Makna SUKUM Buat Saya

Posted: 12/08/2017 in Sukan

Tahun ini merupakan tahun kelapan saya menyertai kontigen UTM untuk ke Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM). Bermula dari 2008 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)  sehingga 2015 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum berehat seketika pada 2016 (itupun kerana universiti tidak menyertai acara bolasepak) dan pada tahun 2017 sekali lagi berbaju UTM di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Tidak banyak kejayaan sepanjang menyertai SUKUM berbanding ketika zaman belajar di UiTM dahulu. Kalau dahulu di UiTM boleh dikira dengan jari berapa kali saya dan pasukan bolasepak UiTM gagal dan pulang tangan kosong. Tetapi di UTM lain ceritanya. Selama lebih lapan tahun, hanya satu pingat dari edisi 2013 di Universiti Kebangsaan Malaysia, itupun gangsa.

 

Namun penyertaan SUKUM bukanlah bersifat kemenangan semata-mata. Untuk kemenangan, kita perlu ada material yang lengkap, sistem latihan yang sempurna serta motivasi yang tinggi dari pihak ketiga. Itu semua telah saya lalui semasa bersama skuad UiTM FC. Di UTM sebagai atlet SUKUM, ini semua terhad. Ia adalah berbentuk sukan massa bukanlah bersifat prestasi tinggi seperti zaman muda mudi dahulu. Ada teman bertanya, kenapa masih menyertai SUKUM walaupun sering pulang tangan kosong? Saya kongsikan kenapa?

 

  1. Networking

Sebenarnya SUKUM merupakan medium tepat untuk networking secara live bersama staf-staf dari UA lain. Bayangkan semua Juruteknik, Pengawal Keselamatan, Pembantu Tadbir, Penolong Pendaftar, Pensyarah mahupun Doktor yang merawat pemain bertemu sesama sendiri dan boleh berbincang su terkini bukan sahaja mengenai sukan tapi hal ehwal tugas dan kampus masing-masing. Jika dilihat secara positif, waktu makan bersama, acara perasmian merupakan detik tepat untuk melakukan networking singkat ini untuk kegunaan masa hadapan. Saya sendiri akan menemui rakan-rakan zaman belajar dahulu di SUKUM. Baru-baru ini, terjumpa pula rakan urus setia konvo dan sempat cerita mengenai hal kerja yang sangat light. Pada saya itu amat berkesan.

Bersama bekas rakan sepasukan di UiTM FC, Tom dan Ejam yang kini bertugas di UiTM

  1. Kebersamaan

Sejak menyertai SUKUM, saya bayangkan semua rakan-rakan pemain, pengurus, jurulatih mahupun kitman sebagai satu keluarga. Sama seperti di UiTM FC dulu. Sebab itu kita letakkan taraf dan jawatan di UTM sebelum ke SUKUM kerana sebaik sahaja melangkah kaki ke tangga bas, mereka adalah keluarga saya dan tiada bezanya saya dan mereka. Malah dari padang latihan lagi, kita terapkan tiada keistimewaan buat individu. Perjalanan bersama, makan bersama, menginap bersama dan pergi game bersama. Untuk lima hari berSUKUM, inilah keluarga dan kebersamaan yang diterapkan. Inilah masa untuk bertukar pandangan, mengenali rakan, berkongsi hobi agar lebih akrab sebelum masing-masing bertugas semula.

Sebuah keluarga sementara sebelum bertolak dan berkampung di UPSI

  1. Kenali Universiti

Pernah ke kita jelajah seluruh UA di Malaysia ni? Saya Alhamdulillah. Berkat bermain dengan UiTM FC dulu banyak UA telah saya jelajahi. UiTM sahaja ada 14 kampus (waktu itu) dan kebanyakkan telah saya lawati untuk bermain bolasepak di sana. Menyertai SUKUM juga begitu. Banyak UA telah saya lawati dan melihat sendiri lokasinya, Bandar yang berhampiran, kemudahan yang disediakan serta fasiliti padang dan fasiliti lain. Tidak ketinggalan juga bangunan-bangunan unik terutama bagi UA lama yang kelihatan menarik untuk diabadikan gambar kenangan. Of course, kalau pergi SUKUM mesti kena cari tempat-tempat menarik untuk liburan. Lagi-lagi sekarang semua atlet telah bergaji (dulu masa zaman belajar takde duit duduk kolej je tunggu bas nak balik) malah ditambah elaun pemain seharusnya tempat liburan dijadikan masa untuk menghilangkan stress dan penat setelah bermain di lapangan. Tidak ketinggalan juga tempat-tempat makan yang menarik di setiap negeri.

Berlatarbelakangkan salah sebuah bangunan utama di Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI

Jadi begitulah alasan saya kenapa SUKUM bermakna buat saya. Gaya hidup sihat sudah tentu ia perlu jadi amalan berterusan. Ada juga mengatakan pengubat stress dari tugas hakiki di pejabat, juga tidak dinafikan. Biar apa pun pendapat, sama-samalah kita menilai diri sejauh mana sumbangan kita kepada Universiti dan pencapaian kita kepada diri sendiri. Untuk saya, selagi diperlukan dalam pasukan bolasepak UTM, selagi itu saya akan cuba menabur bakti buat majikan saya ditambah dengan minat dan alasan yang dinyatakan.

Semoga pengurusan sukan UTM terus maju dan terus menjaga kebajikan atlet UTM agar lebih menyinar pada masa hadapan.

*Ketika artikel ini ditulis, saya bersama pasukan telah selamat ‘pulang awal’ bersama pasukan.

Leave a comment