Piala Dunia 2010 : Ramalan Suku Akhir

Posted: 30/06/2010 in Sukan

Pentas Piala Dunia kini tiba ke peringkat suku akhir dan lapan pasukan terbaik telah menempah tempat untuk bertemu sesama sendiri bagi merebut empat tempat ke separuh akhir. Ikuti ramalan saya bagi keempat-empat pertemuan ini.

Belanda vs Brazil

Buat kali ketiga sejak 1994, kedua-dua pasukan ini bertemu di peringkat kalah mati Piala Dunia dan untuk rekod Brazil tidak pernah kecundang di tangan skuad Oranje ini. Namun Belanda tampil dengan aksi low profile dengan membenam satu demi satu lawan mereka. Walaupun dikritik tidak mempamerkan persembahan bolasepak sebenar, pengurus Belanda lebih mementingkan keputusan dari permainan cantik. Berbeza dengan Brazil yang ternyata lebih garang apabila bergaya menundukkan Chile 3-0 pada pusingan 16 membuktikan skuad samba masih lagi pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia. Jika Wesley Sneider mengekalkan prestasi cemerlang dan Robin van Persie dapat mengakhiri kemarau jaringan, maka saya menjangkakan Belanda mampu mengikat Brazil ke penentuan penalti untuk menang. Namun jika gagal menyayingi kehebatan Luis Fabiano dan Robinho, ini ialah perlawan terakhir Belanda di Afrika Selatan.

Ramalan : Brazil 1 Belanda 0

Uruguay vs Ghana

Dua pasukan underdogs membuktikan penyertaan mereka kali ini membuahkan hasil. Uruguay bergaya dengan rekod tidak pernah tewas sekalipun berdepan finalis edisi lalu iaitu Perancis. Sentuhan David Suarez dan ketajaman Diego Forlan menjadi senjata utama. Ghana walaupun tewas sekali dalam peringkat kumpulan masih garang mengatur strategi sehingga Berjaya menumpaskan skuad ‘degil’ iaitu USA. Tonggak utama, Kevin Prince Boateng dan Asamoah Gyan antara yang perlu diberi perhatian. Ghana juga bakal diberi sokongan oleh penyokong tuan rumah yang tentunya mahu wakil benua Afrika menghiasi kelompok empat terbaik dunia. Agak sukar memilih pemenang pada 90 minit, dan saya jangkakan peminat akan diheret ke masa tambahan dan sepakan penalti.

Ramalan : Uruguay layak selepas penentuan sepakan penalti

Argentina vs Jerman

Sebagai pemerhati dan pencinta bolasepak, saya merasakan satu kerugian apabila menyaksikan salah satu dari pasukan ini bakal terkeluar. Argentina memang dilihat favourite dengan gandingan tiga serangkai Messi, Higuain dan Tevez yang begitu memukau. Jerman pula tampil dengan tenaga muda dan menjadi pasukan pertama membenam lawan sebanyak empat gol dalam dua perlawanan. Tidak dinafikan sumbangan pemain muda seperti Mueller, Ozil dan Podolski mampu member impak besar dalam perlawanan ini. Mertasacker mungkin menghadapi masalah jika Argentina mengamalkan corak hantaran pendek manakala tahap kecergasan pemain muda Jerman bakal jadi penentu jika perlawanan diheret ke masa tambahan. Dalam perlawanan tegang ini, pengalaman dan persediaan mental adalah penting dan di sini saya melihat Argentina ada kelebihan. Lebih separuh pemain Argentina telah beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia di Jerman lalu.

Ramalan : Argentina 2 Jerman 1

Paraguay vs Spain

Lengkap dari bawah hingga ke posisi serangan, skuad Espana dilabel pilihan. Aksi Paraguay yang kerap hilang idea untuk memecah kubu Jepun pada perlawanan pusingan 16 akan menjadi lebih sukar ketika berdepan Spain kali ini. Sebaliknya benteng Paraguay perlu bekerja lebih keras mengekang David Villa dan Fernando Torres di samping barisan tengah yang juga mampu menghasilkan jaringan. DEngan pemain simpanan juga bersedia untuk bermain apabila diturunkan, saya tidak nampak mengapa Spain tidak boleh pergi jauh pada edisi kali ini. Buat Paraguay, formasi 4-5-1 sesuai untuk menyerap asakan dan meminimumkan hantaran kepada Villa dan Torres. Dengan lima pemain tengah dan bermain di belakang bola, ia dapat menghampakan Iniesta atai Xavi sekurang-kurangnya menempah tuah di sepaka penalti.

Ramalan : Paraguay 0 Spain 2

Akhir kata, secara terbuka saya merasakan Uruguay-Brazil untuk separuh akhir pertama dan Argentina-Spain menjadi pilihan untuk separuh akhir kedua. Buat semua peminat, bersedialah dengan sajian bolasepak terbaik dunia.

Leave a comment