Penyerang
20. Mohd Nordin Abdul Jalil Penyerang

Pada SUKUM kali ini, UTM diletakkan dalam kumpulan maut bersama-sama juara bertahan UNIMAP dan bekas finalis UiTM dalam kumpulan A. Walaupun berdepan pasukan pilihan, barisan pemain UTM yakin dapat menjinakkan mereka di peringkat kumpulan. Untuk rekod UTM kali terakhir memungut pingat perak pada tahun 2005 di Universiti Malaya dan selepas itu kerap tersingkir pada pusingan kalah mati. Tahun lalu, UTM tersingkir di peringkat kumpulan lagi.

Semoga tahun 2010 membawa sinar baru buat pasukan UTM. Selamat berjuang!

Bolasepak Piala Dunia 2010

Posted: 11/06/2010 in Sukan

WORLD CUP KEMBALI LAGI. Setelah empat tahun menyepi kini kita akan disajikan dengan perlawanan bolasepak terulung dunia. Selama sebulan dijangka kaki bola akan bersengkang mata bagi menumpukan acara terhebat dalam kalender bolasepak dunia. Bagi saya, WC yang saya lalui bermula tahun 1994 (ketika itu saya baru darjah enam) sama sahaja seperti WC yang terdahulu. Bukan saya kurang teruja kepada hadirnya WC tapi bagi saya WC sesuatu yang terlalu lama dinanti dan ada kalanya terlalu kejam. Bayangkan kita terpaksa menanti empat tahun lagi untuk menyaksikan WC berbanding debaran yang memuncak ketika menyaksikan perlawanan Champions League yang boleh kita saksikan setiap tahun. Bak kata Jose Mourinho, UCL lebih hebat dari WC ada benarnya. Ini kerana himpunan pemain dalam sesuatu kelab tersebut telah menggambarkan betapa mereka di kelas dunia.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna saya akan melupakan saingan WC kali ini. Bermula 1994 yang ketika itu hanya dapat menyaksikan perlawanan penting sahaja, kini kita boleh menikmati WC dalam siaran HD. Saya masih ingat ketika Roberto Baggio gagal menyempurnakan penalti pada perlawanan akhir 1994, insiden kad merah David Beckham pada 1998, tandukan maut Ahn Jung Hwan yang menyingkirkan Itali pada 2002, dan ‘tandukan’ Zinedine Zidane ke dada Marco Materrazzi pada edisi yang lalu antara insiden menarik yang dapat dirangkumkan dalam ingatan saya selama menyaksikan WC.

Tahun ini, WC kali pertama singgah di benua Afrika dan Afrika Selatan diharap dapat menutup kebimbangan mengenai keselamatan pemain, penyokong dan delegasi negara-negara yang hadir. Kebimbangan itu terjadi setelah beberapa pemain dan pegawai pasukan kebangsaan Togo yang diserang oleh pejuang pembangkang parti negara itu ketika pertandingan African Cup of Nation di Angola awal tahun ini. Beberapa hari sebelum sepak mula WC juga khabar buruk diterima apabila sekumpulan penyokong bolasepak Afrika Selatan cedera ketika merempuh masuk ke stadium dengan menggunakan tiket palsu. Diharap tahap keselamatan ini dapat dipertingkatkan bagi menjamin kelancaran WC di samping menjaga nama baik benua Afrika agar dipilih sekali lagi menjadi tuan rumah bagi pertandingan anjuran FIFA.

Sebelum sepak mula juga kita dikejutkan dengan kecederaan pemain-pemain berstatus bintang yang dianggap bakal menggegarkan WC. Namun begitu, kecederaan memang tak dapat dielakkan dalam permainan bolasepak ini. David Beckham awal-awal lagi telah diketepikan dan Michael Ballack pula tiga minggu sebelum ke Afrika Selatan. Lebih mengejutkan Rio Ferdinand, Didier Drogba, Arjen Robben, Micheal Essien dan Diego Milito antara nama-nama besar yang seakan 100% tidak dapat beraksi pada WC kali ini. Kini impak WC lebih tertumpu kepada Lionel Messi, Wayne Rooney, David Villa, Cristiano Ronaldo dan Kaka untuk memastikan pasukan masing-masing ke peringkat yang paling jauh pada kempen kali ini.

Ikuti ramalan saya mengikut kumpulan.

