Bukan Kalah Cuma Tak Menang

Posted: 04/08/2017 in Sukan

‘Bukan Kalah Cuma Tak Menang’

Itulah yang mempu diungkapkan ketika melihat UTM hanya mampu seri 0-0 dengan UIA pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan acara bolasepak SUKUM 2017 di Padang B, Kampus Sultan Abdul Jalil, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1 Ogos 2017.

UTM melakukan satu pertukaran pemain di barisan pertahanan apabila Wan Norzaidi mengadu cedera di bukulali sewaktu sesi pemanasan badan, lantas menyaksikan Shafie masuk menggantikan beliau untuk berganding dengan Dzulhelmi di pertahanan tengah. Perlawanan bermula menarik dengan serangan dari UTM mengasak kubu lawan untuk mencari gol awal. Faezel dan Faridzuan licik bergerak bersama dan menghasilkan tiga peluang melalui sepakan percuma yang terkena palang dan dua lagi percubaan yang diselematkan oleh penjaga gol UIA. Tamat separuh masa pertama dengan kedudukan kekal 0-0.

Sesi regangan pada separuh masa akibat dari perlawanan yang rancak

Sebaik sahaja separuh masa kedua bermula, UTM terus mengasak setelah mendapat tonik kata-kata semangat dari CDM UTM, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman yang sempat hadir memberi sokongan. Sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalty diambil Faezel ditampan sekali lagi oleh penjaga gol UIA. Menyedari diasak teruk, UIA mengurangkan kenduran di barisan atas dan memasukkan pemain pertahanan. UTM masih tidak berputus asa terus melancarkan serangan dari segenap sudut. Namun dua percubaan dari Faridzuan masih gagal menggegarkan jaring UIA. Nyata penjaga gol mereka wajar dianugerahkan pemain terbaik. Hingga ke hujung permainan, UTM masih buntu dan akhirnya UIA gembira dengan keputusan 0-0 untuk melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.

Pengurus UTM, Mohd Noorazam memuji persembahan penuh disiplin pemain UTM dan menyatakan hanya nasib tidak menyebelahi pasukan UTM.

“Kita datang untuk menang dan bermain untuk menjaringkan gol. Semua pemain senior bermain baik malah tidak ditukarkan. Hanya pemain veteran sahaja yang keluar masuk. Semangat pemain untuk menang itu ada dan kita telah bermain untuk perancangan namun kubu UIA lebih kukuh”, ujar beliau.

Ditanya mengenai peluang pasukan UTM ke peringkat seterusnya, Noorazam menyatakan peluang tipis kerana pasukan USM tentunya akan menjadikan UM mangsa seterusnya sebelum ke peringkat suku akhir.

“Walaupun harapan tipis, kita masih menunggu keputusan USM-UM, mana tahu ada kejutan yang membolehkan kita layak ke suku akhir”.

Setelah perlawanan ketiga UTM hanya meraih empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan. UIA pula meraih lima mata dan sah ke suku akhir.

Kesebelasan utama UTM menentang UIA

Depan (dari kiri) : Adam, Faezel, Dzulhelmi, Nazwar, Faris, Faridzuan

Belakang (dari kiri) : Afiq (PG), Shafie, Ghazali, Wan Yusryzal, Thaqif

 

Mistakes are to be corrected. Its make you a better person and more matured – DMR

Leave a comment