Kerja Mudah Buat Jadi Susah

Posted: 02/08/2017 in Sukan

Perlawanan kedua berlangsung pada 31 Julai menyaksikan UTM berjaya menewaskan UM 4-3 di Padang A, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI. UTM mengekalkan kesebelasan yang sama dengan misi wajib menang ke atas UM sementara UM yang tewas perlawanan pertama menentang UIA juga mengharapkan kemenangan bagi menghidupkan peluang mereka mencongak ke suku akhir. Namun begitu Faezel Hamid meletakkan UTM di hadapan hanya selepas lapan minit perlawanan berlangsung melalui gerakan solo dari sebelah kanan. Selepas itu perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Lima minit sebelum separuh masa pertama tamat, pertahanan UM dilayangkan kad merah atas profesional foul terhadap Faezel namun sepakan percuma itu hanya menyinggah palang.

Separuh masa kedua UTM garang menyumbat dua lagi gol sekali lagi melalui Faezel melalui gerakan cepat Wan Yusryzal dan hantaran lintang Wan Norzaidi yang ditanduk masuk Faridzuan dalam masa 20 minit. Selepas water break malapetaka tiba-tiba datang. Dengan tidak semena-mena UM mencuri satu gol hasil dari perangkap ofsaid yang tidak dikesan pengadil. Lima minit selepas itu, tangkapan penjaga gol Mohd Afiq, lucut dari genggaman lantas ditanduk mudah oleh pemain veteran iras-iras Soh Chin Aun yang berusia awal 50an. Gol tersebut menyentap terus semangat UM hasilnya gol penyamaan terhasil melalui sepakan cantik kapten pasukan UM menjadikan kedudukan 3-3 pada tiga minit terakhir.

Pemain UM melancarkan serangan bertali arus selepas water break.

Satu UTM Sanjungan Bangsa

Awan yang berarak gelap tidak bermakna akan menurunkan hujan yang lebat. UTM tidak berputus asa menghukum UM yang ligat menyerang. Satu hantaran lintang oleh Wan Norzaidi dicabar oleh Faridzuan bersama penjaga gol UM. Kerana tersilap jangkaan, Faridzuan menanduk mudah masuk ke dalam gol ternganga pada minit terakhir permainan. Bagai telah tertulis kemenangan milik UTM, pengadil terus meniup wisel kemenangan seminit selepas gol tersebut.

Kapten pasukan, Faezel Hamid mengucap syukur dengan kemenangan namun terkejut dengan perubahan corak permaianan setelah mendahului 3-0.

Kita bermain sambil lewa dan tidak menghormati lawan sedangkan perlawanan belum berakhir. Semoga perlawanan ini dapat menjadi pengajaran untuk kita lebih berwaspada pada perlawanan yang seterusnya“, ujarnya dengan nada lesu selepas dikeluarkan akibat kecederaan.

Dengan kemenangan ini, bermakna UTM harus menang dalam perlawawan terakhir menentang UIA untuk layak ke suku akhir. UIA dan UM seri 1-1 pada perlawanan yang diadakan pada masa yang sama di padang bersebelahan.

Kesebelasan Utama UTM

Depan (dari kiri) : Thaqif, Adam, Dzulhelmi, Faezel, Faris, Faridzuan

Belekang (dari kiri) : Afiq, Wan Norzaidi, Wan Yusryzal, Nazwar, Ghazali

Kekalahan adalah proses kepada kemenangan dan pengalaman kepada kematangan – DMR

Leave a comment