Kumpulan A

Afrika Selatan perlu membuktikan bahawa pemilihan mereka sebagai tuan rumah bukanlah sekadar mencukupkan kuota sebaliknya merupakan pengacau untuk kumpulan ini. Perancis dijangka mara mudah sebagai juara kumpulan namun saya memilih Uruguay untuk mara mengiringi Perancis.

Kumpulan B

Tiada apa yang mampun menghalang Argentina untuk muncul juara kumpulan. Prestasi menakjubkan Lionel Messi menjadi aset penting buat skuad Diego Maradona dan antara pilihan utama untuk memenangi WC ini. Prestasi Nigeria dalam African Cup of Nations yang agak goyah dan persembahan Greece yang sedikit menurun selepas menjuarai EURO 2004 sedikit menyukarkan mereka. Dijangka Korea Selatan mampu menjadi pengacau dan bakal mengulangi prestasi 2002. Saya memilih Argentina dan Korea Selatan untuk layak.

Kumpulan C

Kehilangan kapten Rio Ferdinand memberi tamparan hebat kepada Fabio Capello namun ketajaman Wayne Rooney akan menjadi sandaran England. USA menanti pertemuan pertama dengan England untuk dijadikan penanda aras, manakala Algeria dan Slovenia hanyalah sebagai pelengkap jadual kumpulan ini. England dan USA ke pusingan kedua.

Kumpulan D

Juara bertahan Itali menghadapai tugas mudah dalam kumpulan D. Tiga perlawanan awal ini boleh dianggap sebagai pemanas badan sebelum ke pusingan kedua yang lebih mencabar. Hanya Paraguay dijangka mampu mencabar ketika penampilan pertama New Zealand dan Slovakia dilihat tidak mampu menyekat kemaraan Itali dan Paraguay.

Kumpulan E

Kumpulan ini dianggap seimbang ketika skuad The Oranje dianggap pilihan, prestasi Denmark juga tidak harus diketepikan. Jepun pula dianggap duri dalam daging ketika prestasi dalam perlawanan persahabatan yang mana mereka tewas kesemuanya tidak boleh dianggap lemah. Manakala Cameroon masih berpeluang walaupun dicemari kontroversi sebelum berangkat ke Afrika Selatan. Saya memilih Netherlands dan Jepun untuk mara.

Kumpulan F

Juara bertahan, Itali berdepan pasukan kurang ternama seperti New Zealand dan Slovakia dan hanya Paraguay dianggap mampu mencabar. Paraguay pula harus berhati-hati menanti cabaran skuad Kiwi dan Slovaks jika mahu mara ke pusingan kedua. New Zealand dan Slovakia hanya mengharapkan keajaiban untuk melangkah ke pusing seterusnya.

Kumpulan G

‘Kilang’ pemain di planet bumi, Brazil seringkali dilabel sebagai pilihan dan tidak dapat tidak pada edisi kali ini. Sekalipun mengetepikan Ronaldinho dan Adriano, barisan impian Brazil sudah bersedia merangkul kejuaraan keenam mereka. Berdepan pendatang baru, Korea Utara, dianggap cabaran baru buat kedua-dua pasukan. Begitu juga dengan Portugal yang dianggap Brazil kedua boleh dilabel, perlawanan terbaik kumpulan. Jaguh Afrika, Ivory Coast juga boleh mencabar jika dibiar bermaharajalela. Bagi kumpulan maut ini, saya memilih Brazil dan Portugal ke pusingan kedua.

Kumpulan H

Juara Eropah, Sepanyol sekali lagi tampil untuk memburu Piala Dunia pertama mereka. Berhadapan dengan pasukan kerdil, Sepanyol mungkin tidak mempunyai masalah untuk mara. Satu lagi tempat direbut antara Switzerland dan Chile manakala Honduras dilihat tidak mampu mencabar. Sepanyol dan Switzerland mara ke pusingan seterusnya.

Selamat menyaksikan WC 2010!

