Archive for December, 2015

Misi 33 Pelengkap 2015

Posted: 31/12/2015 in Sukan

Selalunya apa yang berlaku sekitar November dan Disember setiap tahun dilihat sebagai pelengkap pada tahun tersebut. Kita lupa apa yang terjadi pada awal dan pertengahan tahun yang memberi impak dan kemanisan yang lebih beerti. Namun, tiada yang lebih beerti pada tahun 2015 apabila melihat Selangor menjulang Piala Malaysia kali ke-33 pada usia aku yang juga menginjak 33 pada tahun ini. Lebih 10 tahun menanti ternyata tiada apa lagi dapat ditafsir dengan kejuaraan ini. Apatah lagi dengan harapan yang langsung tiada, barisan pemain yang tidaklah bertaraf bintang malah dibayangi pasukan handal terutama dari selatan tanah air, Merah Kuning dilihat kempunan lagi misi 33.

Bermula hambar pada peringkat kumpulan sehingga tertulisnya artikel 10 Tahun dan Terus Menanti pada 2 Oktober 2015 seolah-olah tidak percaya Selangor mampu melangkah ke suku akhir. Selepas seri dengan Pahang di Stadim Darul Makmur pada separuh akhir pertama, harapan itu seakan menyala. Stadium Shah Alam mula dibanjiri seakan tahun 1995, 96 dan 97 ketika Selangor menjuarai Piala Malaysia secara hatrik. 2-0 menjadi saksi Pahang tumbang dek jaringan De Paula dan Nazmi Faiz Mansor.

Tanggal 12 Disember tarikh keramat dinanti. Final idaman bukan bertemu JDT tapi Kedah negeri jelapang padi. Dapat dibayangkan suasana stadium merah kuning dan hijau kuning, sungguh meriah sekali. Kali terakhir Selangor bertemu Kedah dalam final ialah pada 2008, ketika itu Selangor seakan budak-budak, dimalukan Kedah 3-1 seterusnya menjuarai Piala Malaysia dan kejuaraan treble untuk tahun kedua berturut-turut. Tapi 2015, pertemuan dengan Kedah, juara Liga Perdana dilihat terbuka. Ini kerana Kedah berjaya menundukkan Felda United, pasukan yang menjinakkan JDT di suku akhir. Jadi Hijau Kuning tidak boleh dipandang enteng. Wira Selangor 2005, Bambang Pamungkas turut mengirimkan salam semoga berjaya melalui twitternya membuktikan betapa dahaganya Selangor selepas hatrik BEPE pada 1 Oktober 2005 yang lalu menghadiahkan PM ke-32 buat Selangor.

Sepanjang perjalanan dari Johor Bahru, bendera merah kuning berkibaran. Ada dalam enam tujuh kereta dari selatan sengaja mengusik emosi bangsa JDT dengan kibaran nakal itu. Tetapi sebenarnya telah 10 tahun menanti. Ketika tiba di Bangi, Kajang dan Shah Alam, suasana semakin happening walaupun jam baru menunjukkan pukul 1.00 tengahari. Tak mahu kesesakkan jalanraya menjadi penghalang, jam 2.00 petang aku telah tiba di perkarangan stadium bersama sebahagian penyokong Kedah yang baru tiba. Tiada provokasi atau caci maki, malah bolasepak itu telah menyatukan yang jauh dan dekat.

Warga Selangorfc.com telah mula berkumpul seawal jam 3.00 petang. Hujan lebat mencurah di bumi Shah Alam ketika itu. Hari ini juga merupakan gathering paling ramai warga SFC yang mula bertapak seawal 2003. Inilah keluarga bolasepak merahkuningku, teman ke stadium dan aktiviti sosial dan final ini telah membawa pengumpulan ahli yang paling ramai tahun 2015 ini. Bergerak masuk ke stadium keramat jam 4.30 petang dan masuk dan duduk mengambil tempat jam 5.00 petang, empat jam sebelum sepak mula…hambekkkkk kooooo.

IMG_4857

Pukul 5.00 dah masuk stadium nak jadi apa???

IMG_4865

Keadaan Stadium Shah Alam dua jam sebelum sepak mula

Penantian empat jam tidak terlalu menyeksakan. Lawan sorak, melayan ombak, chanting bersama SSFC dan melayan borak dengan warga SFC yang lain mengisi masa tersebut. Stadium semakin padat pada jam 7.00 malam dan hijau kuning mula menguasai stadium padahal main kat Shah Alam ni. Inilah hakikat terpaksa ditelan, mana-mana pasukan yang menentang Selangor di final pasti ada kelebihan kerana ada fan based di lembah klang. Tapi yang penting jangan buat onar dan suasana final tetap meriah.

IMG_4879

Merah Kuning dan Hijau Kuning bermandi cahaya sebelum sepak mula

12342717_10207085910057661_8480881462509672752_n

Abam Bocey penat naik tangga dengan layan selfie peminat. Mirip arwah Kelanang

Tepat jam 9.00 perlawanan bermula. Lagu negeri Selangor paling kuat pernah dinyanyikan dua minit sebelum itu. 40,000 penyokong bergabung menggamatkan stadium. Tidak menunggu lama selepas sepak mula, hanya tiga minit diperlukan Selangor untuk membuat penyokong naik hantu. Hazwan Bakri yang entah dari mana datang sebelum ni korang pun tak kenal tiba-tiba menyungkit bola melepasi budak mentah Kedah untuk Selangor mendahului 1-0. Selepas itu game menjadi hambar kerana Selangor lebih kepada closedown game ketika defending dan jarang mendapat peluang untuk menyerang.

IMG_4940

Hazwan menyungkit masuk ketika perlawanan baru berusi tiga minit

Bermula separuh masa kedua, skrip yang sama hampir berulang. Tiga minit sahaja dan Hazwan Bakri sekali lagi dengan first time shot terus ke penjuru. Sekali lagi penyokong Selangor gamat dengan sorakan. Kali terakhir rasanya menikmati saat ini ketika Selangor menjuarai Piala FA pada 2009 dan kalau nak dekat pun ketika Selangor hampir menang dengan JDT awal tahun 2015. Tapi kali ini memang berbeza, semua mengharapkan wisel penamat cepat ditiup. Selangor mengendurkan asakan memantapkan pertahanan dan hanya sekali sekala menyerang. Kalau S.Veenod, De Paula dan Andik lebih cermat, dua jaringan lagi boleh dihasilkan hasil serangan balas. Kedah pula bermain 10 orang ketika budak mentah Kedah iaitu penjaga gol mereka begitu excited membuat tepisan di luar kotak penalti. Nyata pengalaman memisahkan barisan Selangor dan Kedah malam itu.

IMG_4944

Hazwan merembat leret ke penjuru kiri untuk gol kedua

Tepat jam 11.03 pengadil menuipkan wisel keramat itu dan kegembiraan jelas terpancar. 10 tahun menanti detik sebegini. Saat penyokong Kedah keluar meninggalka tempat duduk, Peminat berseragam merah kuning masih setia menanti majlis penyampaian hadiah dan julangan Piala Malaysia oleh kapten Shahrom Kalam dan MB Selangor Azmin Ali. Nyata walau main tak berapa cantik tapi determination dan semangat juang tinggi mengangkat Selangor sebagai juara tahun ini. Kejuaraan ini juga mengenang sahabat SFC kami Allahyarham Suzaizul Kamal @ Kelanang yang dahulu setia menonton bersama-sama. Kedatangan Abam Bocey yang kebetulan duduk di depan aku dilihat persis arwah Kelanang dengan badan besarnya.

IMG_4950

Barisan gemilang Selangor dengan piala keramat untuk kali ke-33. Berapa banyak bintang nak letak kat jersi tahun depan?

IMG_4895

Round of honour terganggu dek sekumpulan peminat ini. Barangkali baru sokong Selangor agaknya.

Pesta terus bermula dengan paluan gendang dan nyanyian sehingga 11.30 dan kami beransur-ansur pulang namun belum pulang ke destinasi masing-masing tapi ke port tempat kami berkumpul sebelum masuk ke stadium tadi. Lepak-lepak minum-minum beramai-ramai selepas mengecapi kemenangan memang telah lama tidak berlaku dalam keluarga SFC. Malam itu seakan berlarutan tapi kekal muda macam pukul 8.00 padahal dah pukul 2.00 pagi. Ditambah pula dengan kesesakan bas-bas Kedah yang masih belum dapat keluar, akhirnya jam 2.30 baru masing-masing bergerak balik. Aku jua menempuh perjalanan yang jauh ke selatan dengan tenang walaupun mengantuk tahap gaban. Tapi moment sebelum pulang memang win bila sebahagian penyokong Kedah membuat barisan panjang di tepi bas sambil bertepuk tangan dan mengucapkan tahniah kepada sebahagian ahli kumpulan yang melepasi mereka. Dibalas dengan salaman pelukan memujuk untuk cuba lagi pada tahun hadapan.

IMG_4928

Susah senang kalah menang kami tetap bersama. Keluarga besar SelangorFC.com

Itulah bolasepak kita yang penuh warna-warni. Jangan kerana sebahagian yang mendakwa mereka ‘die hard fan’ sampai sanggup berasap-asap, budaya murni ini terus dilupakan.

Sebelum berpisah, abang belanja video champion ni sebab nak tunggu next Piala Malaysia makan 10 tahun lagi kot. Biarlah team lain menang pulak bagi dekat sikit dengan 33 tu.

Akhir kata Merah Kuning, Merah Kuning Itu Selangor Itu Selangorrrrr….

https://www.youtube.com/watch?v=kpJeTYIn2Vg

Kredit : SelangorFc.com, Daily Sukan, Imran Nanana, FA Selangor