Konsert Double Trouble

Posted: 11/06/2010 in Hiburan

 

 

HEBAT. Begitulah yang dapat diungkap kepada kumpulan Wings dan Search dalam persembahan Konsert Double Trouble (DT) kali kedua di Stadium Larkin, malam Sabtu, 5 Jun 2010. Setelah berjaya menghiburkan lebih 20,000 penonton setia rockers Malaya ini pada 1 Mei lalu di Bukit Kiara Equestrian Resort, peminat rock kapak tidak melepaskan peluang untuk bersama sekali lagi di Johor Bahru. Tidak hairanlah kenapa mereka sanggup datang dari Lembah Klang, seluruh negeri Johor dan Singapura untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada 20,000 (malah rasanya lebih daripada itu kerana seluruh pelusuk padang Stadium Larkin padat dengan peminat), angka yang sekali lagi mengulangi rekod yang sama seperti di Kuala Lumpur.

Ditemani Isma Halil Hamzah dan dijanjikan 30 buah lagu, DT bermula tepat jam 9.30 malam dengan lagu berhantu DT, Gemuruh, penantian sejak jam 6.00 petang berakhir. Selepas itu lagu-lagu dari album DT dialunkan berselang seli oleh Awie dan Amy. Antaranya Gema Di Inderaloka, Mabuk Tujuh Lautan dan Cakap Memang Murah. Selepas itu Awie nampak sedikit ‘pancit’ selepas menyanyikan lagu Lipas Kudung dan Amy dan Search menguasai gelanggang sehingga lagu ke 15. Meniti Titian Usang, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Isabella, Pawana, Pelesit Kota menjadi habuan penonton yang turut menyanyi bersama-sama. Kemudian Awie kembali dengan Sejati, Opera Hidup, Awang Trasher dan beberapa lagu lagi sebelum Yazid (Search) dan Kid (Wings) ‘berperang’ sesame sendiri dengan set dram masing-masing.

10 lagu yang terakhir menampilkan enam lagu yang dimedleykan iaitu Rozana, Semalam Yang Hangat, Gadisku, Taman Rashidah Utama, (lagu ni lupa) dan Misteri Mimpi Syakila. Selepas itu disambung dengan lagu tribute Holy Diver dan selepas itu DT digamatkan lagi dengan gorengan gitar Joe Wings dan Kid Search dengan begitu mengasyikkan sekali. Akhir sekali, DT ditutup dengan lagu RNR Lu Punya Suka yang dinyanyikan bersama Awie dan Amy tepat jam 12.30 malam.

Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan DT selepas 17 tahun tidak mendengar Wings dan Search secara live. Saya juga amat kagum dengan tenaga luar biasa Amy dan tarikan vokal Awie (walaupun kadangkala tak sampai) yang mengubat rindu rockers semua. Bagi yang membesar dengan lagu-lagu Wings dan Search, DT memang mengasyikkan dan tidak rugi melabur RM70.00 kerana kita tidak tahu bila lagi dapat menyaksikan DT ketika Amy ketika ini sudah menginjak usia 50an dan vokal Awie tidak sehebat dulu. Namun DT tetap HEBAT!

ALHAMDULILLAH…Setelah sekian lama mengidam untuk mewujudkan laman blog ini, akhirnya hari ini terlaksana jua impian itu. Sebenarnya, saya merancang untuk menulis dalam blog ini bermula Januari 2010 tetapi kesuntukan masa dengan tugas harian dan aktiviti semasa yang membuatkan usaha itu terbantut. Pengetahuan tentang bloggers juga harus didalami sebelum memulakan blog ini.

Berikut adalan sedikit info mengenai blog:

  1. Berasal dari perkataan web log dan kemudian disingkatkan kepada blog;
  2. Biasanya dikendalikan oleh seseorang secara individu atau berkumpulan. Ia terpulang kepada kategori blog itu sama ada blog individu atau blog organisasi;
  3. Berfungsi sebagai tulisan harian seperti dairi ataupun sesuatu medium untuk memberi idea, meluah kan rasa dan mendapatkan informasi;
  4. Kebiasaannya blog berbentuk tulisan atau artikel dan biasanya ada komen yang membina sebagai respon dari pelayar yang membaca blog tersebut. Ada juga yang berbentuk video blog, audio blog, photo blog dan MP3 blog;
  5. Blog juga sebagai satu medium untuk meningkatkan visibiliti di mana visibiliti juga merupakan salah satu cara untuk mempromosikan organisasi dan informasi ke seluruh dunia,

 

Akhir kata, selamat menyelusuri blog di alam maya dengan penuh berhemah dan beretika. Saya menanti segala komen dan cadangan semua untuk bersama-sama kita berkongsi informasi dalam apa jua topik yang dibincangkan. Terima kasih.